- Iklan -
Kolum

Kedai makan di simpang jalan

Mustahil aku akan melupakan jalan dari Kamunting ke Hospital Taiping.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Dua minggu dulu aku singgah ke Taiping dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang. Taiping ini amat istimewa. 

Cerita dan sejarah aku dan Taiping sambung menyambung.

Kali ini aku wajib singgah ke Taiping. Ada perjanjian antara aku dan Taiping yang masih belum selesai. Ada hutang yang masih belum dibayar.

Di zaman sekolah menengah di Jelebu, aku diberitahu oleh Mr Tay, guru ilmu alam bahawa Jelebu adalah daerah terpanas di Malaysia. 

Manakala Taiping pula merupakan wilayah paling basah di Malaysia.

Kali pertama aku sampai ke Taiping pada tahun 1969. 

Kemudian pada tahun 1970, hampir setiap hari Selasa aku datang ke Taiping.  

Aku datang dari Kuala Kangsar untuk pergi ke “Burma Pool” di bawah kaki Bukit Larut dalam Taman Tasik Taiping.

Berenang ini aktiviti hari Selasa. Aktiviti Kelab Renang Malay College Kuala Kangsar (MCKK). Ketika itu kolam renang MCKK pecah maka gantinya kami berenang di Burma Pool Taiping.

Kemudian pada tahun 2001 aku ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Aku dihantar ke Kem Tahanan Kamunting (Kemta). Selama dua tahun aku di sana.

Kem Kamunting ini hanya enam batu jauhnya dari pekan Taiping.

Kereta yang aku tumpang dari Pulau Pinang di pandu oleh Mus. Kereta mengelencong masuk ke tol Kamunting untuk menuju ke  Taiping. Di sini aku teringat kem tahanan Kemta.

Tempat jatuh lagi di kenang inikan pula tempat dikurung.

Melintas jalan arah ke Masjid Kamunting aku teringat tahun pertama di Kemta aku menginap dalam satu sel bersama Tian Chua. 

Tahun kedua baru aku dan Tian disatukan dalam satu blok bersama Lokman Noor Adam, Ezam Mohd Nor, Badrul Amin dan Shaari Sungib (Pak Abu). Kami duduk dalam Blok B2 Kemta.

Dalam kem tahanan aku banyak masa. Selain daripada membaca, berfikir dan berangan-angan aku juga bersukan. 

Paling aktif dan cekap bersukan ialah Ustaz Badrul. Ustaz ini tidak merokok. Tubuh badan segak. Ustaz Badrul boleh melompat  memusingkan badan dan kembali berdiri tegak.

Lokman juga bersukan. Dia cuba menurunkan berat yang agak menonjol. Aku bersukan untuk membunuh masa.

Aku ikut Ustaz Badrul main badminton. Sambil ketawa sambil kejar mengejar kami menghabiskan masa di waktu petang sebelum masuk kembali ke sel yang akan dikunci pada jam 7.00 malam.

Blok B2 ini agak luas. Seluas satu padang bola. Ada dua bangunan. Satu pejabat warden yang menjaga kami. Satu lagi tempat tidur kami.

Antara dua bangunan ini ada tanah lapang dan satu gelanggang badminton.

Saban petang aku memukul bulu tangkis dengan Ustaz Badrul. Aku bermain tanpa teknik. 

Aku bukan Tan Aik Mong atau Misbun Sidek. Kami bermain untuk mengeluarkan peluh.  

Sambil memukul bulu tangkis sambil berbual. Kejar mengejar sambil ketawa. Seronok memang seronok hingga aku terlupa aku dalam penjara.

Tiba-tiba satu pagi jari telunjuk kiri aku bengkak. Aku merasa sakit. Apakah aku digigit lipan ketika tidur?

Sehari berlalu sakit tidak berkurangan.

Jaswan Singh pegawai pembantu Hospital Kemta mencadangkan aku diperiksa di Hospital Taiping. Aku agak risau jari aku makin membengkak.

“You have tennis elbow,” kata Jaswan setelah dia memeriksa lengan aku.

“Saya tak main tennis, bukan elbow yang sakit tapi jari.” Aku menjelaskan.

“The name only, you sakit di lengan, yang bengkak jari. This is what we call tennis elbow. You pukul bulu tak betul.” Jaswan ketawa.

“Mana aku ada bulu di sini.” Aku terbarai ketawa.

Selasa jam 10.00 pagi aku dipanggil oleh “cikgu” untuk ke hospital. Cikgu ini adalah istilah anak muda lulusan “Pusat Serenti” untuk para warden.

Terkurung berbulan-bulan dapat keluar ke hospital ini satu perkara yang amat menggembirakan. 

Aku dapat melihat dunia. Melihat kereta, bas, pejalan kaki, kedai dan bertukar angin. Menyeronokkan.

Hospital di pinggir pekan Taiping. Dalam van penjara aku digari. Mustahil dapat aku melarikan diri dengan pakaian orang tahanan, seluar jerut biru, baju putih dan selipar Jepun.

Kereta yang dipandu oleh Mus melintas pekan Kamunting. Lalu depan Stesen Bas Kamunting. Lalu depan Masjid Kamunting. 

Melintas depan kawasan perumahan dan masuk ke kawasan askar.

Taiping pekan warisan. Banyak bangunan lama peninggalan Inggeris. Mata aku terbuka luas. Ingatan aku dalam van penjara kembali segar.

Van penjara  berhenti di lampu trafik. 

Kami berhenti di “simpang T”, menunggu lampu hijau. Aku menoleh ke luar sebelah kiri.  

Aku nampak sebuah kedai makan Melayu. Bila lampu hijau menyala van penjara meluncur masuk ke perkarangan hospital.

Aku diberi rawatan oleh jururawat yang agak muda. Tangan kiri aku hingga ke siku di rendam dalam lilin cair. 

Ini terapi  saraf akibat dari main badminton tanpa teknik yang betul.

“Ikut terus ke depan, belok kiri kita akan jumpa hospital.” Aku berkata kepada Mus yang belum arif dengan jalan di Taiping.

“Kau ingat ke jalannya?” Mus bertanya.

“Mustahil aku lupa.” Aku menyakinkan Mus mengenai arah jalan.

Mustahil aku akan melupakan jalan dari Kamunting ke Hospital Taiping. 

Aku rasa hampir tiga bulan, 12 kali aku datang ke Pusat Terapi Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan tennis elbow.

Kereta yang dipandu oleh Mus sampai ke lampu jalan di persimpangan T. Lampu merah. Kereta berhenti. 

Aku memandang ke kiri. Aku tersenyum puas. Kedai makan simpang jalan ini masih wujud.

Hutang aku akan dapat diselesaikan.

Restoran Ridhwan sedang rancak melayan pelanggan.

Ketika dalam van penjara, setiap kali aku sampai ke simpang jalan ini aku akan menoleh ke dalam kedai makan.

Kali ini aku bukan dalam van penjara. Aku menoleh ke kiri. Aku ternampak pelanggan yang ramai dalam kedai.

Di kanan aku, Mus sedang memandu.

Aku teringat makanan dalam tray plastik Kemta. 

Ada nasi, sesenduk sayur dan sekeping ikan masin yang sampai dua kali seminggu.  

Hari Ahad ada seketul daging. Hari Rabu telur, Khamis ikan, Jumaat dan Isnin ikan masin.

Ketika dalam  van penjara aku berangan-angan satu masa nanti aku akan datang ke kedai makan ini. 

Dalam hati aku berjanji satu hari nanti selepas aku bebas aku akan datang makan di sini.

Isnin 30 Januari, 2023 aku sampai.

Kereta kami membelok ke kiri dan mencari tempat letak kereta.

Aku  menapak  masuk  dari pintu belakang  dan terus menuju ke meja lauk pauk. 

Ini bukan lauk Kemta atau Penjara Taiping.

Ada gulai ikan, gulai ayam, ulam dan telur masin rebus. 

Ada dua jenis ikan goreng. Ada sambal ikan. Ini kedai makan nasi campur masakan Melayu.

Aku ambil ikan bawal masak kicap. 

Aku ambil ulam, daun salad dan timun. Ada satu daun aku ambil tapi aku tak mengenali daun ulam ini.

“Daun apa ni kak?” Aku bertanya kepada Kak Diah wanita 40-an yang aku rasa tuan kedai makan ini.

“Daun tenggek burung.” Jawabnya ringkas.

“Ni apa ni? Gulai apa?” Aku bertanya lagi.

“Gulai pisang emas.” Kak Diah menjawab.

Aku tak makan nasi. Aku makan gulai pisang dengan ikan bawal. Aku ambil semua ulam. Hinggakan dulang ulam kosong.

Sesudah makan aku pergi ke meja duit bukan untuk membayar tapi melihat barangan dalam balang plastik yang ada tersusun di atas meja.

“Ni apa ni kak?” Aku bertanya.

“Sambal lada bilis.”

“Dah lama meniaga? Saya pernah nampak kedai ni lama dulu, tahun 2001 ke 2002. Tapi tak pernah singgah.” Aku bersurah.

“Woit, lama tu kami ambil tahun 2009. Dulu orang lain punya.” Kakak memberi penerangan.

“Sewa berapa kak?” Aku cuba mencungkil.

“Seribu lebih, ni bangunan milik Jabatan Agama Taiping kami sewa.” Kakak memberi penjelasan.

“Saya dulu selalu nampak kedai ni, saya dalam van penjara Kamunting masa pergi hospital.” Aku bercerita lagi.

“Kamunting mana?”

“Tahanan Kamunting dua tahun, tiga hari di penjara Taiping.” Aku menyambung cerita.

“Kes apa?” Kakak bertanya.

“Kes politik.” Jawapan aku memberhentikan perbualan.

Aku duduk di bahagian depan kedai dan boleh memandang ke hospital. 

Di kawasan belakang restoran masih ramai pelanggan.

Mata aku mengarah ke Hospital Taiping. Sayu juga hati aku. 

Aku teringat dengan misi jururawat yang baik hati yang merawat aku. Di mana agaknya dia kini bertugas.

Dialah yang  menyediakan lilin cair untuk aku merendam tangan. 

Pasti dia sudah berumahtangga. Ini kisah 20 tahun dulu.

Aku membayar bil makan dan membeli satu balang sambal bilis.

Dalam kereta aku teringat dengan popiah  basah Taiping. 

Lalu Mus bertanya kepada “Lebai Google” di mana kedai popiah Taiping. 

Kereta berpusing mencari Kedai No 1 di kawasan pasar yang dikatakan oleh Google ada menjual popiah.

“Tiga ringgit untuk lima popiah.” Aku memberi tahu Mus yang duduk menunggu dalam kereta.

“Lepas ni ke mana?” Mus bertanya.

“Di Taiping  kalau tak ke warung cendol tak sah lawatan kita.” Aku berfatwa.

Lalu kami bertanya sekali lagi kepada Lebai Google.

Kami berlegar mencari kedai menjual cendol.  

Cendol amat terkenal di Taiping. Ada beberapa buah kedai. Akhirnya bertemu warung kecil. Ini pilihan aku. Aku lihat ramai juga pelanggan.

Kami memesan cendol biasa. Enak dan terasa santan dan gula Melakanya.

“Lebih sedap dari cendol biasa yang aku minum di Tanjung Karang.” Komen aku kepada Mus.

“Lepas cendol ni kita ke Taman Tasik, sana aku mandi, berenang. Nak tunjuk tempat itu pada kau.”

Kereta bergerak hingga sampai ke depan Penjara Taiping.

“Aku dah tidur tiga malam dengan Tian dalam jel ni, sebelum aku dibebaskan dari ISA. Bukan semua orang dapat masuk Penjara Taiping, hanya yang terpilih saja.” Aku dengan bangga bercerita kepada Mus.

Penjara ini cukup klasik. Didirikan pada tahun 1879. Ini cara kolonial Inggeris mengawal samseng Cina yang bergaduh di lombong bijih timah.

Dari belakang penjara kereta kami menyusur dan masuk ke Taman Tasik.  

Kami berlegar dalam kereta. Kami melintas kawasan perkuburan Perang Dunia Kedua, makam kolonial.

“Ha itu tempat aku berenang setiap hari Selasa tahun 1970. Sejuk gila, lepas mandi pergi medan selera.

“Makan sate, 5 sen secucuk. Masa tu sate murah, ada junior yang ambil peluang isap rokok. Aku yang paling senior buat tak nampak.” Aku bercerita sejarah ketika aku jadi budak koleq.

Kereta diberhentikan. Kami berjalan di bawah pokok-pokok tua yang kini menjadi satu tarikan di Taman Tasik Taiping.  

Aku nampak ramai pelancong bersiar mengambil angin di tepi tasik.

Ketika berjalan di tepi tasik di bawah Pokok Hujan yang berumur ratusan tahun ini aku teringat kembali kata-kata bijak Confusius: “Masa menanam pokok terbaik ialah dua puluh tahun dahulu. Masa kedua terbaik ialah esok.”

Setelah penat berjalan aku bersuara: “Ok kami nak pulang dan selamat tinggal Taiping.” Aku bercakap kepada tasik.

Kereta kami bergerak menuju ke Kuala Kangsar ikut jalan lama. Dalam kepala aku teringat pada Taiping dan sejarah peninggalan  Inggeris.

Aku terfikir, Inggeris meluluskan ISA. Inggeris membina Kem Tahanan Kamunting. 

Inggeris mendirikan Penjara Taiping. Inggeris membuka hutan dan membina Taman Tasik di kaki Bukit Larut. Inggeris membina Burma pool.

Aduh! Semuanya peninggalan Inggeris. Malah MCKK tempat aku belajar pun peninggalan Inggeris.

Ratusan tahun dulu Inggeris menanam Pokok Hujan. Mengikut Confusius hari kedua terbaik menanam pokok ialah esok.

Aku juga berniat untuk menanam sesuatu. Aku mahu menanam ingatan untuk generasi akan datang.