- Iklan -
Rencana

Tahniah Kabinet kerajaan 'reformasi'

Kabinet 'reformasi' diterajui Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan turut melantik Ahmad Zahid Hamidi yang terpalit puluhan pertuduhan rasuah sebagai timbalannya.

Afnan Hamimi
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan puluhan pertuduhan rasuah kini menjadi orang kedua Kabinet Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan puluhan pertuduhan rasuah kini menjadi orang kedua Kabinet Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Pemuda PAS Malaysia menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas pengumuman barisan Kabinet yang cukup mantap dan membawa semangat reformasi.

Pemuda PAS melihat pengumuman ini pasti memberikan kelegaan dan kegembiraan kepada rakyat, khususnya pengundi PH yang tekad melawan kleptokrasi dan mahukan semangat reformasi dalam pentadbiran kerajaan baru.

"Reformasi" terbesar Kabinet kerajaan campuran kali ini adalah dengan pelantikan Ahmad Zahid Hamidi, presiden Umno yang berdepan 47 pertuduhan di mahkamah dalam kes Yayasan Akalbudi, sebagai timbalan perdana menteri merangkap menteri kemajuan desa dan wilayah.

Pelantikan ini selaras tawaran kedua dalam 10 Manifesto Pakatan Harapan, iaitu untuk memerangi rasuah dan mengukuhkan institusi demokrasi.

Selain itu, Kabinet "reformasi" ini juga turut dianggotai Nga Kor Ming, pemimpin DAP ekstrem yang masyhur dengan cermah berbaur perkauman, sebagai menteri perumahan kerajaan tempatan.

Ini bukti Pakatan Harapan sangat menyanjung perpaduan dan menolak perkauman. Dengan pelantikan ini, hasrat DAP untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bakal terlaksana dengan jayanya.

Kejayaan paling besar kabinet "reformasi" ini, adalah apabila PH bertindak tidak meletakkan semula menteri-menteri mereka yang dicanang sebagai kejayaan dan kebanggan Kabinet PH 2020.

Contohnya, Dzulkefly Ahmad tidak dipilih sebagai menteri kesihatan, walaupun menang di kerusi Kuala Selangor pada PRU15.

Sebaliknya, lawan beliau di kerusi Parlimen tersebut yang kalah dilantik  pula menjadi menteri . 

Pemuda PAS Malaysia sekali lagi mengucapkan tahniah atas pembentukan Kabinet "reformasi" ini.

PAS akan terus memainkan peranan kami semaksimum mungkin dalam menjadi pembangkang berwibawa yang akan menyemak imbang setiap tindak tanduk kerajaan campuran PH-BN ini!

Afnan Hamimi adalah ahli Parlimen Alor Setar dan timbalan ketua Pemuda PAS.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow