Tahun 2022 yang sedang berada di penghujungnya menyaksikan dunia sedang hendak pulih daripada wabak Covid-19 dan kesan-kesan ekonomi daripadanya.
Dunia mengharapkan 2023, suasana ekonomi dunia bertambah buruk apabila keadaan daripada apa yang berlaku pada tahun 2022 akan terzahir pada tahun hadapan.
Sebarang usaha untuk mengatasinya hanya akan kepada mengurangkan beban rakyat, tetapi bukannya mengelak daripada keadaan itu.
Namun begitu, manusia di seluruh tidak wajar pesimis.
Kita diseru positif dan menaruh harapan supaya keadaan tidaklah akan menjadi lebih buruk seperti apa yang dijangkakan.
Semua orang di muka bumi wajar mengharungi keadaan dengan tabah dan sabar.
Tetapi realiti tetap realiti.
Ilmu ekonomi dibangunkan pada asas tujuannya untuk meramalkan apa yang akan berlaku dengan teori-teori digubal untuknya.
Dari pengalaman lalu, ia kemukakan cadangan-cadangan bagi mengatasinya.
Wabak Covid-19 walaupun diisytiharkan berakhir pada tahun 2022 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ia tidaklah lupus sepenuhnya.
Malaysia masih mempunyai kadar jangkitan baru lebih kurang 1,000 setiap hari.
Minggu lalu WHO menyatakan kebimbangannya terhadap angka jangkitan yang meningkat mendadak di China.
Maknanya bagi tahun 2023, manusia perlu hidup bersama adanya Covid-19.
Juga bermakna dunia tidak akan dapat kembali kepada era tahun-tahun 2010-an.
Namun cabaran bagi manusia bukanlah virus itu.
Cabaran terbesar ialah sifat manusia yang cenderung untuk berperang sesama sendiri.
Dengan wabak yang begitu bahaya, manusia tetap mempunyai masa dan tenaga untuk berperang.
Pada tahun 2020 ketika bermulanya wabak, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui setiausaha agungnya, Antonio Guterres merayu semua negara supaya menghentikan sebarang peperangan untuk menumpukan perhatian kepada Covid-19.
Tetapi ketika mana dunia masih baru hendak pulih daripada wabak, manusia sudah tidak sabar hendak berperang.
Maka tercetuslah perang di Ukraine.
Perang ini bukan saja melibatkan Ukraine dan Rusia, atau Eropah semata-mata tetapi ia mengheret seluruh dunia.
Dari segi ekonomi, perang itu menjejaskan bekalan gandum dunia.
Ia juga menjejaskan bekalan gas ke Eropah.
Pada keseluruhannya ia menjejaskan rantaian bekalan global yang baru hendak pulih daripada kesan Covid-19, maknanya Perang Ukraine melambatkan lagi pemulihan ekonomi dunia.
Maka dunia terpaksa menghadapi inflasi dan seterusnya kemelesetan.
Pada penghujung tahun 2022 ini, Perang Ukraine yang bermula pada bulan Februari asalnya dijangka hanya memakan masa seminggu tetapi ternyata berlarutan berbulan-bulan dan tidak kelihatan akhirnya.
Ia bermakna bahawa pada tahun 2023, dunia masih menghadapi masalah dan kesan dari Perang Ukraine.
Tetapi perkara lebih besar yang datang dari konflik Ukraine ini ialah peluasan persaingan kuasa besar yang boleh membawa dunia ke ambang perang dunia.
Sesuatu yang tentunya kebanyakan pihak di dunia, khususnya PBB hendak menghalangnya daripada berlaku.
Perang Ukraine ini merupakan peningkatan perseteruan Rusia dengan Barat yang diketuai Amerika Syarikat (AS).
Walaupun Barat tidak terlibat secara langsung dengan Perang Ukraine, mereka aktif menghantar bekalan senjata ke negara itu.
Bukan itu saja, tentera upahan dari AS dan negara-negara Eropah turut bertempur di Ukraine.
Maknanya Perang Ukraine itu adalah pertembungan antara Barat dengan Rusia.
Kesan daripada pertembungan Barat dengan Rusia ini melarat pula kepada peningkatan ketegangan dengan negara-negara yang ada masalah dengan AS.
Paling jelas ialah China yang membabitkan Taiwan dan Laut China Selatan.
Tetapi bukan saja China, negara-negara yang mempunyai isu dengan AS iaitu Korea Utara dan Iran turut diambll kira oleh Barat.
Maka dalam tahun 2022, dapat disaksikan betapa munculnya dua pihak besar yang berseteru.
Pihak Barat yang juga disertai oleh sekutunya di timur iaitu Taiwan, Jepun dan Korea Selatan.
Australia dan New Zealand pula sememangnya disifatkan sebagai Barat.
Pakatan ketenteraan utama Barat ialah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang menambah keahliannya pada tahun 2022 dengan penyertaan Finland.
Pakatan ketenteraan ini menetapkan bahawa mana-mana negara anggota yang diserang oleh pihak luar boleh meminta bantuan ketenteraan dari negara anggota lain.
Pendek kata, jika diserang Rusia, negara anggota Nato boleh meminta kemasukan tentera AS.
Dari satu segi, apa yang menjadikan pertembungan antara Washington dengan Moscow lebih berat berbanding semasa Perang Dingin dahulu ialah Nato kali ini lebih besar.
Kalau dulu, walaupun berdepan dengan Soviet Union yang lebih kuat daripada Rusia sekarang, tidak pula Finland sertai Nato.
Sementara Australia pula mempunyai perjanjian keselamatan dengan AS dan United Kingdom yang dikenali sebagai Aukus.
Ia pula melibatkan pembinaan kapal selam nuklear.
Sesuatu yang tidak berlaku semasa era Perang Dingin.
Aukus ini dilihat bukan ditujukan pada Rusia tetapi China.
Walaupun China tidak ada pakatan keselamatan dengan Rusia, tetapi peningkatan keupayaan ketenteraannya sejak 2012, iaitu apabila Xi Jinping mula menjadi presiden serta polisi peluasannya di Laut China Selatan dilihat sebagai cabaran kepada dunia.
Keadaan ini mendorong negara-negara jirannya untuk meningkatkan keupayaan ketenteraan masing-masing.
Sepanjang tahun 2022, Korea Utara aktif melancarkan roket-roket bersenjatanya ke arah lautan sekitar Korea Selatan dan Jepun.
Maka buat pertama kali sejak Perang Dunia Kedua, Jepun meminda Perlembagaan bagi membolehkannya meningkatkan keupayaan ketenteraan.
Maka sasarannya ialah Korea Utara tetapi pesaing strategik utama Jepun tetap adalah China.
Buat masa ini Jepun mempunyai isu tuntutan wilayah dengan Rusia dan China.
Namun pertembungan utama China adalah dengan AS di Laut China Selatan yang membabitkan bukan saja Taiwan tetapi juga Asia Tenggara.
Asean mengambil pendirian berkecuali seperti mana pada zaman Perang Dingin dahulu, tidak mahu terheret dengan pertembungan China-AS.
Tetapi negara-negara Asean yang juga mempunyai tuntutan bertindan wilayah di Laut China Selatan tentu bimbang terhadap tindakan-tindakan Beijing.
Maka mereka lebih condong pada AS.
Seperti mana pada zaman Perang Dingin dahulu.
Keadaan yang menimbulkan kebimbangan ini mendorong negara-negara Asean yang berdepan dengan China untuk meningkatkan keupayaan ketenteraan masing-masing khususnya angkatan laut dan udara.
Indonesia memperkasakan kapal-kapal perang mereka termasuk kapal selam.
Singapura pula memesan tiga kapal selam dari Jerman pada tahun 2022.
Jadi dalam tahun 2023, trend ini akan berterusan.
Walaupun setiap pihak meningkatkan keupayaan ketenteraan masing-masing tetapi pada asasnya setiap negara akan berusaha mengelak peperangan kerama ia akan merugikan semua orang.
Maknanya, diplomasi akan lebih banyak digunakan daripada tindakan ketenteraan.
Namun dengan melihat apa yang telah berlaku pada tahun 2022, diplomasi boleh menemui jalan buntu dan ia mengheret negara kepada peperangan.
Untuk mengelak peperangan, azam politik untuknya sewajarnya hendaklah tlnggi.
Semangat diplomasi, komitmen, kompromi, tolak ansur dan saling mengalah perlu ada.
Jika tidak, maka jadilah seperti apa yang berlaku di Ukraine. Pemimpin seperti Vladimir Putin akan senantiasa ada pada mana-mana zaman.
Pada masa ini, dan tahun depan, kalau tiada pertambahan peperangan pun, tetapi perbelanjaan yang tinggi untuk meningkatkan keselamatan dan pertahanan bermakna ia akan mengurangkan dana untuk keperluan rakyat.
Untuk perdamaian, manusia perlu menerima perbezaan yang wujud dalam kalangan sesama sendiri.
Tetapi masalah rebutan wilayah tidak dapat dihilangkan dengan menerima perbezaan.
Sebaliknya ia memerlukan tolak ansur yang dihasilkan oleh rundingan dan berakhir dengan persetujuan kedua belah pihak.
Ini merupakan cabaran bagi Presiden Rusia Vladimir Putin dan Volodomyr Zelenskyy, presiden Ukraine untuk tahun 2023.