- Iklan -
Wacana

Dilema ahli Parlimen Malaysia

Seorang wakil rakyat hendaklah bijaksana dan penuh hikmah dalam membuat keputusan yang terbaik bagi keseluruhan negara, bukan semata-mata untuk parti politiknya atau kawasan pilihan raya.

Shamrahayu Aziz
5 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.
Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Sebelum ini saya pernah menyebut dalam beberapa pembentangan dan pengucapan saya bahawa, setelah seseorang itu dipilih sebagai wakil rakyat melalui pilihan raya, dia bukan semata-mata wakil rakyat bagi rakyat yang memilihnya atau wakil bagi parti politik yang membenarkannya dan mencalonkannya sebagai calon pilihan raya bagi parti politik tersebut.

Beliau adalah wakil bagi keseluruhan rakyat dan keseluruhan negara.

Wakil rakyat adalah penggubal undang-undang atau legislator bagi negara. 

Justeru itu, dalam melaksanakan amanah yang digalasnya, seorang wakil rakyat itu hendaklah bijaksana dan dadanya penuh hikmah (wisdom) dalam membuat keputusan yang terbaik bagi keseluruhan negara, bukan semata-mata untuk parti politiknya atau kawasan pilihan raya yang telah memilihnya sebagai wakil rakyat.

Tulisan Edmund Burke

Bagi membicarakan perkara di dalam tajuk ini, saya telah beberapa lama meneliti ucapan Edmund Burke. Para pembaca boleh mencari maklumat tentang siapa Edmund Burke dan apakah idea dan penulisan beliau dalam hal yang saya sedang perkatakan ini. 

Pengucapan Edmund Burke yang saya rujuk adalah petikan daripada penerbitan The Works of the Right Honourable Edmund Burke (6 vols. London: Henry G. Bohn, 1854-56), iaitu pengucapan yang dibuat pada 1774.

Pengucapan Edmund Burke ini telah lama, namun pada pengamatan saya, idea dan prinsip yang diperkenalkan dalam tulisan ini masih lagi sesuai dan sepadan untuk diterima dalam amalan demokrasi semasa di negara kita.

Apabila meneliti tulisan klasik ini, saya lebih memahami tentang hubungan antara wakil rakyat dan rakyat yang diwakilinya, dan secara “tidak langsung” mengenai hubungan antara wakil rakyat dan parti politiknya.

Untuk hubungan antara wakil rakyat dan parti politiknya saya sebut secara tidak langsung kerana Edmund Burke tidak menyatakan perkara ini secara jelas dalam tulisan yang saya rujuk ini.

Saya masih mencari sumber yang jelas untuk prinsip hubungan antara wakil rakyat dan parti politiknya, terutamanya setelah wakil rakyat tersebut terlibat dalam perbahasan atau dalam membuat keputusan sebagai “ahli Dewan Rakyat”. 
Justeru itu, pandangan saya dalam perkara ini adalah lebih bersandarkan kepada prinsip yang dijelaskan oleh Edmund Burke.

Saya kongsikan di bawah ini antara intipati penting idea Edmund Burke. 

Intipati fikiran Edmund Burke

Saya bahagikan intipati Fikiran Edmund Burke kepada beberapa perkara:

Pertama: Seharusnya dan sepatutnya adalah menjadi kebahagiaan dan kemuliaan seorang wakil rakyat untuk hidup dalam kesatuan yang paling rapat, perhubungan yang paling intim, dan komunikasi yang tiada sekatan dengan pengundinya. Hasrat pengundi sepatutnya menjadi amanah yang besar dan berat untuk dipikul oleh seorang wakil rakyat. Pendapat mereka, iaitu rakyat yang diwakili, hendaklah diberikan penghormatan yang tinggi. Hal ehwal rakyat yang diwakili hendaklah diberikan perhatian tanpa henti oleh setiap wakil rakyat. Adalah menjadi kewajipan wakil rakyat untuk mengorbankan ketenangannya, kesenangannya serta kepuasannya demi rakyat yang diwakilinya. Ringkasnya, wakil rakyat, dalam semua keadaan hendaklah sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat yang diwakili berbanding kepentingan dirinya sendiri.

Kedua: Pendapat wakil rakyat hendaklah tidak berat sebelah. Wakil rakyat hendaklah membuat keputusan, penilaian yang matang dengan penuh hikmah, dengan hati nuraninya yang tercerah. Justeru itu, wakil rakyat tersebut tidak sepatutnya mengorbankan kebijaksanaannya, hikmahnya dan penghayatan dalam hati dan nuraninya kepada semata-mata kehendak rakyat yang diwakilinya atau kepada sesiapa jua sekalipun. Perkara ini bukan datangnya daripada kemahuan wakil rakyat itu sendiri, serta tidak juga datang daripada undang-undang atau Perlembagaan. Ia adalah amanah yang datang daripada “providence”, iaitu “the protective care of God or of nature as a spiritual power” atau boleh diterjemahkan sebagai penjagaan atau perlindungan Tuhan atau alam semulajadi sebagai kuasa rohani. Dalam konteks keimanan Islam, ia adalah amanah melaksanakan syariah Allah. 

Justeru itu, para wakil rakyat berhutang kepada rakyat bukan hanya kerana rakyat memilih mereka sebagai wakil, tetapi juga wakil rakyat itu berhutang kepada dirinya dan Tuhannya untuk menunaikan amanah. Amanah tersebut ialah amanah untuk melaksanakan tugas dan kewajipannya dengan menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan yang dimilikinya dan penghayatan terhadap anutan dan ajaran agamanya serta naluri rohaninya. 

Sekiranya seorang wakil rakyat hanya bertugas memuaskan hati rakyat yang diwakilinya, tetapi mengorbankan kebijaksanaan dan hikmahnya, maka itu adalah satu pengkhianatan kepada amanah yang digalas oleh wakil rakyat tersebut.

Ketiga: Sesungguhnya melaksanakan amanah sebagai sebuah kerajaan dan amanah menggubal undang-undang adalah soal akal dan pertimbangan yang berhikmah. Ia bukan soal kecenderungan semata-mata, seperti kecenderungan terhadap parti politik atau kecenderungan individu. 

Apakah akal dan pertimbagan itu? Adakah ia merupakan keputusan yang diambil sebelum berlakunya perbincangan dalam kalangan mereka yang memegang amanah? Atau adakah ia merupakan perbincangan sekumpulan orang lain dan keputusannya dibuat oleh kumpulan yang lain? Atau adakah keputusan dibuat oleh mereka yang berada jauh daripada perbincangan atau berhujah? Sesungguhnya menyampaikan pendapat, adalah hak semua orang; suara rakyat yang diwakili adalah pendapat yang hendaklah sentiasa dihormati dan wakil rakyat hendaklah sentiasa gembira menerima dan menghargai pendapat atau suara rakyat yang diwakilinya. Wakil rakyat hendaklah memberi pertimbangan serius kepada suara atau pandangan rakyat. 

Walaupun begitu, adakah wakil rakyat sentiasa terikat dan hendaklah sentiasa patuh kepada “arahan” atau mandat yang diberikan oleh rakyat untuk berhujah atau mengundi dalam Parlimen? Adakah wakil rakyat hendaklah terikat  dan berhujah di Parlimen menurut kehendak rakyat (atau parti politiknya) atas perkara yang bertentangan dengan keyakinan dalam diri wakil rakyat itu sendiri? Adakah wakil rakyat boleh membuat keputusan sebagai seorang wakil rakyat dengan penuh hikmah dan keyakinan dalam hati nuraninya sahaja? Perkara ini tidak dinyatakan dalam Perlembagaan atau undang-undang kita, dan keadaan ini merupakan suatu kesalahan asas dalam struktur atau sistem perundangan dan Perlembagaan kita. Kita perlu tambah baik undang-undang kita dengan menjelaskan duduk perkara tentang ini.

Atau kita perlu bina amalan yang lebih baik untuk menjadikan konsep perwakilan dalam Parlimen menjadi lebih baik untuk negara.

Keempat: Parlimen bukan tempat pertemuan wakil yang mempunyai kepentingan berbeza atau puak-puak yang bermusuhan, tetapi Parlimen merupakan perhimpunan musyawarah bagi keseluruhan negara. Melalui musyawarah dalam Parlimen kita membentuk satu negara dengan satu kepentingan, iaitu kepentingan dan kebaikan umum, bagi keseluruhan negara. Ia bukan semata-mata bersifat tempatan kepada kawasan pilihan raya yang dimenanginya. Parlimen hendaklah dan sepatutnya menjadi forum atau wahana yang membimbing ke arah kebaikan dan kepentingan umum keseluruhan negara. Maksudnya di sini ialah, seseorang wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat pada suatu kawasan Parlimen bukan lagi wakil rakyat kepada rakyat dalam kawasan tersebut sahaja, wakil rakyat tersebut adalah “ahli Parlimen”.

Justeru itu, setiap wakil rakyat, sebagai seorang ahli Parlimen memikul satu amanah dan tangggungjawab yang lain yang lebih berat daripada mewakili kawasannya. Jika rakyat di kawasan Parlimen yang diwakilinya mempunyai kepentingan tertentu yang jelas bertentangan dengan kebaikan sebenar bagi kumpulan masyarakat yang lain, wakil rakyat tersebut tidak seharusnya terikat dengan keinginan masyarakat tempatan yang telah memilih beliau.

Undang-undang jenayah menjaga amanah ahli Parlimen

Setelah memahami prinsip berkaitan peranan wakil rakyat atau ahli Parlimen, perlu saya kongsi juga undang-undang kita. Dalam undang-undang kita, di bawah kategori undang-undang jenayah, iaitu di bawah Kanun Keseksaan, kita dapati terdapat peruntukan yang tegas tentang menghukum mereka yang cuba menghalang seseorang ahli Parlimen daripada melaksanakan tugasnya sebagai ahli Parlimen. 

Seksyen 124 Kanun Keseksaan, antara lain memperuntukkan: “Barang siapa, dengan niat hendak mendorong atau memaksa atau sedang cuba mendorong atau memaksa seseorang ahli Parlimen atau mana-mana ahli Dewan Negeri atau mana-mana ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya menjalankan atau jangan menjalankan dengan apa-apa cara kuasa-kuasa ahli itu yang sah di sisi undnag-undang, menyerang atau menghalang dengan salah, atau mencuba dengan salah menghalang, atau mempertakutkan dengan jalan kekerasan jenayah, atau dengan menunjukan kekerasan jenayah, atau mencuba dengan demikian, mempertakutkan ahli itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun, dan bolehlah juga dikenakan denda”.

Saya mohon maaf kerana banyak bercakap mengenai perkara ini dalam situasi politik semasa. Namun, kita perlu berfikir tentang perkara ini supaya apa sahaja masalah atau cabaran yang kita lalui dan hadapi dalam aplikasi demokrasi ini dapat kita selesaikan dan huraikan menerusi kefahaman dalam konsep yang jelas, terutamanya peranan para wakil rakyat atau ahli Parlimen.

Shamrahayu Aziz adalah pensyarah undang-undang dan penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di UiTM. Tulisan ini dipetik dari Facebook.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow
 

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi