- Iklan -
Kolum

Bagaimana ChatGPT bakal mengubah manusia

Tidak lama lagi, ahli-ahli politik tidak akan perlu mengupah 'ghost writer' atau penulis gelap untuk menulis buku dan memoir mereka.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Menurut sejarah, purata jangka hayat manusia semakin bertambah. 

Pada waktu ini purata jangka hayat manusia di Malaysia ialah 70 tahun lebih, sesuatu yang tidak berlaku dahulu. 

Sebelum abad ke-20, jangka hayat hanya mencapai 40, 50 dan 60 tahun. 

Maknanya usia produktifnya lebih awal iaitu 20, 30 dan 40 tahun. 

Lebih-lebih lagi pada masa itu, kebanyakan pekerjaan menggunakan tenaga manusia.

Perubahan besar bagi kehidupan manusia dan pelanjutan hayat banyak disebabkan oleh kemajuan perubatan dan teknologi.

Penciptaan mesin dan jentera mengurangkan penggunaan tenaga manusia, maknanya perhatian adalah kepada menggunakan keupayaan otak ternasuklah peningkatan kemahiran menggunakan alat dan jentera.

Pada tahun 1980-an, saya tergolong pada generasi yang berusia 20-an. 

Dalam bidang kerja saya, ia memerlukan bukan saja kecerdasan otak tetapi juga kemahiran menggunakan mesin. 

Bagi saya, selain daripada menggunakan keupayaan otak tetapi memerlukan kemahiran menggunakan mesin taip. 

Selain itu untuk mengeluarkan produk surat khabar, ia memerlukan pekerja yang mahir mengendalikan alat taipseting dan mesin cetak. 

Tetapi pada awal tahun 1980-an, komputer peribadi mula diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS). 

Ia merupakan perkembangan besar hinggakan ia dijadikan "Person of the Year" bagi laporan kulit depan majalah berita terkemuka Time. 

Dunia pula memasuki era komputer peribadi apabila Apple melancarkan Mac yang dapat dibeli dengan harga jauh lebih murah. 

Tumpuan komputer ini adalah pada bidang penerbitan. 

Seseorang boleh menaip dan membuat “lay-out” dengan komputer itu. 

Dunia penerbitan berubah dengan mendadak. 

Penerbitan adalah bidang pertama yang diasak oleh komputer peribadi. 

Selepas penerbitan, ia pun pergi ke bidang lain. Dunia sudah tidak serupa lagi 

Pelancaran Apple Mac bagi Asia Tenggara dilakukan di Singapura pada tahun 1984. Saya membuat liputan pelancaran itu. 

Apple menaja penerbangan yang membawa para pemberita Malaysia untuk melihat sendiri komputer peribadi itu. 

Apabila dipelawa untuk menggunakannya, para pemberita berasa teragak-agak untuk menyentuh papan kekuncinya. 

Ramai wartawan masih sayangkan mesin taip mereka.

Apabila saya menulis laporannya, akhbar tempat saya bekerja tidak menganggapnya penting dan hanya menyiarkannya secara pendek di halaman ekonomi. 

Akhirnya pada tahun 1990, komputer peribadi masuk ke bilik-bilik berita. 

Para pemberita diajar untuk menggunakannya. 

Ia merupakan mesin yang lebih hebat daripada daripada mesin taip. 

Generasi yang berusia 40 dan 50 tahun sukar untuk menerimanya. Ada yang bertegas masih mahu terus menggunakan mesin taip.

Rupa-rupanya asakan komputer itu tidak terhenti setakat menyingkirkan mesin taip. 

Apa yang lebih besar lagi ialah apabila datang internet pada tahun 2000-an. 

Kerja memperoleh dan menyebar maklumat berubah selama-lamanya. 

Halaman-halaman sesawang, jentera pencari (search engines) dan emel meluaskan dunia maklumat yang selama ini tersekat dengan akhbar, majalah, buku, radio dan televisyen.

Bagi generasi muda, sekitar berusia 20-an dan 30-an, mereka dengan mudah menggunakan internet untuk mendapatkan maklumat dan mengirim emel. 

Pada masa itu saya ada menemui pegawai-pegawai berusia 50 tahun lebih masih enggan menggunakan internet dan emel. 

Mereka meminta pustakawan untuk mencarikan maklumat.

Sedangkan pustakawan itu pun mencarinya menggunakan internet. 

Sementara untuk emel, mereka meminta setiausaha dan kerani menguruskannya. Malah ada antaranya bertegas supaya mesin faks digunakan dan semua emel dicetak dan dipos.

Ada sesuatu yang menghalang (resistance) generasi lebih tua untuk menerima teknologi komunikasi baru sedangkan ketika masa muda mereka dapat menerima teknologi ketika itu dengan mudah. 

Perkembangan komputer ada kaitan dengan perubahan generasi.

Tetapi perkembangan terbesar dalam dunia komunikasi ialah pada tahun 2010-an. 

Komputer masuk dalam poket sebagai telefon pintar. 

Ketika itu saya sudah berusia 50-an dan sukar untuk berubah bagi menggunakan telefon pintar. 

Ketika rakan-rakan sekerja yang lebih muda sudah menggunakan BlackBerry, warga lebih tua masih mengekalkan telefon Nokia mereka.

Pada masa itu sudah mula ada kesedaran bahawa akhbar cetak, majalah cetak dan buku cetak sedang menuju ke penghujung hayatnya. 

Ia akan digantikan dengan portal berita, e-magazine dan e-book yang boleh diperoleh melalui telefon pintar. 

Saya membeli juga e-reader dan bersemangat untuk berhijrah ke e-book. 

Tetapi pada usia 50-an, perkara itu saya rasa sukar untuk lakukan. Akhirnya saya kembali pada buku cetak dan ketepikan e-reader.

Namun perkembangan yang tidak dijangka pada tahun 2010-an ialah kemunculan media sosial, bermula dengan Twitter dan Facebook,  kini ada Instagram dan TikTok. 

Ketika warga berusia 60-an hanya selesa dengan Facebook dan WhatsApp, generasi muda lebih aktif dalam TikTok. 

Media sosial ini mendatangkan ketagihan dan memakan banyak masa pengguna. 

Akhirnya pengguna tidak ada masa dan motivasi untuk membaca media tradisi. 

Maka pastinya kurang orang yang membaca akhbar, majalah dan buku. 

Lebih-lebih lagi bagi generasi muda yang tiada tabiat dan kegigihan untuk membaca tulisan panjang-panjang seperti “longform” iaitu artikel panjang dan buku.

Perkembangan teknologi komputer dipercayai memasuki semua bidang kehidupan, bukan saja komunikasi tetapi juga kesihatan, perbankan dan permotoran. 

Kini penggunaan QR Code sudah meluas. 

Bukan saja untuk pembayaran bagi pembelian tetapi juga membuat pesanan di restoran. 

Mereka tidak menggunakan pelayan dan pelanggan perlu membaca menu melalui telefon. 

Saya sebagai warga emas berasa tidak suka pada keadaan ini. 

Ada suatu perasaan bahawa ia merupakan keadaan yang tidak mesra manusia. 

Tetapi bagi generasi muda, mereka berasa selesa dengan perkembangan ini.

Namun ada suatu yang lebih besar akan berlaku pada tahun 2023 dan akan datang. 

Pada November lalu dilancarkan satu aplikasi bernama ChatGPT.  

Ia merupakan chat bot yang dilatih menggunakan artificial intelligence atau kecerdasan buatan untuk “bercakap” seperti manusia. 

Konsep kecerdasan buatan diperkatakan sejak tahun 1980-an dalam lingkungan bidang sains komputer. 

Subjek sibernetik juga diajar di universiti-universiti di Malaysia.

Malah pada tahun 2000-an, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pernah menerbitkan buku bertajuk “Kepintaran Buatan” yang ditulis oleh ahli akademik tempatan.

Pada tahun 2010-an, robot-robot mula dikaji dan dibangunkan di Jepun, AS dan Jerman. 

Tetapi robot industri khususnya untuk untuk pembuatan kereta sudah digunakan sejak tahun 1980-an lagi. 

Pada tahun 2020 robot ringkas muncul di restoran-restoran Malaysia. 

Aplikasi ChatGPT ini boleh menulis deskripsi, menyediakan artikel blog dan mencari sesuatu maklumat. 

Walaupun ia sedang terus diperbaiki tetapi tulisannya adalah seperti buatan manusia.

Cara menggunakan ChatGPT adalah mudah. 

Tulis saja arahan perkara apa yang dikehendaki. 

Aplikasi ini akan mencari maklumat dalam internet dan menulisnya dalam bentuk artikel blog dengan mengambil masa beberapa saat saja.

Selain ChatGPT, aplikasi lain yang menggunakan AI ialah Jasper AI (melukis apa saja), Dall-E-2 (mencipta seni dan teks), Jenni AI (menulis esei) dan lain-lain. 

Tidak lama lagi, ahli-ahli politik tidak akan perlu mengupah "ghost writer" atau penulis gelap untuk menulis buku dan memoir mereka.

Generasi muda akan menyambut baik aplikasi AI ini tetapi sebagai warga berusia lebih 60-an, saya tetap hanya mahu membaca buku yang ditulis oleh manusia. 

Zaman masa depan bukan era saya. Biarlah generasi baru menentukannya. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.