Perjuangan politik Cikgu Ishak Surin bermula di tahun 1955 sejurus Parti Rakyat Malaya (PRM) ditubuhkan pada 11 November 1955. Pada waktu itu, beliau yang baru berusia 21 tahun masih mengajar di Sekolah Tebuk Jawa, Sabak Bernam yang ketika itu masih dianggap sebagai kawasan yang hulu dan tidak mempunyai bekalan serta infrastruktur asas. Beliau mendaftar menjadi ahli PRM di ranting Gombak dan menjadi penolong setiausaha di ranting Gombak pada tahun tersebut.
Perjuangan politik Ishak terus disuburkan melalui PRM sehingga beliau akhirnya meninggalkan PRM pada tahun 1968. Percanggahan ideologi dan konflik dalaman parti menjadi antara faktor utama pemergian beliau dari PRM. Bersama Sharif Babul dari Perak, Sheikh Hassan Jaafar dari Kedah dan Ishak sendiri dari Selangor, mereka bertiga yang dikenali sebagai "triumvirate" telah bersama menubuhkan Parti Marhaen Malaysia (PMM) dengan dukungan Ahmad Boestamam pada 3 Ogos 1968.
Sidang penubuhan PMM telah diadakan di rumah Ishak sendiri di Batu 4, Jalan Gombak. PMM kemudian bergabung bersama Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas) yang diketuai "Mr Opposition", Tan Chee Khoon pada 19 Julai 1974.
Sementara Boestamam yang lebih dahulu keluar PMM pada tahun 1972 dan kemudian memilih untuk kembali ke pangkuan parti lamanya yang ketika itu sudah menukar nama kepada Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), Ishak pula memilih untuk menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada 1986. Pemilihan parti PAS sebagai wadah baru bagi Ishak merupakan kesan daripada impak revolusi politik dan sosial melalui Revolusi Iran dan impak daripada peristiwa Tragedi Memali.
Biografi politik dan pemikiran Ishak dapat ditelusuri lebih lanjut melalui penerbitan memoir beliau yang diusahakan oleh saudara Benz Ali melalui penerbitan Republik Buku terbitan 2022.
Ishak anak zamannya
Fikiran politik sosialisme yang dianuti Ishak adalah interaksinya bersama lingkungan sosial dan lingkungan intelektual di eranya pada 1950-an, 1960-an dan awal 1970-an khususnya. Pendapat dan sikap Ishak memancarkan roh pada waktu itu dan zaman seterusnya. Jadi tidak mengejutkan jika ideologinya itu sangat diwarnai landskap sosial iaitu Sosialisme dan Islamisme.
Jika dilihat lingkungan sosial sekitar tahun 1930-an, 1940-an, dan 1950-an, dasawarsa-dasawarsa ini merupakan sebahagian daripada zaman perkembangan ideologi. Pelbagai cita-cita masyarakat Tanah Melayu telah dilukiskan oleh para nasionalis.
Pelbagai gerakan sosial mula muncul lalu menaik pada era itu. Nasionalisme Melayu berkembang di madrasah dan di maktab. Di madrasah diwakili pergerakan nasionalisme di Gunung Semanggol dan di maktab diwakili pergerakan nasionalisme di Maktab Latihan Sultan Idris (SITC) Tanjung Malim.
Pada ketika itu juga kolonialisme memuncak. Semua peristiwa ini membentuk pemikiran Ishak. Dalam lingkungan sosial demikian, Ishak menyertai PRM yang ditubuhkan pada 11 November 1955. PRM merupakan satu daripada tiga serangkai gerakan. Dua lagi adalah Parti Buruh Malaya (PBM) yang dipimpin oleh Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan PAS yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy.
Parti-parti ini dipanggil tiga serangkai kerana mereka menuju kepada satu pelabuhan yang sama seperti yang diungkapkan Burhanuddin. Menurut Burhanuddin: “Kita dari angkatan PAS melancarkan bahtera perjuangan kita menuju pelabuhan cita-cita Islam yang sangat jauh pelayarannya, tetapi kita sama-sama bertolak beriringan dengan aliran nasionalisme yang tulen dan angkatan sosialisme.”
Menurut hukum perjuangan perubahan masyarakat, Burhanuddin mengakui: ”Angkatan nasionalisme akan sampai lebih dahulu, kemudian kita hantar dan iringkan pula angkatan sosialisme hingga sampai ke pelabuhan Islamisme.”
Jadi ketiga-tiga parti ini iaitu PRM, PBM, dan PAS telah menggemblengkan kekuatan sosial dalam masyarakat yang bersumberkan kelas petani, kelas buruh dan aliran Islamisme. Iaitu gabungan antara kekuatan nasionalisme, agama dan sosialisme (Nasasos). Dalam momen dan sejarah Nusantara, konsep Nasasos telah memainkan peranan utama dalam perjuangan kemerdekaan. Hal ini amat jelas dalam upaya menentang kolonialisme Belanda seperti yang dilihat di Indonesia.
Dekad 1950an merupakan satu waktu keinsafan bagi para nasionalis Asia dan Afrika bagi membebaskan diri daripada dominasi kolonialisme.
Justeru Konferensi Bandung 1955 telah menyatukan pemimpin-pemimpin nasionalis kedua-dua benua Asia dan Afrika untuk memilih jalan kehadapan yang merdeka. Di Tanah Melayu, PRM yang dianggotai oleh Ishak adalah sebahagian daripada arus progresif tersebut.
Kelihatan PRM telah lengkap dengan ideologi sosialisme yang disesuaikan dengan sejarah dan sosiologi Tanah Melayu (kemudian Malaysia) dalam rangka luas Nusantara. PRM yang dianggotai Ishak juga adalah kesinambungan gerakan kiri Melayu yang bangkit kembali setelah terpukul dengan hebatnya pada 1948 oleh kolonial Inggeris.
Dengan berideologikan marhaenisme, pelbagai program politik sosial, nasional, dan demokrasi —- turut diisytiharkan oleh PRM. Demokrasi liberal ditolak oleh parti itu.
Sejak itu, lambang PRM juga melalui perubahan tetapi kekal dengan kepala banteng atau kepala seladangnya. Roda bergigi ditambah kepada lambang yang menandakan kelas pekerja. Sementara warna merah, putih dan hitam terpelihara.
Pada 27 Disember 1969, nama parti PRM ditukar kepada Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) sesuai dengan perubahan ideologi yang ditukar daripada Marhaenisme kepada Sosialisme Saintifik. Perubahan ideologi ini sebelum itu telah disepakati dalam Kongres Kebangsaan Kali Ke-13 PRM yang diadakan di Kangar pada 16 hingga 18 April 1968.
Menurut perlembagaan parti, sesungguhnya Marhaenisme adalah sosialisme. Itulah hakikatnya. Namanya berubah. Isinya sama. Nama saintifik diberikan agar terbezanya PRM daripada sosialisme tampal sulam yang muncul di Malaysia sejak 1960an. Pakatan Umno, MCA, MIC bersama People’s Action Party (PAP) Singapura dengan dukungan kerajaan Inggeris pada 1960an melemahkan lagi gerakan Kiri di Malaysia setelah sebelum itu terpukul teruk dengan pelaksanaan Darurat 1948 hasil konspirasi penjajahan Inggeris.
Lingkungan sosial dan politik antarabangsa
Sementara itu, melihat sekitar period di awal perkembangan di mana Ishak mula aktif dalam perjuangan politik. Asia Tenggara ketika itu sedang menjadi panggung laga kuasa-kuasa sosial politik dan diikuti perselisihan terbuka aliran ideologi.
Contohnya melalui perjuangan heroik penduduk Vietnam melawan kuasa imperialis Amerika Syarikat. Kemudian terlancarnya perekayasaan sosial raksasa di Republik Rakyat China dan Kemboja. Juga kebangkitan semula memori sosial dan memori sejarah gagasan Maphilindo.
Tetapi di sebaliknya itu, muncul pula rejim authoriter di Indonesia diikuti pemandian darah dalam Peristiwa G30S di sana. Konflik sekitar pembentukan Malaysia yang mengorbankan gerakan Kiri di Malaysia, kehancuran total perjuangan gerakan Kiri di Singapura, serta Revolusi China tergendala setelah kematian Mao Zedong. Semua peristiwa tersebut mewarnai pemikiran Ishak.
Namun, gerakan Kiri tidak mati. Ia sekadar dikalahkan sementara. Cita-citanya yang terbuka hanya terpendam seketika. Tidak pernah mati tetapi hanya tercedera lagi pada
1989 apabila runtuhnya Sosialisme Negara, bukan ideologi sosialisme sebagai pandang dunia (worldview). Pukulan daripada ideologi ekonomi neoliberalisme yang mengiringi, malah menggiring globalisasi sejak 1999an terus meluka parahkan sosialisme sebagai satu cita-cita.
Sosialisme belum mati
Namun, kajian mendapati bahawa seiring penambahan kekayaan, rupanya terjadi ketaksamaan pendapatan. Pada tahun 2014, Thomas Piketty iaitu seorang ahli ekonomi dari Perancis yang memungut data sejak dari tahun 1789 di beberapa negara kapitalis maju mendapati kekayaan sebenarnya tidak menitis ke bawah, malah sebaliknya sistem kapitalisme yang diamalkan selama ini telah menyebabkan kekayaan tersebut sebaliknya telah tersedut ke atas.
Juga diketahui kekayaan yang terkumpul oleh para pemodal selama ini bukanlah hanya kerana kerja keras mereka semata-mata, tetapi kekayaan mereka terkumpul lewat daripada warisan pusaka keluarga yang kaya raya. Kajian itu juga menunjukkan bahawa ketaksamaan kekayaan berkurang pada waktu-waktu apabila institusi negara mencampur tangan dalam kehidupan ekonomi warganya.
Pada tahun 2019, Piketty menulis lagi buku setebal satu ribu halaman mengaitkan secara ilmiah hubungan antara ketaksamaan kekayaan dengan ideologi kapitalisme.
Di Barat, sejak awal abad ke 21 lagi, muncul gerakan dengan semboyan “sesungguhnya sebuah dunia alternatif itu mungkin sekali.” Karya tentang peranan negara yang diremehkan pasar sejak 1990an kini mulai diberikan perhatian yang wajar.
Di Malaysia, krisis pandemik Covid-19 yang bermula pada Mac 2020 memperlihatkan potensi dan upaya institusi-institusi negara memainkan peranan wajarnya dalam kehidupan ekonomi para warganya selain peranan oleh pasaran. Sekian lama, institusi negara dicela oleh pasar sebagai tidak efisien, membazir, dan terlalu besar.
Tetapi pengalaman menghadapi krisis Covid 19 baru-baru ini tidak membenarkan tuduhan seperti itu.
Jadi untuk maksud di atas, maka perlu disorot alur dan arah fikir serta visi para pejuang awal dalam daya dan upaya luhur mereka itu untuk sampai di puncak (seperti tajuk novel Boestamam, Merintis Jalan Ke Puncak terbitan 1971). Sementara tiga bahtera belayar menunggu untuk berlabuh seperti ketertiban sejarah sama seperti yang diungkapkan Burhanuddin. Konteks demikianlah dapat kita mengerti lagi ertinya perjuangan Ishak.
Walaupun Amanah yang disertai Ishak pada 2016 akhirnya kini dilihat tidak berjaya membawa gagasan Nasasos seperti yang diilhamkan Burhanuddin, namun apa yang lebih penting. Mengapa Ishak sehingga akhir hayatnya dilihat tetap setia mendukung konsep Marhaenisme? Sesungguhnya almarhum adalah anak zamannya. Selamat jalan dan berlabuh ke dunia abadi buat Cikgu Ishak Surin.
Abdul Halim Ali adalah bekas Setiausaha Agung Parti Sosialis Rakyat Malaysia dan Iqkram Ismail ialah mahasiswa Sains Sosial.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow