- Iklan -
Rencana

Dilema Anwar Ibrahim

Jika beliau menolak kerjasama dengan BN-Umno yang dipimpin oleh Zahid bererti kerajaannya tumbang.

Hassan Abdul Karim
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan barisan Kabinet di Putrajaya pada 2 Disember.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan barisan Kabinet di Putrajaya pada 2 Disember.

Simpati kepada Anwar Ibrahim,

Itulah kalimat awal yang ingin saya nyatakan sebagai menghormati perdana menteri. Tulisan ini mungkin akan mengguris hati.

Sebagai perdana menteri dan pemimpin politik veteran, Anwar tentu menyedari wujudnya peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 33A(1) yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah terhenti menjalankan fungsi Agong jika dituduh atas suatu kesalahan.

Bahasa mudahnya bermaksud bahawa Agong kena meletakkan jawatan jika baginda dituduh atas suatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan.

Begitu tegas dan keras peruntukan undang-undang, hatta ke atas Agong yang menjadi ketua negara Malaysia. Baru dituduh sahaja, sudah diminta letak jawatan. Belum bicara lagi. Belum tentu bersalah atau tidak bersalah.

Jadi kerajaan Anwar sekarang tidak dapat mengelak diri jika rakyat yang celik huruf dan ilmu pengetahuan bertanya satu soalan, iaitu bagaimana kerajaan yang ada sekarang boleh dihormati jika Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi terdiri daripada sosok tubuh individu yang sedang dibicarakan di mahkamah atas berpuluh-puluh pertuduhan jenayah rasuah dan pecah amanah? 

Zahid sekarang berada di peringkat membela diri. Di akhir kes pendakwaan yang lalu, beliau didapati bersalah oleh hakim kerana pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Inilah yang saya simpati kepada Anwar. Inilah dilema perdana menteri kita sekarang.

Dalam satu segi, komitmen Anwar untuk membawa tata kelola yang baik dalam pentadbiran kerajaan tidak dipertikaikan oleh rakyat. Hasrat Anwar untuk mewujudkan satu pentadbiran yang berintegriti mendapat restu dan dipercayai rakyat.

Berpuluh-puluh tahun majoriti rakyat mimpikan Anwar menjadi perdana menteri. Termasuklah penulis kerdil ini.

Tetapi realiti yang wujud pada siang hari bukannya mimpi indah itu tadi. Realitinya berbeza sama sekali.

Inilah dilema Anwar. Tolak kerjasama dengan BN-Umno yang dipimpin oleh Zahid bererti kerajaannya tumbang. Anwar hilang jawatan. Pakatan Harapan (PH) hilang kerajaan. Ramai yang akan meroyan.

Meneruskan kerajaan yang ada sekarang dengan sokongan Zahid dari kluster mahkamah sudah pasti menjejaskan imej Anwar, mencomotkan wajah Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mencemarkan prinsip PH yang ingin membawa agenda reformasi institusi.

Jadi apa jalan keluar yang ada pada Anwar Ibrahim, PKR dan PH?

Cuba lihat senario hipotetikal ini sebagai contoh. Senario ini dikemukakan sebagai contoh sahaja dengan semangat baik sangka bukannya berniat jahat. Langsung sama sekali tidak berhasrat melakukan sub judis atau cuba menghina mahkamah.

Penulis kena sebut ini semua sebagai “exclusion clause” untuk mengelak diri kecil ini dari ditangkap dan dituduh di mahkamah atas kesalahan menghina mahkamah atau mungkin juga kesalahan fitnah jenayah atau lebih parah lagi dituduh di bawah Akta Hasutan. 

Senario hipotetikal itu seperti berikut:

Apa jadi kalau kerajaan yang ada sekarang yang masih berkuasa dan dalam masa yang sama Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Zahid tidak bersalah dan dilepas serta dibebaskan daripada berpuluh-puluh pertuduhan jenayah yang dihadapinya?

Penulis percaya sudah pasti akan wujud keadaan di mana sesetengah rakyat akan cepat menuding jari dan menuduh Anwar campur tangan dalam keputusan Mahkamah itu. Walhal keadaan yang sebenarnya mungkin Anwar tidak bersalah kerana beliau tidak campur tangan urusan mahkamah seperti janji tegasnya selama ini yang mahu sistem kehakiman berfungsi dengan bebas.

Fitnah ke atas perdana menteri akan terus berlaku.

Seterusnya senario itu bergerak ke fasa berikut:

Jika Zahid didapati tidak bersalah dan dilepaskan, adakah Pendakwa Raya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Malaysia di Putrajaya? 

Pendakwa Raya adalah orang yang sama iaitu peguam negara yang berfungsi sebagai penasihat kerajaan di mana Zahid adalah bos nombor dua dalam Kabinet kerajaan Persekutuan?

Tidak wujudkah “conflict of interest” di pihak Kerajaan sama ada hendak membuat rayuan atau tidak membuat rayuan? Ini satu lagi dilema Anwar.

Jika pendakwa raya yang juga peguam negara tidak membuat rayuan, sebagai contoh andaian, maka yang jadi mangsa fitnah tetap Anwar. Presiden PKR dan Pengerusi PH itu akan dituduh cuba menyelamatkan Zahid.

Itulah susahnya dan dilemanya yang sekarang dihadapi Anwar kerana melantik Zahid yang ada kes di mahkamah. 

Sebab itulah institusi Yang di-Pertuan Agong dipandang mulia dan tinggi oleh rakyat kerana wujudnya Perkara 33(A)(1) di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sekali lagi, inilah dilema Anwar. Jika beliau tegas mengikut semangat dan konvensi perundangan perlembagaan dalam Perkara 33(A)(1) bermakna kerajaan perpaduan pimpinannya akan tumbang macam runtuhnya “daun terup”.

Sebaliknya jika kolaborasi antara Anwar, PH dengan Zahid yang bermaslah dengan kes jenayah diteruskan, maka Anwar akan beransur-ansur hilang reputasi seorang reformis, PKR memasuki fasa gerhana dan gelap manakala PH hilang integriti dan tidak dipercayai lagi.

Pada hemat penulis, BN-Umno dari kelompok kes jenayah rasuah dan pecah amanah ini boleh diibaratkan sebagai virus yang sedang menjangkiti perdana menteri, PKR dan PH. Tiada vaksin untuk menawar racun toksik ini. Jalan kesudahannya mungkin maut dan mati.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.