Apabila saya bertanya kepada ChatGPT, adakah buku akan pupus dengan adanya kecerdasan buatan (AI), maka jawabnya tidak.
Buku akan terus hidup kerana ada saja manusia masih suka membaca tulisan yang dicetak atas kertas, dan dijilid dengan mempunyai kulit.
Menurutnya, ada manusia menghargai pengalaman sentuhan (tactile experience) pada kertas.
Sejak bulan lalu dunia dikejutkan dengan keupayaan satu bentuk teknologi baharu yang digerakkan oleh AI bernama ChatGPT.
Alat ini mampu menjawab apa saja soalan yang dikemukakan dengan menggunakan bahasa seperti manusia.
Bukan itu sahaja, ia boleh membuat tulisan, baik dalam bentuk karangan seperti minit mesyuarat, laporan, malah puisi dan cerpen.
Walaupun pada masa ini, hasil karangannya tidaklah sehebat penulis atau sasterawan, tetapi lambat laun, dalam beberapa tahun lagi, mutu tulisannya akan bertambah baik.
Mungkin ia tidak akan menggantikan penulis, tetapi pembaca mempunyai pilihan untuk membaca tulisan manusia atau karya AI.
Buku mungkin tidak akan pupus tetapi akan ada syarikat yang mahu menerbitkan karya AI dalam bentuk buku.
Perbincangan bahawa buku akan pupus timbul semula dengan kemunculan ChatGPT ini.
Maka bukan sahaja pekerjaan penulis akan pupus tetapi juga buku itu sendiri.
Hujahnya ialah jika AI boleh membekalkan maklumat yang lebih berkesan maka buku sudah tidak relevan.
Melalui perbualan dengan AI, seseorang boleh mendapatkan maklumat, pengetahuan dan idea secara lebih bermutu berbanding buku.
Maknanya, perolehan maklumat tidak perlu lagi secara pembacaan buku tetapi melalui interaksi dengan alat AI.
Namun begitu, ramalan mengenai kepupusan buku bukan perkara baru.
Apabila internet mula digunakan secara meluas pada tahun 1990-an, di mana maklumat boleh diperoleh secara dalam talian, maka ramalan mengenai kepupusan buku timbul.
Untuk apa orang membaca buku kalau maklumat dapat diperoleh pada hujung jari.
Dalam projek Sekolah Pintar atau Smart School pada tahun 1997, yang saya juga turut terlibat dari segi memberi cadangan bahan kandungan, minda guru dan pelajar diajak berubah dengan mengambil sikap bahawa ilmu dapat diperoleh melalui penggunaan internet dan bukan membaca buku.
Perubahan minda ini bukanlah mudah terutama bagi generasi lama yang menyatukan ilmu dengan buku.
Namun buku terus digunakan walaupun kandungan dalam internet yang berbentuk maklumat dan ilmu semakin bertambah.
Maka difikirkan bahawa format buku yang terbukti mudah digunakan oleh orang ramai akan tetap paling mesra pembaca berbanding laman-laman sesawang.
Maka muncul e-book atau buku elektronik yang dimasukkan ke dalam internet atau melalui e-reader atau gajet bagi membaca e-book.
Ia mempunyai format buku tetapi disalurkan melalui muat turun.
Pelopor dalam bidang ini ialah Amazon dengan gajet Kindle.
E-book lebih cepat untuk diperoleh dan lebih murah kerana tidak perlu dicetak atas kertas.
Turut penting ialah e-book tidak memakan ruang.
Lebih-lebih lagi ruang semakin berharga dalam kehidupan kota.
Maka ramalan bahawa buku akan pupus semakin kuat.
Maka penerbit-penerbit di Barat menghasilkan buku dalam dua platform, iaitu buku kertas dan e-book.
Ramalannya ialah dalam beberapa tahun lagi jualan buku akan merosot kerana sedikit demi sedikit, pembaca akan berhijrah ke e-book.
Walaupun pada awal tahun 2000-an saya masih lebih suka pada buku bercetak tetapi says menerima hakikat bahawa zaman sudah berubah.
Maka saya pun bertindak berhijrah ke e-reader berjenama Sony yang saya beli di kedai buku Waterstones di London.
Ketika itu e-reader belum sampai lagi di Malaysia.
Pada mulanya di Barat, jualan e-book meningkat mendadak dengan jualan buku cetak merosot.
Maka seolah-olah ramalan bahawa buku akan pupus ternyata benar.
Lebih-lebih lagi didapati akhbar dan majalah mengalami pukulan teruk daripada internet.
Banyak akhbar di seluruh dunia terkesan.
Tetapi beberapa tahun kemudian, jualan buku bercetak di Barat kembali naik berbanding e-book.
Saya sendiri hanya dapat bertahan menggunakan e-reader selama setahun dan kemudian kembali membaca buku sebenar.
Jadi kedua-dua e-book dan buku bercetak dapat co-exist atau wujud bersama.
Maka pemain-pemain industri pun mengemukakan konsep "tactile experience" untuk menjelaskan mengapa ada pembaca yang terus mahukan buku bercetak.
Ada pula yang menyebut mengenai "aroma kertas" atau "the smell of books" (bau buku) sebagai alasan untuk mereka terus membeli buku kertas.
Kalau begini keadaannya, buku tidak akan pupus.
Ia bergantung pada generasi akan datang sama ada mereka turut mempunyai hubungan emosi dengan buku bercetak atau tidak.
Buat masa ini, kelihatannya generasi yang berusia 20-an dan membesar dengan internet tetap sukakan buku bercetak walaupun mereka tidak keberatan menggunakan e-book.
Sememangnya banyak masa orang muda dihabiskan untuk media sosial tetapi sebahagian daripada mereka tetap mempunyai ruang untuk buku.
Sepanjang pandemik iaitu dari tahun 2020-2022, jualan buku dalam talian meningkat.
Walaupun ramai orang sudah membiasakan diri membaca buku berbentuk PDF dan e-book melalui gajet mereka, tetapi ada sahaja kalangan generasi baru yang meminati buku bercetak.
Pada bulan lalu, satu lagi kedai buku mega dibuka di Kuala Lumpur iaitu Eslite di Fahrenheit, Bukit Bintang.
Ia merupakan sebahagian daripada rangkaian kedai buku Taiwan.
Eslite bukan saja menjual buku bahasa Cina tetapi juga bahasa Inggeris dan Melayu.
Ia menambahkan lagi dua kedai buku mega di Lembah Klang iaitu Kinokuniya di Suria KLCC dan Tsutaya di Pavilion Bukit Jalil, kedua-duanya dari Jepun.
Tsutaya juga baru muncul tahun lalu.
Kalau tidak ada potensi dalam perniagaan kedai buku, sudah tentu pelabur tidak masuk.
Model perniagaan kedai buku mega ini perlu membabitkan jualan barang-barang bukan buku, kemudahan kafe dan ia mesti terletak dalam kompleks membeli-belah.
Sementara itu, kedai buku besar yang sedia ada di Lembah Klang iaitu MPH, Popular dan Borders masih mengekalkan operasi mereka.
Ketika pandemik sedang melanda, seperti mana banyak premis perniagaan lain, kedai buku turut merasakan penangannya.
Rangkaian kedai buku Times dari Singapura menghentikan operasi semua kedai buku mereka di Malaysia dan MPH menutup beberapa cawangannya.
Begitu juga dengan Popular dan Borders.
Tetapi mulai tahun lalu, kedai-kedai buku ini bangkit semula.
Begitu juga dengan kedai buku terpakai dan kedai buku lebihan iaitu BookExcess yang terus membuka cawangan baru di samping dapat mengadakan jualan gudangnya di bawah jenama Big Bad Wolf.
Selain itu, kedai-kedai buku kecil baru yang bukan saja menjual buku terkini tetapi juga buku terpakai turut ditubuhkan bukan saja di Kuala Lumpur tetapi juga di Ipoh dan Batu Gajah di Perak.
Sementara Georgetown yang terkenal sebagai pusat kedai-kedai buku terpakai masih mengekalkan kedudukannya.
Dengan adanya AI, perubahan besar pasti berlaku terhadap cara menulis buku sama ada fiksyen atau bukan fiksyen.
Dorongan dari AI juga menjadikan para pembaca lebih sofistikated.
Mereka mahukan kandungan yang lebih istimewa berbanding karya-karya tradisional.
Sungguhpun mereka boleh membaca buku daripada gajet, tetapi sebahagian daripadanya masih mahukan "tactile experience" daripada buku bercetak.
Lagipun buku dengan reka bentuk kulit cantik dan penjilidan bermutu memiliki estetika tersendiri untuk diletakkan pada rak-rak.
Selain daripada buku boleh menjadi bahan koleksi, ia juga menjadi sebahagian daripada dekorasi dalaman rumah.
Di sebaik kata-kata ChatGPT bahawa buku tidak akan pupus, ia juga bermakna AI dan robot tidak akan dapat membunuh buku.