- Iklan -
Wacana

Marah sungguh DAP pada Muhyiddin

Gesaan ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin supaya 10 ahli Parlimen BN yang menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dipecat mencerminkan sikap sebenar parti DAP itu.

Marzuki Mohamad
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin bercakap kepada wartawan pada sidang media di Kuala Lumpur, 2 Februari
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin bercakap kepada wartawan pada sidang media di Kuala Lumpur, 2 Februari

Ahli Parlimen Kampar daripada DAP Chong Zhemin menggesa supaya BN mengambil tindakan disiplin terhadap semua 10 ahli Dewan Rakyat BN yang menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Saya tidak pasti sama ada Perlembagaan BN membenarkan tindakan disiplin diambil ke atas ahli parti komponen kerana setiap parti komponen mempunyai tatacara disiplin masing-masing. Sesiapa yang arif tentang Perlembagaan BN bolehlah beri komen.

Apapun gesaan ahli Parlimen Kampar ini mencerminkan sikap parti DAP. Mereka nampaknya marah sungguh kepada Muhyiddin sehinggakan sesiapa sahaja yang menyokong mesti dihukum walaupun itu adalah hak mereka sebagai ahli Dewan Rakyat di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. 

Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan yang menghalang tindakan lompat parti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat tidak menarik balik hak Ahli Dewan Rakyat untuk menyatakan kepercayaan kepada seorang ahli Dewan Rakyat yang lain sebagai perdana menteri walaupun berlainan parti. 

Gesaan ini juga membuktikan benarlah bahawa Muhyiddin pada 21 November 2022 mendapat kepercayaan majoriti 115 ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai perdana menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. 

Tetapi kerana terdapat tekanan politik, 10 ahli Dewan Rakyat BN (6 Umno, 2 MCA, 1 MIC, 1 PBRS) terpaksa menarik balik sokongan mereka. 

Persoalannya, adakah penarikan balik sokongan mereka itu secara suci hati atau dalam keadaan terpaksa? 

Sekiranya dalam keadaan terpaksa, apakah kesannya di sisi undang-undang dan Perlembagaan? Saya tidak mahu bawa ke situ kerana pelantikan perdana menteri oleh Agong tidak boleh dicabar di mahkamah.

Mengapa DAP marah sangat sedangkan itu adalah urusan BN?

Mereka berdendam kerana jika Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri dengan sokongan 10 ahli Dewan Rakyat BN ini, DAP tidak akan berpeluang berada di dalam kerajaan seperti hari ini.

Dengan tidak terlantiknya Muhyiddin sebagai perdana menteri, maka kembalilah DAP menguasai kerajaan. Inilah masanya DAP menyerlahkan "politik vangeance" mereka sepertimana gesaan ahli Parlimen Kampar ini.

Tindakan ahli Parlimen BN yang mempertahankan dasar "No DAP" sepertimana yang disuarakan oleh akar umbi parti mereka sendiri tiba-tiba menjadi satu kesalahan besar. DAP tidak peduli. Dendam mereka lebih besar daripada suara akar umbi parti orang lain.

Nampaknya dunia politik sudah terbalik. Ahli Parlimen BN berdepan dengan tindakan disiplin semata-mata kerana mempertahankan suara akar umbi parti mereka.

Saya tidak hairan dengan gesaan ahli Parlimen Kampar ini kerana saya pernah bersama dengan mereka dahulu. Saya tahulah serba sedikit hati budi mereka.

Marzuki Mohamad adalah bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow