- Iklan -
Kolum

Apa maknanya pertandingan banyak penjuru?

PRU15 menyaksikan pertandingan paling banyak penjuru dalam sejarah negara.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sedang rancak berlangsung. 

Pada Khamis lalu ketika berada di Taman Warisan, Putrajaya, saya didatangi oleh salah seorang calon bertanding bersama aktivis-aktivis kempennya.

Beliau adalah calon dari Gerakan Tanah Air (GTA) yang menggunakan lambang Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). 

Oleh kerana dalam pamflet yang diedarkan itu menyebut Rosli Ramli adalah mantan pengerusi Filem Mat Kilau, saya terus bertanya adakah beliau dari Isma, iaitu Ikatan Muslim Malaysia. 

Apabila beliau mengesahkan, maka saya menyatakan bahawa beliau tentunya datang dari Berjasa. 

Beliau pun mengiyakannya sebelum beredar dari meja makan tempat saya duduk.

Berjasa atau Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia adalah parti lama, tentunya lebih lama daripada Pejuang dan dua anggota GTA lain iaitu Parti Bumiputera Pesaka Malaysia atau Putra pimpinan Ibrahim Ali dan Parti Perikatan India Muslim Nasional atau Iman. 

Ibrahim pernah menjadi ketua pemuda Berjasa ketika awal penubuhannya. Berjasa ditubuhkan pada tahun 1978 sebagai pecahan daripada PAS ekoran krisis politik Kelantan. 

Berjasa menjadi komponen Barisan Nasional (BN) menggantikan PAS yang disingkirkan oleh Umno.

Kelihatannya, beberapa tahun lalu Berjasa melalui penjenamaan semula yang mana warna parti iaitu hijau berubah menjadi ungu pulasan. 

Juga kelihatannya Isma menjadikan Berjasa sebagai wadah politiknya. Ini bermakna ia menjadi parti konservatif berhaluan kanan Melayu-Islam, sesuatu yang serasi dengan GTA.

Isma sejak beberapa tahun kebelakangan ini aktif menampilkan suaranya dalam isu-isu Melayu-Islam. 

Ia merupakan salah sebuah NGO dakwah yang terkenal dan terzahir dalam alam maya. 

Satu lagi NGO dakwah terkenal ialah Ikram yang lebih lama aktif dengan mempunyai asal usul daripada kumpulan dakwah pelajar Malaysia di Britain pada tahun-tahun 1970-an. 

Tetapi Ikram mempunyai sikap progresif universal. 

Ia berada di tengah-tengah spektrum politik dan kelihatannya ia menjadikan Amanah sebagai wadah politik mereka. 

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan pertubuhan sekutunya, Wadah Pencetus Umat lebih hampir pada PKR kerana hubungan mereka dengan Anwar Ibrahim.

Amanah seperti Berjasa merupakan pecahan daripada PAS. 

Satu lagi pecahan PAS ialah Hizbul Muslimin atau Hamim ditubuhkan pada tahun 1982. 

Kedua-dua Berjasa dan Hamim pernah menjadi anggota BN tetapi pada tahun 1990, mereka menyertai Angkatan Perpaduan Ummah yang tonggaknya adalah Parti Semangat 46 dan PAS.

PRU15 kali ini menyaksikan pertandingan paling banyak penjuru. 

Di Putrajaya yang kini penuh bendera biru tua BN sepanjang lebuh raya, calonnya, Tengku Adnan Tengku Mansor dirasakan sukar untuk dikalahkan oleh pesaing-pesaingnya. 

Selain BN dan GTA, PH dan Perikatan nasional (PN) turut bertanding, dengan ditambah pula dua calon bebas.

Kalau GTA mewakili aliran kanan negara, maka parti kecil sayap kiri yang turut bertanding ialah Parti Sosialis Malaysia dan Parti Rakyat Malaysia. 

Kedua-duanya dijangka bukan saja kalah tetapi berkemungkinan hilang deposit.

PSM memohon untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) seperti mana Muda lakukan, tetapi di saat akhir, ia tidak nemperoleh sebarang kawasan. 

Maka ia mengambil keputusan untuk bertanding di Rembau melawan calon BN dan PH. 

Kawasan itu adalah kubu BN dan tindakan PSM hanya membazirkan dana. 

Jika ia ikhlas bersedia untuk bekerjasama dengan PH, maka sepatutnya ia membantu parti itu walaupun tidak diperuntukkan kawasan.

Namun begitu, dalam sistem demokrasi, sesiapa pun bebas bertanding. 

Walaupun mereka tidak akan menang tetapi terdapat rasa puas hati kerana berada dalam gelanggang dengan namanya berada di atas kertas undi. 

Sebab itu ramai calon bebas bertanding. 

Mereka seolah-olah mahu menyatakan sesuatu. 

Walaupun mesej tidak didengar dan kalah, bagi mereka ia tidak mengapa. 

Dalam sejarah pilihan raya Malaysia, ada calon bebas iaitu Cikgu Jabar Yusof yang menang tiga penggal iaitu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Laut, Selangor pada tahun 1972, 1978 dan 1982. 

Kawasan yang paling banyak calon ialah di Batu, Wilayah Persekutuan. 

Selain daripada BN, PN, PH, GTA, PRM, ada tiga calon bebas lagi, salah seorangnya ialah Chua Tian Chang atau dikenali sebagai Tian Chua yang merupakan bekas ahli Parlimen di situ turut bertanding. 

Begitu juga Siti Kassim yang mewakili Gerak Independent, NGO bertanding atas asas sekularisme, mahu memisahkan agama daripada pentadbiran kerajaan. 

Majoriti rakyat negara ini tidak akan mahukan dasar ini. 

Bagi saya, perbuatan kesemua calon bukan dari parti utama ini adalah sia-sia dan membazirkan wang. 

Walaupun berlaku pertandingan banyak penjuru, tetapi persaingan sengit adalah berbentuk tiga penjuru iaitu BN, PH dan PN.

Siapa saja yang bertanding di luar daripada tiga gabungan ini adalah sebenarnya hanya memecahkan undi.

Tetapi tidak dapat dipastikan undi siapa yang akan dipecahkan dan parti mana yang akan terjejas. 

Pemecah-pemecah undi ternasuklah GTA dan parti-parti kecil di Semenanjung seperti Warisan, PRM dan PSM. 

Sarawak dan Sabah mempunyai dinamika politik berbeza daripada Semenanjung. 

Menjelang penamaan calon, GTA menawarkan kerjasama dengan PH sebanyak dua kali tetapi ditolak oleh Anwar.

Pada setiap masa, akan sentiasa ada penyokong tegar daripada semua parti. 

Walaupun siapa saja calon yang diletakkan, penyokong tegar tetap memilih parti mereka.

Lambang di atas kertas undi menjadi panduan mereka.

Apa yang menentukan kemenangan sesebuah parti dan gabungannya bukanlah penyokong tegar mereka, tetapi kemampuan untuk menarik pengundi atas pagar yang bilangannya tinggi dalam PRU15. 

Ada yang antara selama ini adalah penyokong tegar BN. 

Tetapi kali ini, mereka menjadi pengundi atas pagar dan mungkin beralih kepada PN. 

Ada pula merupakan pengundi PH dalam PRU lalu, tetapi dengan Bersatu keluar, mungkin mereka juga beralih kepada PN. 

Tetapi cabaran besar bagi parti-parti politik ialah untuk menarik perhatian dan undi dari kalangan anak-anak muda terutama pengundi berusia 18 tahun. 

Kebanyakan mereka dipercayai bukan saja tidak memahami tetapi tidak tahu menahu mengenai politik negara walaupun maklumat mudah diperoleh sekarang. 

Antaranya tidak kenal pun lambang BN, PKR, PAS atau DAP. 

Tetapi pengundi-pengundi lama juga ada yang keliru dengan politik walaupun banyak maklumat yang disalurkan melalui media sosial khususnya kumpulan-kumpulan WhatsApp. 

Tetapi terlalu banyak maklumat termasuk yang tidak benar, maka ia menjadi kebisingan yang menghilangkan nilai maklumat. 

Maka dalam keadaan begini, ada yang tidak ketahui penjajaran baru politik. 

Mereka hanya kenal lambang BN. 

Lambang PH dan PN baru pertama kali digunakan dalam PRU. 

Mereka bertanya di mana lambang PKR dan PAS. Dan siapakah PN? 

Namun begitu, mereka kenal calon-calon perdana menteri; Ismail Sabri Yaakob, Anwar, Muhyiddin Yassin dan tentunya Dr Mahathir Mohamad.  

Sebelum pembubaran Parlimen, BN yakin mereka akan kembali berkuasa. 

Sebab itu mereka menuntut supaya Parlimen dibubarkan dan PRU15 diadakan segera, iaitu sebelum sentimen rakyat terhadap BN menjadi pudar. 

Parti-parti lain iaitu PH dan PN mungkin tidak mempunyai keyakinan seperti BN. 

Namun selepas seminggu kempen dan dari pemerhatian sekeliling, adalah didapati bahawa keyakinan terhadap PN meningkat. 

Ada orang yang dahulunya mengundi BN akan beralih kepada PN. 

Ataupun orang BN yang mengundi PH dalam PRU15 dahulu tidak akan kembali kepada BN tetapi sebaliknya beralih kepada PN.

Tetapi ada lagi dua minggu kempen dan mungkin BN dapat mengejar balik sebarang tanda-tanda bahawa pengundi mahu beralih kepada PN. 

Pada penghujung munggu ini, sudah kelihatan kempen semakin agresif dalam media maya. 

Calon-calon kelihatan lebih kerap berlegar di tengah-tengah orang ramai.

Namun walau apapun sentimen rakyat mengenai kaum, kesemuanya setuju bahawa negara perlu dibaiki dan kedudukannya dipertingkatkan. 

Rasa tidak puas hati terhadap negara amat berleluasa. 

Untuk memperbaiki negara, ia memerlukan pemimpin bersih dan berkemampuan dengan penglibatan keseluruhan rakyat.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.