- Iklan -
Rencana

Mungkin etika kewartawanan sudah berubah

Ini kerana memetik sumber tidak bernama sudah menjadi amalan baru kepada media arus perdana.

Marzuki Mohamad
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pekarangan lobi SPRM semasa waktu rehat. Gambar: Bernama
Petugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pekarangan lobi SPRM semasa waktu rehat. Gambar: Bernama

Nampaknya sudah menjadi amalan media arus perdana sekarang memetik sumber tidak bernama untuk melaporkan berita.

New Straits Times (NST) sebelum ini melaporkan Muhyiddin akan dipanggil oleh SPRM dengan memetik sumber tak bernama.

Kemudian, NST juga memetik sumber tidak bernama kononnya Muhyiddin dipanggil sebagai orang yang disyaki, bukan saksi.

Prosedur biasa bila dipanggil untuk disoal siasat, orang yang dipanggil akan tanya sama ada dia dipanggil sebagai saksi atau orang yang disyaki. 

Kalau saksi lain haknya. Kalau orang yang disyaki lain pula haknya dalam memberi keterangan. Muhyiddin diberitahu beliau saksi.

Bila ditanya wartawan, itulah yang diberitahu oleh Muhyiddin. Dia saksi, bukan orang yang disyaki.

Sekarang, NST lapor dengan sekali lagi petik sumber tidak bernama, Muhyiddin adalah orang yang disyaki dan beri amaran beliau tidak sepatutnya dedahkan maklumat siasatan.

Eh, yang pertama sekali mendedahkan siasatan ini bukankah sumber tidak bernama NST? Jadi, apabila ditanya wartawan, mestilah Muhyiddin jawab kepada wartawan apa yang beliau tahu dan apa yang beliau diberitahu. Takkan beliau nak bohong?

Entah betul entah tidak sumber tak bernama NST ni? Wallahua'lam. Nak semak pun tidak boleh sebab tidak ada nama. 

Mungkin kerja petik sumber tidak bernama ini amalan baru media arus perdana agaknya.

Saya cuba buat kajian amalan NST sebelum ini. Maka saya terjumpa berita NST dan BERNAMA (nama pun bernama) tahun 1999.

Pada ketika itu, Umno mendedahkan senarai penerima saham khas yang diberikan oleh Kementerian Kewangan ketika Perdana Menteri ke-10 (PMX) Anwar Ibrahim menjadi menteri kewangan. 

Antara yang menerimanya ialah ahli keluarga PMX sendiri dan juga bekas Ketua Pemuda Umno yang kini adalah Presiden Umno dan timbalan perdana menteri dalam kabinetnya.

Pada ketika itu NST tidak sebut sumber tidak bernama. Dia sebut senarai yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan secara rasmi. 

Mungkin etika kewartawanan sudah berubah agaknya.

Marzuki Mohamad adalah bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi