Masalah utama yang dialami sektor pertanian dan penternakan di Malaysia ialah ketergantungan terhadap import bahan mentah yang diperlukan.
Contohnya baja dan makanan ternakan haiwan.
Kedua-dua ini adalah salah satu bahan mentah yang paling penting di dalam pertanian dan penternakan.
Situasi ini juga berlaku untuk bahan-bahan kimia yang digunakan dalam pertanian seperti ubat, pestisida dan herbisida, yang rata-ratanya dari luar negara.
Permasalahan yang sama juga terdapat di dalam peralatan dan kelengkapan pertanian seperti traktor, mesin penanam, dan mesin pengolah tanah.
Malah, masalah yang sama juga berlaku di sektor tenaga kerja yang digunakan dalam pertanian.
Pekerja luar negara amat diperlukan sebagai tenaga kerja yang digunakan dalam pertanian.
Ini kerana ramai golongan muda di Malaysia tidak berminat untuk bekerja dalam sektor pertanian.
Semua ini amat merbahaya kerana ia menyebabkan negara kita terdedah kepada risiko yang tinggi jika terdapat krisis di pasaran dunia.
Selain itu, ia juga menyebabkan negara kita kehilangan upaya untuk mengawal harga hasil pertanian di samping menyempitkan peluang untuk meningkatkan pendapatan dari sektor itu.
Kebergantungan kepada import akan menyebabkan lonjakan kos perternakan dan pertanian di Malaysia terpaksa diserapkan ke dalam harga hasil pertanian negara, yang akhirnya perlu dibayar oleh rakyat Malaysia sendiri seperti yang berlaku hari ini.
Masalah ini berlaku kerana negara kita kurang memfokuskan kepada pembangunan sektor pertanian.
Kita lebih cenderung untuk mengimport bahan mentah daripada membangunkan industri pertanian dalam negara.
Ini adalah kerana ramai pihak beranggapan bahawa ia lebih mudah dan murah untuk mengimport bahan mentah daripada membangunkan industri pertanian dalam negara.
Perkara ini dirumitkan apabila wujudnya golongan tengah yang mengaut untung atas angin daripada monopoli import.
Natijahnya, kebergantungan kita terhadap import bahan mentah yang diperlukan dalam pertanian menyebabkan kos harga makanan meningkat kerana kita hilang upaya untuk mengawal harga hasil pertanian sendiri.
Malaysia perlu bertindak untuk membangunkan industri pertanian dan penternakan dalam negara dengan memokuskan cara untuk mengurangkan ketergantungan terhadap import.
Antara langkah utama yang perlu diambil kerajaan ialah dengan mempromosikan pertanian sebagai satu industri yang menguntungkan dan menarik untuk dilakukan.
Ini boleh dilakukan dengan menyediakan peluang pekerjaan dan pendidikan yang baik serta skim potongan cukai yang lebih menarik bagi mereka yang berminat untuk bergelar petani.
Selain itu, kerajaan perlu mengambil inisiatif menggalakkan penyelidikan yang dapat menghasilkan benih dan teknologi pertanian yang meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan, sehingga ia lebih diiktiraf di pasaran antarabangsa dengan pelbagai insentif kewangan.
Semua ini akan membantu Malaysia mengurangkan ketergantungan terhadap import dan meningkatkan kualiti produk pertanian kita.
Ini akan secara langsung meningkatkan pendapatan dari sektor pertanian serta penternakan di samping mengurangkan risiko harga makanan negara terdedah kepada krisis di pasaran dunia.