Para penyokong dan akar umbi parti boleh saja menerima realiti dan jajaran baru politik kerana mereka juga faham mengapa pemimpin berbuat sesuatu keputusan serta tindakan.
Tetapi ironi politik tetap suatu perkara yang sukar ditelan atau keberatan untuk dihadapi.
Ada pelbagai reaksi yang ditunjukkan oleh para penyokong terhadap keadaan begini.
Ada antara mereka turut mengikut lenggok pemimpin dan mempertahankan tindakan dengan mengemukakan naratif serba baru.
Tidak kurang juga yang menolak langkah pemimpin mereka itu dengan menjarakkan diri, sekurang-kurangnya pada pemikiran terhadap perkembangan politik semasa.
Golongan ketiga yang saya rasa merupakan majoriti penyokong parti ialah mereka mengambil sikap tunggu dan lihat.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah berakhir dan sewajarnya bagi mereka untuk mengalih perhatian keluar daripada kebisingan politik.
Biarlah pemimpin-pemimpin selesaikan masalah yang dihadapi negara.
Setiap warga mempunyai kehidupan sendiri untuk dihadapi.
Ironi yang saya maksudkan ialah kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN).
Mungkin bagi ahli-ahli politik, mereka sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk keadaan yang mana tiada parti mencapai majoriti mudah dalam PRU15.
Tetapi bagi penyokong dan akar umbi yang turut menyumbang tenaga emosi, perubahan politik mendadak adalah sukar untuk dibiasakan.
Bukanlah bermakna para penyokong dan akar umbi menolak tindakan politik pemimpin mereka dalam menghadapi realiti baru.
Tetapi mereka tidak disediakan sedikit pun keadaan seumpana ini semasa berkempen dan sebelumnya.
Sebagai contoh, dalam pilihan raya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, PH memberi laluan kepada BN untuk melawan Perikatan Nasional (PN). Bukan itu sahaja, pemimpin PH juga turun berkempen sepentas dengan BN.
Pemimpin itu pula ialah Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu.
Langkah beliau itu adalah bersesuaian kerana di pihak PN, pemimpin yang turun ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Keadaan ini sememangnya dapat dijangka dari awal lagi selepas penubuhan kerajaan negeri Pahang yang terdiri di atas kerjasama BN dan PH.
Lebih-lebih lagi di peringkat pusat, kerjasama PH-BN sudah menjadi realiti.
Ia kelihatannya pula bermula dengan penubuhan kerajaan negeri Perak, juga merupakan kerjasama antara BN dan PH yang berasaskan pada hubungan Umno dengan DAP.
Pada pilihan raya kawasan Parlimen Padang Serai pula, BN mengumumkan tidak menyokong calon dari parti komponennya, MIC.
Ia bermakna Umno memberi laluan pada PH.
Malah bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor dilaporkan bahawa kerjasama BN dan PH akan berlaku dengan beberapa kawasan untuk ditandingi akan dilepaskan oleh PH kepada BN.
Pilihan raya Tioman ini penting dari segi semangat untuk PH dan PN.
Kerajaan negeri akan lebih yakin jika calon BN menang.
Walaupun jika BN kalah, kerajaan negeri tidaklah tumbang.
Bagi PN, kemenangan calon PAS akan menambahkan kekuatannya di negeri itu.
Secara tradisi ia merupakan kawasan BN.
Tetapi gelombang hijau yang melanda PRU15 kali ini menjadikan Tioman sebagai tempat berbeza dengan PAS berazam mendapatkannya.
Gelombang hijau di sini merujuk kepada peningkatan sokongan teradap pengundi PAS.
Oleh kerana calonnya adalah PAS, maka Amanah berasa wajar untuk turun membantu rakan baru PH iaitu BN.
Walaupun dalam PRU15 kali ini, Amanah menvalami kekalahan di banyak kawasan akibat gelombang hijau itu.
Di sinilah ironinya.
Amanah ditubuhkan pada tahun 2015 oleh bekas ahli-ahli PAS yang tidak boleh terima tindakan Hadi mahu meninggalkan Pakatan Rakyat dan bekerjasama dengan Umno.
Pada masa itu, berlaku perpecahan dalam PAS antara golongan yang dipanggil "ulama" dengan "profesional".
Golongan "profesional" ini juga dipanggil sebagai "progresif", "Erdogan" dan "Anwarinas" yang bermaksud mereka ini penyokong Anwar Ibrahim dalam PAS.
Maka golongan "ulama" ini diketuai oleh Hadi dan pemimpin golongan "profesional" ini ialah Mohamad.
Golongan "ulama" mahu meninggalkan kerjasama dengan PKR dan DAP sedangkan golongan "profesional" mahu mempertahankan Pakatan Rakyat.
Golongan "profesional" mendakwa bahawa golongan "ulama" mahu membawa PAS kepada kerjasama dengan Umno pimpinan Najib Razak dalam kerangka Kerajaan Perpaduan atau Unity Government (UG).
Di pihak Umno pula, sejak tahun 2008, usaha dibuat untuk melemahkan Pakatan Rakyat dengan memutuskan "weakest link" mereka iaitu hubungan DAP dan PAS.
Untuk tujuan itu, PAS perlu dipecahkan dahulu antara golongan "ulama" dengan "profesional" yang bersikap mesra DAP.
Setiap hari dalam Utusan Malaysia, akhbar yang dikuasai Umno menyerang golongan "profesional" dan bersikap mesra dengan golongan "ulama" Sebagai usaha untuk turut memecahkan PAS, usaha dibuat supaya golongan "profesional" tersingkir daripada pucuk pimpinan PAS bagi memudahkan parti itu keluar dari Pakatan Rakyat dan selanjutnya dapat mengadakan kerjasama dengan Umno.
Ternyata selepas PRU tahun 2013, golongan "profesional" ini dapat disingkirkan melalui pemilihan parti.
Realiti bahawa PAS meninggalkan kerjasama PKR-DAP dan beralih kepada Umno tidak boleh diterima oleh sebahagian besar ahli PAS.
Generasi yang menyertai PAS pada tahun 1980-an berpegang pada sikap menolak Umno. Maknanya lebih 30 tahun mereka berjuang menentang Umno. Maka mereka ini tidak boleh menerima kerjasama dengan Umno.
Dari sinilah ditubuhkan parti Amanah pada tahun 2015 sebagai platform baru untuk bekerjasama dengan PKR-DAP serta menolak Umno. PH dijadikan pengganti Pakatan Rakyat bagi melawan Umno.
Menang benar telahan Amanah bahawa kemudiannya PAS bekerjasama dengan Umno. Daripada penubuhan Muafakat Nasional hinggalah kepada munculnya PN.
Tetapi ironinya, menjelang PRN Melaka dan Johor.
PAS tidak lagi bekerjasama dengan Umno apabila mereka memilih Bersatu pula.
Keadaan ini sebenarnya membuka jalan kepada kerjasama PH dan BN. Tetapi ia tidak berlaku.
Detik-detik adanya kerjasama PH-BN mula kelihatan ialah apabila kerajaan negeri Perak pimpinan Bersatu tumbang apabila ahli Dewan Undangan Negeri BN mengundi tidak percaya dengan dibantu oleh PH.
Walaupun kerajaan BN-PN kekal dengan hanya bertukar menteri besar supaya disandang oleh pihak Umno tetapi peristiwa itu merintis kepada kerjasama BN-PH pada akan datang.
Bagaimanapun, sebelum PRU15, pihak yang menyatakan kemungkinan bekerjasama dengan BN bukannya datang dari PH tetapi dari PAS.
Maka kempen PH berbentuk suatu ingatan pada rakyat yang berbunyi "satu undi pada PN, bererti satu undi pada BN."
Namun setelah keputusan PRU15 keluar; tanda-tanda akan berlakunya kerjasama PH dengan BN berlaku apabila terbentuknya kerajaan negeri Perak.
DAP memberi sokongan kepada BN untuk menubuhkan kerajaan negeri.
Maka semua menjadi ironi.
Tiba-tiba bukan PAS yang bekerjasama dengan Umno, tetapi Amanah.
Lihatlah bagaimana Mohamad dan generasinya, termasuklah saya bersikap menentang BN sejak berada di kampus pada tahun 1980.
Ketika Anwar sudah menyertai Umno, Mohamad menjadi calon PAS menentangnya dalam PRU tahun 1986.
Mohamad hanya bersama dengannya selepas Anwar dipecat daripada Umno pada tahun 1998.
Perubahan daripada menjadi penentang Umno kepada rakan politik berlaku sekelip mata hanya beberapa jam selepas keputusan PRU15 tentu membingungkan sebahagian penyokong PH dan akar umbinya.
Untuk menelan ironi ini pasti perlukan mengambil masa.