- Iklan -
Rencana

Adakah Madani bermaksud balas dendam?

Kerajaan hari ini lebih mengutamakan usaha untuk melumpuhkan PN supaya Umno-DAP dapat berkuasa secara diktator serta zalim, mengabaikan fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Muhammad Faiz Na'aman
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap pada perasmian slogan baharu kerajaan 'Malaysia Madani' di Putrajaya, 19 Januari. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap pada perasmian slogan baharu kerajaan 'Malaysia Madani' di Putrajaya, 19 Januari. Gambar: Bernama

Tindakan pendakwaan terhadap Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan meminta dan menerima rasuah dari kontraktor yang terlibat dalam tender JanaWibawa di saat PRN (pilihan raya negeri) di enam buah negeri kian menghampiri, ditafsir sebagai bermotifkan politik oleh banyak pihak.

Antara asas penubuhan Bersatu adalah menentang rasuah dan salah guna kuasa tanpa melibatkan campurtangan atau tekanan ke atas mana-mana agensi penguatkuasa kerajaan, apatah lagi sistem kehakiman negara.

Namun umum tahu bahawa ketika kempen PRU lalu, Rafizi Ramli yang kini menteri ekonomi kerajaan luar tabie pernah membuat kenyataan berbaur ugutan kononnya beliau mahu "mencari" Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki jika Pakatan Harapan (PH) berjaya mentadbir negara.

Persoalannya adakah beliau telah menemui Azam?

Ironinya Perdana Menteri Anwar Ibrahim bukan saja cakap berbelit dalam hal mereformasikan institusi kerajaan sepertimana propaganda serta janji dari pihak partinya sebelum PRU, malah beliau secara terbuka telah melanggar beberapa perkara yang dianggap prinsipnya sendiri iaitu lantikan politik melibatkan ahli keluarganya, memegang jawatan menteri kewangan serta tidak meletakkan SPRM di bawah seliaan Parlimen hingga kini.

Lebih memperparahkan keadaan ialah PM ke-10 itu seolah-olah tiada idea bagaimana untuk memulihkan ekonomi negara, apatah lagi untuk mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup seperti harga keperluan bahan makanan asas, harga minyak yang dijanjikan boleh turun lagi serta prinsip untuk menentang penyamun yang seringkali ditujukan terhadap Umno-BN yang merupakan seteru tradisi PKR-PH selama ini.

Justeru itu ramai rakyat di luar sana melibat slogan kerajaan Madani itu sebagai retorik yang hanya indah dibibir namun penuh dendam kesumat untuk membenamkan pihak lawan yakni Perikatan Nasional (PN) yang telah bertekad untuk menjadi pembangkang yang profesional demi proses semak imbang dalam negara.

Tidak keterlaluan kerajaan hari ini hilang fokus utama untuk mendahulukan permasalahan rakyat apabila menumpukan perhatian untuk melumpuhkan PN supaya Umno-DAP dapat berkuasa secara diktator serta zalim.

Ayuh rakyat Malaysia sekalian terutamanya para penjawat awam yang ditekan, para pekerja swasta dan sendirian yang merayu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta peniaga kecil termasuk B40.

Mari sama-sama kita BERSATU ajar keangkuhan kerajaan luar tabie hari ini yang membohongi para pengundi sendiri pada PRU lalu.

Muhammad Faiz Na'aman adalah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.