- Iklan -
Kolum

Mengelak perang di rantau Indo-Pasifik

Untuk mampu meningkatkan kekuatan tentera pula, sesebuah negara mestilah berada dalam kedudukan ekonomi yang baik.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Strategi klasik untuk mengelak perang ialah bersiap sedia untuk menghadapi perang, iaitu mewujudkan keseimbangan kekuatan kepada dua pihak. 

Jika tiada keseimbangan kekuatan, maka berlakulah pelanggaran (invasion) dan penaklukan dari sebelah pihak. 

Justeru, berlakulah peperangan.

Perang Ukraine menyaksikan keadaan ini. 

Rusia adalah lebih kuat dari Ukraine. 

Ia ada masalah dengan Ukraine. 

Diplomasi tidak dapat menyelesaikan masalah, maka Rusia pun melanggar Ukraine. 

Maka berlakulah peperangan.

Minggu lalu mesyuarat Jawatankuasa Konsultatif Keselamatan Amerika Syarikat (AS)-Jepun 2023 tahunan diadakan di Washington. 

Pertemuan itu adalah antara Setiausaha Negara Antony J Blinken dan Setiausaha Pertahanan Lloyd J Austin dengan di pihak Jepun ialah Menteri Luar Hayashi Yoshimasa dan Menteri Pertahanan Hamada Yasukazu.

Kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu kelihatannya biasa seperti mana apa yang mereka lakukan pada tahun-tahun lalu. I

aitu meningkatkan kerjasama pertahanan antara kedua negara untuk keselamatan rantau di mana Jepun berada.

Ia juga menyatakan peningkatan kemampuan pertahanan Jepun dalam menghadapi ancaman sedia ada khususnya Korea Utara yang pada tahun 2022 melancarkan misil bersenjata (ballistic missile) memasuki ruang udara zon ekonomi Jepun.

China juga menghantar kapal perang hampir dengan pulau-pulau Jepun.

Tetapi bagi tahun ini terdapat perbezaan daripada tahun-tahun terdahulu. 

Antaranya kenyataab bersama mengenai keselamatan di peringkat angkasa. 

Ia merujuk pada ancaman-ancaman berbentuk serangan misil dan roket.

Begitu juga dengan persiapan pertahanan menghadapi serangan yang berbentuk siber.

Apa yang perlu ditarik perhatian bagi tahun ini ialah pernyataan mengenai kerjasama pertahanan AS dan Jepun bagi keselamatan rantau Indo-Pasifik. 

Maka di sinilah terletaknya usaha untuk nengimbangi kekuatan pertahanan bagi mengelak perang.

Apabila disebut rantau Indo-Pasifik, ia meliputi negara-negara yang berada di Lautan Pasifik dan Lautan Hindi atau hampur dengannya. 

Asia Tenggara termasuk Malaysia berada dalam rantau Indo-Pasifik.

Rantau Indo-Pasifik ini hanyalah sesuatu konsep yang direka-reka untuk keperluan geostrategi Barat. 

Ini kerana apabila disebut rantau Indo-Pasifik, ia juga melibatkan AS bagi membolehkan mereka campur tangan khususnya berkaitan dengan Taiwan. 

Sebabnya China mempersoalkan betapa AS berada di luar Asia Timur dan campur tangannya di situ adalah seperti lagak kuasa imperialis zaman lalu.

Apa yang ditekankan oleh AS pada konsep rantau Indo-Pasifik ini adalah keselamatan laluan perkapalan yang merupakan perkara penting untuk perdagangan, ekonomi dan kemakmuran. 

Maknanya kapal-kapal dari mana-mana negara mesti bebas lalu di kawasan ini untuk berdagang.  

Laluan itu menghubungkan pelabuhan-pelabuhan di Rusia, Jepun, Korea Selatan, China, Asia Tenggara, Australia, New Zealand, Bangladesh, India, Sri Lanka, Pakistan, Iran, Iraq dan negara-negara di Teluk Parsi.

Matlamat keselamatan rantau Indo-Pasifik tentulah turut disetujui oleh China lebih-lebih lagi ia amat bergantung pada laluan ini. 

Masalahnya China mempunyai dua matlamat nasionalnya. 

Pertama, untuk mengambil wilayah-wilayah yang dianggap miliknya. 

Kedua, melaksanakan inisiatif “One Belt, One Road” atau “Satu Jalur, Satu Laluan” yang turut meliputi pelabuhan-pelabuhan di rantau Indo-Pasifik.

Apa yang boleh menjejaskan keselamatan ialah apabila China bertindak untuk menguasai wilayah-wilayah yang dianggap sebagai miliknya. 

Ia sudah melakukannya di kawasan-kawasan bersempadan dengan India dan juga terumbu-terumbu di Laut China Selatan. 

Apa yang belum dilakukan ialah pada pulau-pulau yang turut dituntut oleh Jepun. 

Tetapi kemuncak tindakan yang boleh dilakukan ialah melanggar dan menakluk Taiwan.

Di sinilah yang AS dan Jepun hendak elakkan. 

Mereka mahu status quo sentiasa dikekalkan. 

Kedudukan Taiwan yang secara rasmi adalah salah sebuah wilayah China tetapi ia mesti bebas untuk mentadbir dengan sendiri.

Apabila berlaku Perang Ukraine yang mana Rusia melanggar dan menakluk Ukraine Timur, maka dibimbangi bahawa China akan melakukan perkara sama ke atas Taiwan. 

Jika berlaku keadaan itu, Taiwan tidak akan mampu mempertahankan dirinya. 

Kekuatan tentera China adalah tinggi, hanya AS yang dapat mengatasinya. 

Tetapi kedudukannya adalah jauh dari Taiwan. 

Negara yang hampir dengan Taiwan ialah Jepun dan Korea Selatan.

Apa yang boleh dilakukan oleh AS ialah menubuhkan satu pakatan keselamatan dengan Jepun, Korea Selatan dan Taiwan. 

Sebagai sebahagian daripada rantau Indo-Pasifik, Australia turut sertai pakatan keselamatan ini.

Kalau boleh AS hendakkan juga penyertaan lebih banyak negara. 

Andai kata negara-negara Asia Tenggara dan Asia Selatan khususnya India turut serta dalam pakatan itu, maka AS dapat memperoleh sekutu yang kukuh.

Tetapi India dan negara-negara Asia Tenggara enggan berpihak dan tidak mahu terheret dengan pertelingkahan AS-China walaupun mereka sendiri sudah terjejas dengan dasar-dasar luar berhubung dengan soal wilayah. 

India kehilangan beberapa kawasan di Himalaya kepada China. 

Negara-negara Asia Tenggara juga terjejas dengan tindakan China di Laut China Selatan.

Tiada pihak yang mahu peperangan kerana ia akan menyusahkan seluruh dunia, termasuklah China. 

Tetapi kemungkinan itu sentiasa ada. 

Ini kerana tiada negara jiran China yang mampu melawannya. 

Sejak 30 tahun lalu, China membina kekuatan pertahanannya, termasuk kemampuannya melancar roket ke angkasa. 

Usaha ini tidak dilihat sebagai penerokaan angkasa semata-mata. 

Seperti dengan Soviet Union pada masa Perang Dingin dahulu, AS turut melihatnya sebagai pembinaan keupayaan ketenteraan. 

Untuk itu AS menubuhkan angkatan bersenjata angkasa, iaitu sebagai tambahan kepada angkatan darat, laut dan udara.

Bagi mengelak perang, keseimbangan kekuatan pertahanan wajar diimbangkan. 

Untuk itu, AS berusaha melengkapkan kekuatan pertahanan Jepun, Korea Selatan dan Taiwan dengan ditambah kehadiran kapal-kapal perang lautnya di sekitar kawasan bagi mengelak China daripada mencetuskan peperangan.

Tetapi persaingan kekuatan kerenteraan bagi mencapai keseimbangan ini merupakan perlumbaan senjata. 

Ia bererti banyak sumber dibelanjakan untuk pertahanan yang mana dana itu lebih bermanfaat jika dibelanjakan untuk kebajikan rakyat.

Jika melihat sejarah, persaingan bersenjata ini kelihatannya tidak dapat dielakkan. 

Ia seperti mencerminkan naluri manusia yang cenderung untuk berperang dan memusnahkan dunia. 

Pastinya perlumbaan senjata tidak menggambarkan semangat Piagam Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mahu menghapuskan peperangan sama sekali.

Anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang terdiri daripada AS, Britain, Perancis, Rusia dan China sepatutnya sentiasa mencari jalan bagi mengelak perang, dan bukannya jadi penggalaknya.

Caranya ialah menahan diri (restrain) dan mencari penyelesaian melalui diplomasi, bukannya meningkatkan kekuatan ketenteraan. 

Menurut fahaman geopolitik hari ini pula ialah sebarang usaha diplomasi hendaklah beserta dengan keseimbangan kekuatan pertahanan yang bermakna meningkatkan kemampuan tentera.

Untuk mampu meningkatkan kekuatan tentera pula, sesebuah negara mestilah berada dalam kedudukan ekonomi yang baik. 

China mampu meningkatkan kemampuan ketenteraan setelah mempunyai kedudukan ekonomi yang baik. 

Sememangnya ia adalah suatu paradoks. 

Ketika China muncul menjadi negara penyumbang utama kepada ekonomi dunia sejak 30 tahun lalu, tetapi akhirnya ia pula menjadi ancaman kepada keamanan.

Sebenarnya ia terpulang pada pemimpin utama negara untuk memilih jalan perang atau damai. 

Walaupun keputusan mereka berasaskan nasihat para pakar hubungan luar dan keselamatan dalam kerajaan masing-masing, keputusan muktamad terletak pada pemimpin utama itu. 

Presiden Vladimir Putin sememangnya punca peperangan di Ukraine. 

Tetapi dalam sejarah mutakhir, Presiden George W Bush dibantu oleh Perdana Menteri United Kingdom Tony Blair adalah punca perang di Iraq dan Afghanistan. 

Setakat ini Presiden Xi Jinping belum lagi melancarkan perang.