- Iklan -
Kolum

Perang ‘bayangan’ Israel-Iran mengancam keamanan dunia

Ini kerana Israel dan Iran tidak berkongsi sempadan. Ia dipisahkan oleh Iraq dan Syria.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Pada masa ini sedang berlaku "perang bayangan" atau "shadow war" antara Israel dan Iran. 

Apa yang dimaksudkan dengan perang bayangan ialah serangan-serangan yang dilakukan tanpa perisytiharan perang secara rasmi.

Ia pula dilakukan secara tersembunyi yang ada kalanya oleh pihak ketiga. 

Ia melibatkan serangan bom, pembunuhan dan perisikan.

Terbaru ialah serangan dron ke atas fasiliti tentera Iran minggu lalu. 

Menurut Iran, terdapat beberapa serangan, antaranya dapat dipatahkan. 

Cumanya sebuah daripadanya terkena sebahagian fasiliti. 

Iran menuduh Israel walaupun negara Zionis itu enggan mengakuinya secara rasmi. 

Tetapi media Barat keseluruhannya menyebut bahawa serangan itu dilakukan oleh Israel.

Perang bayangan antara Iran dan Israel ini disifatkan sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu, dan ia melibatkan ruang udara Iraq. 

Ini kerana Israel dan Iran tidak berkongsi sempadan. Ia dipisahkan oleh Iraq dan Syria. 

Kedua-dua negara itu pula mengalami banyak kehancuran dan tidak lagi menjadi ancaman kepada Israel. 

Seringkali laporan yang didengar ialah serangan sebelah pihak sahaja iaitu Israel. 

Tetapi itupun Israel tidak mengakui. Sementara serangan dari Iran adalah lebih kepada serangan balas. 

Itupun beberapa tahun lalu dan ia dilakukan oleh kumpulan Hezbollah dari Lubnan. 

Tetapi kini Lubnan juga berada dalam kedudukan ekonomi yang teruk. 

Hezbollah pula mengalami kemerosotan sokongan politik di negara itu dengan kehilangan banyak kerusi Parlimen dalam pilihan raya baru-baru ini.

Serangan dron itu berlaku selepas lawatan rasmi Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony J Blinken ke Israel untuk bertemu Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. 

Blinken turut bertemu Mahmoud Abbas, presiden Palestin. Lawatan itu diadakan selepas berlaku pergaduhan di Baitulmaqdis.

Selepas lawatan itu, Blinken membuat penegasan semula keperluan mengenai "penyelesaian dua negara" (two-state solution) yang bermaksud penubuhan negara berdaulat Palestin. 

Walaupun tentunya Presiden Mahmoud mengalu-alukan kenyataan ini tetapi beliau pasti faham ia tidak akan dapat dilaksanakan. 

Sudah bergantian ramai presiden AS selama 40 tahun, tetapi negara Palestin tidak juga dapat diwujudkan. 

Lawatan Blinken ini juga adalah mewakili presiden terbaru AS iaitu Joe Biden untuk menemui Netanyahu yang baru dilantik semula. 

Sementara Netanyahu pula sudah menjadi ketua kerajaan sejak tahun 1996 dengan beberapa kali terlepas jawatannya,  beliau tidak berminat untuk membenarkan penubuhan negara Palestin.

Kenyataan beliau pula tidak menyentuh negara Palestin. 

Sebaliknya kerajaan Israel mengarahkan supaya kerja-kerja merobohkan rumah orang Palestin diteruskan dengan membenarkan rakyat mereka membawa senjata. 

Kunjungan Blinken itu adalah lebih kepada berjumpa Netanyahu. 

Perjumpaannya dengan Mahmoud hanyalah sebagai diplomasi imbangan. 

Mahmoud pasti sedar bahawa pihak Palestin sudah tidak dapat berbuat apa-apa. Israel jauh lebih kuat daripada Palestin.

Ada satu masa dulu, iaitu pada tahun 1970-an, Palestin berada pada kedudukan kuat bukan saja kerana kemampuan sayap bersenjata Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) tetapi terdapat dua lingkaran yang turut menyokongnya. 

Lingkaran pertama adalah negara-negara nasionalis Arab yang menjadi sekutunya iaitu Iraq, Syria, Mesir dan Libya. 

Mereka ini bukan sahaja memiliki keupayaan tentera yang besar tetapi juga secara lantang menentang Israel. 

Lingkaran kedua ialah Soviet Union dan negara-negara Eropah Timur. Mereka menjadi pengimbang kepada AS dan Eropah Barat. Kini kedua-dua lingkaran itu sudah tiada.

Tetapi pada 1970-an, sebelum revolusi, Iran bersekutu dengan AS dan Israel. 

Perkara ini berubah selepas revolusi. Bukan saja Iran menjadi berseteru dengan kedua-dua negara itu tetapi muncul pula kuasa baru di Lubnan iaitu Hezbollah.

Selain Iran dan Hezbolleh, Israel berdepan dengan Iraq pimpinan Saddam Hussein, Syria pimpinan Hafez Assad dan Libya pimpinan Muammar Gaddafi. 

Bagi mereka Hezbollah merupakan proksi Iran dan kekuatannya disokong juga oleh Syria.

Tetapi kekhuatiran utama Israel ialah Iraq kerana Saddam membina peluru berpandu yang menyasarkan pada Israel. 

Negara itu dapat mematahkannya apabila ia memusnahkan pusat pelancarannya di Osirak. 

Tentu Mossad lebih cekap daripada agensi perisikan Saddam. 

Iraq terus tidak lagi menjadi ancaman kepada Israel apabila AS menakluki Iraq dan menggulingkan Saddam.

Perhatian Israel kemudian adalah kepada Syria. 

Apabila Syria lemah, maka begitu juga Lubnan dan selanjutnya Hezbollah. Kebangkitan Arab Spring pada tahun 2010-an yang turut melibatkan Libya dan Syria membuka peluang kepada Israel bahawa mereka tidak akan lagi menjadi ancaman kepadanya.

Apabila Gaddafi tumbang, maka kuranglah satu lagi seteru bagi Israel. Begitu juga dengan perang dahsyat di Syria yang melemahkan negara itu. Kini Syria tidak lagi menjadi ancaman bagi Israel. Begitu juga Lubnan dan Hizbullah  

Maka perhatian Israel buat pertama kalinya boleh difokuskan kepada Iran. Tetapi Iran tidak seperti Syria atau Iraq dahulu. Iran mempunyai kemampuan untuk membina senjata nuklear yang boleh disasarkan kepada Israel.

Pembangunan senjata nuklear Iran dapat difahami jika semua pihak sentiasa ingat bahawa Israel dan AS mempunyai senjata nuklear yang juga boleh menyasarkan pada Iran. 

Secara rasmi Israel tidak pernah mendedahkan kekuatan senjata nuklearnya. 

Tetapi para pakar sentiasa meletakkan Israel dalam senarai negara yang mempunyai senjata nuklear. 

Negara-negara lain yang memiliki senjata nuklear ialah AS, Britain, Perancis, Rusia, China, Korea Utara, India dan Pakistan.

Tetapi terdapat persefahaman dunia bahawa demi kemanusiaan, senjata nuklear di dunia ini tidak boleh ditambah lagi.

Namun dari segi imbangan kuasa dan kekuatan tentera, ia menjadi masalah di Timur Tengah. 

Hanya Israel memiliki senjata nuklear dan keadaan itu tidak seimbang kerana keadaan itu bermakna Israel boleh melakukan apa sahaja di rantau itu. 

Maka Iran dirasakan wajar memiliki senjata nuklear untuk memberi keseimbangan itu.

Secara rasmi, Iran tidak mahu nembina senjata nuklear. 

Apa yang ia mahu lakukan ialah membangun keupayaan tenaga nuklear untuk kegunaan aman. 

Tentulah itu merupakan suatu hak sebagai negara berdaulat untuk kepentingan rakyatnya.

Tentulah perkara ini tidak dipercayai oleh Israel dan AS. 

Keupayaan teknologi nuklear untuk kegunaan aman berada tidak jauh atau tidak sukar untuk melangkah kepada kemampuan membuat senjata nuklear.

Bagi AS, ia berbahaya kerana berupa ancaman kepada kepentingannya di Timur Tengah. 

Ada dua sahaja kepentingannya di Timur Tengah. Pertama, keselamatan Israel. Kedua, minyak yang melibatkan negara-negara Teluk iaitu Kuwait, Qatar, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu dab Arab Saudi.

Sementara bagi Israel, kepentingannya adalah berbentuk eksistensial, iaitu kewujudannya sebagai negara yang turut meliputi Baitulmaqdis dan penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Tetapi bagi Iran, ia juga mempunyai kepentingan iaitu untuk bebas daripada dikuasai oleh AS. 

Ini kerana AS mempunyai keinginan untuk mengadakan "perubahan regim" di Tehran. Ia mahu sebuah kerajaan Iran yang mesra dengannya seperti mana apa yang wujud di Iraq dan Libya. 

Atau sekurang-kurangnya menjadikan Iran lemah seperti Syria.

Perkara utama bagi Israel ialah memastikan Iran tidak mencapai keupayaan nuklear itu. 

Maka ia pun berusaha menghancurkan fasiliti-fasiliti ketenteraan Iran serta membunuh jeneral dan saintis-saintis nuklear. 

Mungkin tidak secara langsung, tetapi secara proksi. Maka bukanlah perang secara langsung, tetapi "perang bayangan."

Dalam pertemuan antara Blinken dan Netanyahu, soal Iran tentulah timbul. 

Pihak Israel pasti menyatakan pendiriannya terhadap apa yang diketahui mengenai perkembangan keupayaan nuklear Iran serta juga "perang bayangan" antara keduanya.