Aku ingat lagi petang Khamis itu. Aku dijemput untuk menghadiri perjumpaan Kelab Sosialis.
Ini pertemuan kali pertama. Kami bertemu di sebuah bilik kecil di Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM).
Aku menapak dari Kolej Kelima. Tiada siapa kawan aku yang tahu aku dengan bangga melamar dan mendaftar untuk menjadi anggota Kelab Sosialis.
Bila aku masuk ke bilik kecil ini aku ternampak muka Syed Husin Ali, Usman Awang dan Latiff Mohidin.
Sosok-sosok ini semuanya aku temui buat kali pertama.
Selain daripada empat orang Melayu termasuk aku, ada lagi beberapa mahasiswa Cina termasuk Lee Chee Keong yang menjemput aku.
Dalam bilik kecil ini hanya Chee Keong yang pernah bercakap dengan aku.
Aku kenal wajah Syed Husin kerana dia pensyarah ilmu Sosiologi di Fakulti Sastera.
Aku ada ternampak dia berjalan di Dataran Sastera.
Aku kenal muka Usman dan Latiff kerana aku membaca Dewan Sastera.
Juga aku pernah lihat gambar Usman dalam akhbar Utusan Malaysia. Usman seorang sasterawan dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Aku tahu sajak “Ke Makam Bonda” tulisan Usman.
Malah pernah pada tahun 1960 di Sekolah Umum Batu Sarambai, Ulu Klawang di Jelebu aku mendengar kali pertama Ke Makam Bonda dibacakan.
Sajak ini mahu didramakan untuk sambutan Hari Raya. Sambutan Hari Raya ini dibatalkan kerana Yang di-Pertuan Agong yang juga Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mangkat pada 1 April 1960 seminggu sesudah Hari Raya.
Latiff dari apa yang aku baca adalah seorang pelukis dan dia juga menulis sajak.
Pada tahun 1971 apa lukisan Latiff aku tidak tahu dan tidak pernah melihat. Sajak Latiff pun belum pernah aku baca.
Pertemuan petang itu bertujuan untuk suai kenal ahli Kelab Sosialis baru dengan anggota lama. Kami tidak ramai, tak sampai 15 orang.
Pada petang itu aku berkenalan dan bersalaman dengan Heng, Yeoh, Chin dan Ho.
Setelah bersalaman kami bersembang santai. Ada jamuan ringan teh susu, kopi, kuih karipap dan kuih koci.
Chin menjadi tarikan.
Semua berkumpul di keliling Chin.
Dia bercerita tentang forum Karam Singh dan Tajuddin Kahar yang berlangsung.
Petang itu aku dengar bagaimana Chin bercerita secara serius sambil berseloroh bila dia ditemui oleh Special Branch (SB).
SB ini adalah mata-mata gelap tanpa pakaian seragam yang bertugas mengintip.
“SB wants to know, who organise the forum?” Chin menerangkan.
Semua senyap mendengar.
“Of course, told him, I’ve no idea.” Chin berkata sambil ketawa kerana berjaya memperlekeh SB.
Aku tidak hadir dalam forum ini walaupun menyimpan niat hendak mendengar pengalaman Karam dan Tajuddin dalam penjara tahanan politik.
Sambil cawan teh di tangan dan mulut mengunyah karipap aku merapati Usman yang ketika itu bersembang dengan Syed Husin dan Latiff.
“Dari mana?” Syed Husin memandang aku dan bertanya.
“Fifth College.” Aku menjawab.
“Ibrahim Husin di Fifth College kan?” Usman menyampuk.
“Betul.” Aku menjawab.
“Ungku Aziz ambil dia jadi pelukis rasmi UM.” Usman menerangkan.
Aku hanya mengangguk.
“Latiff kita ini, baru balik dari Jerman. Kalau tidak dia pun boleh melukis.” Usman menyambung cerita.
Aku tidak tahu pun tentang apa Latiff buat di Jerman dan bila dia pulang dari Jerman.
Yang aku tahu Latiff ini budak Lenggeng.
Dia melukis poster iklan filem untuk panggung wayang di Seremban. Ini cerita yang aku dengar. Entah betul entah tidak.
“Anak Alam macam mana?” Usman bertanya kepada Latiff.
Aku pernah terbaca berita tentang Anak Alam ini. 1971 zaman pop yeah yeah dan hippies.
Pesta muzik Woodstock baru selesai pada bulan Ogos 1969. Filem Woodstock masih jadi tontonan.
Aku ingat lagi tahun 1968, tok guru John Lennon yang bernama Maharisihi Yogi datang ke Palau Pinang.
Ada kereta Rolls-Royce datang menyambut.
Pulau Pinang ketika itu menjadi sarang batu loncatan hippies dari Kathmandu dan India singgah sebelum bercanda ke Siam.
Pada hemat aku Anak Alam ini adalah hasil pengaruh hippies, pesta muzik Woodstock dan Rock n Roll.
Rambut Latiff yang panjang, bermisai dan berjanggut sejemput dengan kemeja coklat lusuh dan seluar jeans meyakinkan aku si Latiff ini seorang hiipies.
Muka Latiff pula ada iras Scott McKenzie (1939-2012) penyanyi lagu San Francisco yang hot pada tahun 1968.
Tiba-tiba aku terbau wangi. Aku cari puncanya. Aku ternampak Usman sedang menghembuskan asap rokok.
Baru aku sedar bahawa Usman ini seorang perokok. Bukan rokok biasa. Aku perhatikan kotaknya. Merah dan bertulis Gudang Garam. Usman pada petang itu bertanggungjawab mempertemukan aku dengan Gudang Garam.
“Tongkat, we have to go.” Chin dan Ho meminta diri.
“You call him Tongkat?” Aku bertanya pada Chin.
“Inilah Tongkat Warrant, geng Singapura dia tak pernah panggil dia Usman, semua panggil Tongkat.” Latiff menerangkan.
Aku tahu Tongkat Warrant ini nama pena Usman. Aku tak sangka ada ornag memanggil dia Tongkat.
Petang itu aku merasa gembira kerana secara rasmi aku diterima menjadi anggota Kelab Sosialis.
Petang Khamis itu juga aku berbangga kerana dapat berkenalan dan berbual untuk pertama kalinya dalam hidup aku dengan Usman, Latiff dan Syed Husin.
Aku terfikir juga kenapa Usman dan Latiff datang ke jamuan teh Kelab Sosialis.
Pertanyaan ini tidak aku tanyakan kepada sesiapa pun.
Aku membuat rumusan peribadi bahawa Tongkat Warrant dan Latiff Mohidin adalah penganut fahaman sosialis.
Syed Husin ahli Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM). Tongkat dan Latiff bukan orang parti.
Jika tidak menganut fahaman sosialis mengapa mereka hadir dan dijemput datang ke jamuan Kelab Sosialis UM 1971?
Justeru, pada hemat aku mereka ini pasti penyokong PSRM.
“Nak baca buku apa? Saya nak baca buku sosialis.” Aku murid tahun pertama bertanya kepada Syed Husin tentang buku yang perlu aku baca untuk memahami ideologi sosialisme.
“Datanglah ke pejabat, ada buku boleh pinjam dan baca.” Syed Husin mempelawa aku.
Petang Khamis itu aku merasa puas hati. Bukan saja dapat makan kuih koci dan karipap malah dapat berkenalan dengan Tongkat dan Latiff.
Lewat petang Sabtu kuliah, selesai. Waktu bersukan.
Aku terserempak dengan Papa Mus siswa Ekonomi di Dewan Makan. Papa Mus siswa dari Ipoh ini juga pernah bercerita dengan aku tentang Ahmad Boestamam. Maka aku rasa dia bersimpati dengan garis politik kiri.
“Mari kita ronda tepi tasik.” Papa Mus mengajak aku merayap ke tepi tasik di hadapan Kolej Kedua.
Kami menapak menuju ke arah tasik. Tidak ada apa yang menarik di tepi tasik. Kemudian kami mengelencong ke Dewan Tunku Canselor.
“Mari ke Dataran Sastera, aku nak cari opis Syed Husin.” Aku memberi cadangan kepada Papa Mus. Dia tidak membantah.
Kami melintas Fakulti Sains sampai ke depan perpustakaan. Kemudian melintas di hadapan Sudut Pidato.
Sudut Pidato tangga batu tiga tingkat terletak di hadapan perpustakaan antara lima batang pokok rendang.
“Ini saja Speakers’ Corner, aku ingat apa.” Papa Mus bertanya dan menjawab sendiri.
Ramai pelajar baru masuk UM akan terperanjat apabila melihat tangga batu ini. Ianya tanda kebebasan bersuara bukan hanya di UM, malah ianya terakam dalam sejarah perjuangan pelajar.
Pelajar baru terperanjat bila melihat kerana beritanya yang gah dalam laporan akhbar.
Walhal ianya hanya tangga batu tiga tingkat.
Dataran Sastera kosong. Kami menapak ke bangunan pejabat tenaga pengajar.
Bilik-bilik kecil yang ada nama pensyarah tertulis. Aku mencari nama Syed Husin Ali.
Di tengah tingkat tiga aku jumpa pejabat Syed Husin. Namnya tertulis di dinding pintu.
“Ok, dah tahu.” Aku bersuara.
Isnin lepas kuliah jam 10.00 pagi aku memanjat tangga ke pejabat Syed Husin. Aku mengetuk pintu. Syed membuka pintu.
“Saudara, siapa nama?” Syed bertanya.
“Isham dari Fifth College, datang nak pinjam buku.” Aku menjawab.
“Ya.” Syed Husin membongkok ke belakang mencari buku di rak buku di belakang kerusi.
Dia membelek-belek beberapa buah buku. Dia memilih yang sesuai untuk aku baca.
“Yang ini dulu, baca yang ini.” Syed Husin menghulurkan buku “The Essential Left”.
“Terima kasih.” Aku sambut dan membelek buku itu.
Buku The Essential Left yang mengandungi tulisan Karl Marx, Friedrich Engels dan Vladimir Lenin.
Buku ini tidak tebal hanya 255 muka surat.
Turun dari bilik Syed Husin aku terus menapak pulang ke Kolej Kelima.
Semua beres. Aku sudah mendaftar untuk menjadi ahli Kelab Sosialis.
Tetapi aku masih belum menjadi anggota penuh. Aku menjadi anggota cadangan.
Ini sistem Kelab Sosialis. Aku wajib membuktikan bahawa aku faham asas sosialisme.
Aku perlu aktif sebelum diterima penuh sebagai anggota Kelab Sosialis.
Kelab Sosialis mengamalkan sistem pengkaderan.
Ada ahli cadangan dan ada ahli penuh.
Tahun 1971 aku hanya ahli cadangan Kelab Sosialis.
Buku The Essential Left membuka satu dunia baru untuk aku. Selesai membaca kini aku menunggu aksi.