- Iklan -
Kolum

Sajak dan buku terlarang

Antara nama-nama ini nama Mao yang paling selalu aku dengar.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Buku “The Essential Left” yang dipinjamkan oleh Syed Husin Ali kepada aku menjadi kitab pertama yang aku baca tentang sosialisme.  

Agak susah juga untuk aku memahami apa yang digarap oleh Marx, Engles, Lenin dan Mao dalam buku ini.

Aku pernah mendengar nama Marx. 

Karl Marx (1818-1883) ini dikatakan pemikir, penulis dan pencetus idea sosialis dan komunis. 

Ketika aku melamar untuk menjadi ahli Kelab Sosialis di Universiti Malaya (UM) aku tidak faham apa bezanya sosialis dengan komunis.

Pada tahun 1971 di Malaysia, aku tahu ada Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM). 

Ada Parti Komunis Malaya (PKM) di bawah pimpinan Chin Peng. 

PKM bergerak dalam hutan kerana diharamkan untuk bergerak secara terbuka.

Manakala nama Vladimir Lenin (1870-1924), aku terbaca bahawa sosok ini adalah pemimpin politik dari Rusia. 

Lenin sudah lama mati.

Nama Mao Zedong (1893-1976) ini selalu aku dengar. 

Sosok ini adalah pemimpin politik dari China. Dia masih hidup ketika aku masuk UM.

Apa yang menarik untuk aku tentang Mao ialah potongan rambut dan fesyen kolar baju yang dipakainya.

Aku langsung tidak tahu siapa pula sosok yang bernama Friedrich Engles (1820-1895). 

Pengetahuan aku amat-amat terbatas. Pembacaan aku tentang falsafah atau teori ekonomi atau politik amat cetek.

Asas pembacaan aku dalam Bahasa Melayu.

Justeru, aku selalu terfikir alangkah baiknya jika buku-buku keilmuan progresif seperti ini ada dalam Bahasa Melayu. 

Atau ditulis dengan lenggok bahasa yang lebih demokratik dan tidak memerlukan aku membuka kamus.

Antara nama-nama ini nama Mao yang paling selalu aku dengar. 

Ini kerana dia pemimpin negara China yang tidak jauh dari Malaysia.  

Juga di Malaysia ada ramai warga berketurunan Cina.

Malah aku pernah terbaca berita tentang mata-mata menggeledah sebuah rumah orang politik di sebuah Kampung Baru Cina dan ditemui buku karya Mao.  

Buku dan tulisan Mao dianggap subversif. Pemilik buku ini dicap sebagai anti-nasional. Aku juga tak faham makna anti-nasional.

Apakah kerana dia Cina maka dia dicap anti-nasional? 

Perkataan anti aku faham maknanya tidak suka kepada sesuatu.  

Apakah anti-nasional ini bermakna anti- Melayu? Tak suka kepada Melayu.

Sebenarnya aku juga tidak faham apa makna subversif. 

Pemahaman aku ialah kumpulan subversif ini adalah kumpulan yang melawan.

Anti-nasional dan subversif adalah dua perkataan politik paling pop ketika aku masuk universiti. 

Untuk anak muda perkataan paling pop ketika itu ialah “kartus” dan “berdengung”.

Aku mentakrif membaca buku atau kitab subversif bermakna membaca buku dan kitab melawan.

Melawan amat menarik bagi aku. Aku dari kecil memang suka melawan. 

Melawan dan mempersoalkan apa yang wujud. Aku suka bertanya kenapa dan mengapa. Aku nak tahu hal itu dan hal ini.

Contohnya dari kecil aku agak skeptik dengan hantu. 

Takut ada tapi aku mahu bukti tentang wujudnya hantu.

“Adik nak tengok hantu.” Aku membahasakan diri aku Adik ketika aku membesar.  

Dari kecil lagi aku mahu melihat hantu sama seperti aku dapat melihat pokok pisang.

Jadi bila aku terbaca wujudnya buku atau tulisan terlarang ini menaikkan berahi aku untuk mencari dan membaca apa yang terlarang ini.

Di UM ada gedung perpustakaan yang amat besar dengan ribuan koleksi buku untuk jadi rujukan kepada mahasiswa.

Gedung buku ini terletak di hadapan Dataran Sastera.  

Berjalan ke gedung ini wajib melintasi Sudut Pidato yang didirikan di bawah pokok kayu tak sampai 50 meter dari pintu kaca bangunan perpustakaan.

Setiap pelajar dikenakan sekali bayaran 50 ringgit, duit cagaran. Jika kami terhilang atau tidak memulangkan buku dari perpustakaan maka duit ini akan lupus.

Lepas berijazah boleh “claim” kembali duit 50 ringgit ini.

Dalam gedung buku ini ada buku yang ditakrif sebagai “red spot”. 

Ini adalah buku yang ramai mahu meminjam. Jumlah buku terhad. Justeru siapa dulu dia dapat.  

Peminjam buku red spot ini memerlukan giliran.

Manakala peminjam buku terbuka yang diambil dari rak buku tidak memerlukan giliran. 

Boleh meminjam untuk seminggu atau dua minggu.

Aku juga difahamkan dalam gedung buku ini ada buku dan kitab terlarang. 

Kitab dan buku yang dianggap subversif oleh kerajaan.

Sosok mana yang mentafsir buku itu atau buku ini subversif aku tidak tahu.

Dari legenda dan mitos yang aku dengar dari para senior dalam gedung buku UM ada “Das Kapital”. 

Buku yang kali pertama dicetak pada tahun 1867, sudah melebihi seratus tahun.

Das Kapital ini sebuah buku yang sudah lama aku dengar namanya. 

Malah ketika aku di sekolah menengah lagi aku diberitahu bahawa Das Kapital ini sama tarafnya seperti kitab Injil untuk penganut Kristian atau al-Quran untuk penganut Islam.

Das Kapital ini untuk penganut fahaman komunis.

Untuk aku kitab Das Kapital ini tidak memberahikan aku berbanding dengan Buku Merah Mao.

Aku ada terbaca dalam Utusan tentang Buku Merah Mao. 

Pelajar di negara China  berdemo dan membawa Buku Merah Mao ketika menggerakkan Revolusi Kebudayaan atau Cultural Revolution pada tahun 1966. 

Apa makna dan mengapa bawa buku ini aku tidak mengerti.

Bila aku baca berita Revolusi Kebudayaan aku bertanya pada diri sendiri apakah agaknya isi Buku Merah ini hinggakan dipuja oleh anak muda di China.

Malah pada tahun 1968 aku terbaca dalam akhbar berbahasa Inggeris New Strait Times tentang pelajar dan mahasiswa di Paris menunjukan perasaan. 

Mereka juga membawa  gambar Mao. Malah dilaporkan Buku Merah Mao juga jadi rujukan mahasiswa di Paris.

Untuk aku berita seperti ini tertanam dalam ingatan  aku.

Kenapa ada buku dilarang? Ini menaikkan syahwat aku untuk membaca. 

Untuk aku yang terlarang itu pasti menarik. Pasti ada rahsia tersimpan di dalamnya. 

Jika tidak kenapa buku itu dilarang untuk dibaca?

Dalam masa yang sama aku juga di fahamkan buku-buku terlarang ini boleh dibaca jika ianya hendak dijadikan bahan rujukan.   Ini kerana  kami pelajar universiti – dari menara gading,

Buku-buku terlarang ini untuk rujukan pelajar yang menyediakan tesis pasca sarjana muda atau tesis Phd.  

Pelajar tahun satu seperti aku tidak ada peluang.

Hakikatnya hendak membaca buku dan kitab ini walaupun untuk tujuan rujukan bukan mudah. Ianya memerlukan syarat. Ini maklumat yang aku dengar dari para senior di Kolej Kelima.

Syarat pertama, pensyarah wajib mencadangkan nama buku ini.

Kedua, wajib mendapat kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Syarat dari KDN ini pada hemat aku amat berat.

Kali pertama aku masuk ke gedung buku UM ini ialah ketika minggu orientasi. 

Ini tempat wajib dilawati oleh pendatang baru. Kali pertama masuk aku hanya berlegar dari tingkat ke tingkat tanpa meminjam buku.

Mata aku terbuka dan mulut melopong apabila melihat jumlah buku yang banyak. 

Beratus kali lebih besar daripada perpustakaan di Sekolah Menengah Undang Jelebu (SMUJ) mahu pun di Malay College Kuala Kangsar (MCKK).

Ketika Kelab Sosialis mengadakan jamuan teh untuk ahli baru aku sempat  bertemu dengan Usman Awang (1929-2001) dan Latif Mohidin.

“Cuba tengok pada dinding masuk library, ada sajak khas.

“Sajak ini diminta khas oleh Beda Lim, dia penjaga library. Bayaran pun agak lumayan,” kata Usman kepada aku tentang sajaknya yang ada dalam perpustakaan UM.

Dengan maklumat ini aku masuk ke gedung buku untuk mencari sajak Tongkat Warrant. 

Bila aku sampai di pintu masuk mata aku liar mencari.  

Betul! Aku ternampak di dinding masuk ada sajak Tongkat yang ditulis dengan huruf tembaga.  

Aku rasa ramai juga tidak menyedari wujudnya sajak ini. 

Hendak membacanya perlu mendongak ke atas.

Siswa siswi yang masuk ke gedung buku bukan masuk ke muzium atau galeri seni. 

Mata mereka tidak tercari-cari. 

Hati dan matanya hanya tertumpu kepada buku bukan dinding. 

Mereka tidak akan mendongak mencari-cari di siling. 

Justeru ramai pelajar tidak sedar akan wujudnya sajak ini.

Aku mendongak dan membaca sajak Tongkat:

Perpustakaan tercinta ini,
Pelabuhan kebudayaan peradaban zaman,
Gedung akal laut bicara manusia,
Mutiara pendeta tasik pujangga,
Kota kebenaran penaung kebebasan,
Ucap suara,
Dari ruang ini bersinar keagungan pemikiran,
Menghayati teluk liku zaman demi zaman,
Tanpa prasangka apa tanpa batas benua,
Kekal bersama angin yang mengusapi,
Abadi bersama langit yang memayungi,
Dikeramatkan untuk anda menghidup segala,
Di perpustakaan tercinta ini.

Ini sajak Tongkat. Aku merasa bangga bukan sahaja membaca sajak-sajak Usman malah bertemu dengan sasterawan itu sendiri.

Sajak Tongkat ini amat dalam maknanya. 

Dalam sajak ini Tongkat sedar bahawa buku dan perpustakaan bukan hanya gedung ilmu. 

Malah universiti itu adalah juga gedung kebebasan ucap bicara.

Cukup bersejarah: Tongkat menulis sajak tentang kebebasan ucap bicara.  

Sajak ini tergantung dalam gedung buku.  

Tidak sampai 50 meter dari sajak ini ialah Sudut Pidato Universiti.  

Sudut Pidato ini dari apa yang aku baca adalah tempat kebebasan ucap bicara seperti dalam sajak Tongkat.

Ketika aku budak koleq di MCKK aku sudah membaca tentang demo pelajar yang bermula dari Sudut Pidato ini.

Kini aku sudah dua bulan menjadi mahasiswa. 

Beberapa buah buku sudah dan sedang dibaca. 

Aku melamar untuk menjadi ahli Kelab Sosialis. 

Apa yang aku tunggu ialah aksi.

Aku mahu melihat demo dan tunjuk perasan seperti yang berlaku di Paris pada tahun 1968.  

Seperti gambar pelajar dan anak muda yang aku lihat dalam majalah Life, Time dan Newsweek.

Atau yang belaku di hadapan Rumah Putih di Amerika Syarikat yang mana aku lihat  gambar anak muda pelajar dan mahasiswa yang berambut panjang berdemo menentang Perang Vietnam.

Aku menunggu aksi. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.