- Iklan -
Editorial

Kemenangan tidak berbaloi bagi menamatkan impian Anwar menjadi PM

Walaupun Anwar Ibrahim berjaya meraih impian menjadi perdana menteri, namun kejayaannya dicalari kekurangan sokongan daripada segmen pengundi paling penting.

Abdar Rahman Koya
2 minit bacaan
Kongsi

Akhirnya, tamatlah penantian Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri, selepas empat dekad karier politiknya dalam mendapatkan jawatan nombor satu negara itu.

Beliau akhirnya menjadi perdana menteri selepas Yang di-Pertuan Agong terpaksa meneliti semua pandangan bagi meyakinkan baginda siapakah yang mempunyai majoriti bagi jawatan itu.

Namun pada garis penamat, segalanya terpulang kepada Agong untuk menamakan mana-mana ahli Parlimen yang pada pertimbangannya mendapat kepercayaan majoriti. 

Keputusan baginda itu juga tidak boleh dicabar walau apa pun penjelasan matematik yang diberikan bagi menunjukkan bahawa Anwar tidak mendapat sokongan majoriti.

Jalan Anwar dalam menduduki takhta perdana menteri itu mungkin paling berliku berbanding semua pendahulunya.

Beliau pernah dipenjarakan dua kali kerana kes liwat dan pernah juga hampir-hampir menjadi perdana menteri kerana beberapa kali mendakwa mempunyai sokongan majoriti.

Akhirnya, jawatan itu jatuh ke tangannya juga, namun bukan seperti apa yang diimpikannya ketika masuk ke gelanggang politik pada 1982, sebagai pemimpin muda Umno yang dibawa masuk ke dalam kerajaan oleh Dr Mahathir Mohamad, dengan harapan Anwar dapat mengatasi cabaran besar yang diberikan oleh PAS dalam merebut undi Melayu.

Kemasukan Anwar itu memberikan kelebihan kepada Mahathir dan Umno dalam beberapa pilihan raya umum, menyebabkan PAS terpinggir dalam politik Melayu bagi tempoh dua dekad.

Ketika beliau dipecat pada 1998, imej agamanya dan kesan terhadap Umno diuji. 

Dan itulah yang terjadi. Sebahagian besar orang Melayu kecewa dengan kerajaan, seperti yang ditunjukkan dalam pilihan raya umum setahun selepas pemecatan Anwar, di mana ia menjadi titik permulaan kepada PAS untuk kembali meraih pengaruh dalam politik arus perdana.

20 tahun selepas itu, populariti Anwar sedikit demi sedikit menurun dalam kalangan orang Melayu.

Umno yang kemudiannya bangkit dengan cekap mengeksploitasi kerjasama Anwar dengan parti yang selama ini menjadi simbol kebencian orang Melayu atas pelbagai alasan yang harus dikaji secara objektif.

Kerana itu, gambaran yang begitu ironi jelas terlihat apabila Anwar yang satu ketika dibawa masuk ke dalam kerajaan bagi meningkatkan sokongan Melayu kepada parti pemerintah, kini dinafikan daripada masyarakat yang sama ketika beliau sendiri memerintah.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di mana pengundi Melayu menunjukkan sokongan kepada sebuah gabungan yang baru dan diketuai oleh seseorang yang tidak pernah mengisytiharkan cita-citanya secara terbuka untuk menjadi perdana menteri - bukan satu gambaran yang baik untuk Anwar, ketika beliau menjadi perdana menteri pertama tanpa majoriti etnik utama di sampingnya.

Kesan daripada PRU15 baru-baru ini mungkin lebih memudaratkan reputasi Anwar.

Gambar Anwar dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang sanggup ke wilayah Umno untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpinnya, akan terukir dalam minda jutaan pengundi termasuk pengundi kali pertama yang menyaksikan janji untuk tidak bekerjasama dengan pemimpin terpalit skandal dimungkiri sedangkan dakwat di jari mereka belum lagi hilang.

Anwar mendapatkan jawatan perdana menteri itu paling tidak pun adalah kemenangan yang tidak berbaloi. 

Dan sememangnya ia bukanlah cara bagaimana sesebuah impian itu dicapai.

Seperti titah Agong, yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua. Itu hanyalah menyifatkan secara halus hakikat bahawa sebahagian besar rakyat tidak bersama perdana menteri yang baru ini.

Peristiwa yang bakal berlaku beberapa minggu dan bulan akan datang akan menunjukkan kita sama ada Anwar boleh terus bersama impiannya, di dalam sebuah Malaysia yang pantang lupa setiap perkataan dan tindak tanduk ahli-ahli politik.