- Iklan -
Rencana

Hujah Nga Kor Ming lemah

Penulis menyifatkan Nga Kor Ming sebagai jurucakap dan jurujual bagi pihak Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura di Dewan Rakyat.

Mahdzir Ibrahim
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang penduduk menggantung permaidani untuk dikeringkan di balkoni rumahnya di unit perumahan kos rendah di Kuala Lumpur.
Seorang penduduk menggantung permaidani untuk dikeringkan di balkoni rumahnya di unit perumahan kos rendah di Kuala Lumpur.

Merujuk kepada ucapan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di Dewan Rakyat hari ini. Beliau berhujah merasionalkan cadangan kerjasama dengan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura, sebenarnya menunjukkan betapa lemahnya hujah beliau itu.

Nga menjustifikasikan usaha beliau itu berdasarkan usaha kementerian sebelum ini yang sudah pun membuat banyak libaturus, perkongsian pengetahuan dan pengalaman menerusi lawatan kerja ke pelbagai agensi dalam dan luar negara seperti Korea Selatan, Australia dan Singapura.

Hujah meritokrasi ideologi DAP

Kemudian menteri menyebut senarai kejayaan HDB Singapura yang begitu memukau mata dan bicara. Hebat sekali menteri memberi hujah meritokrasinya.

Ini soal dasar. Bukan soal remeh. Jika rasional mahu bekerja dengan HDB berdasarkan reputasi atau meritokrasi mereka yang hebat itu, mengapa kita tidak bertanya soalan yang lebih mendasar iaitu dari manakah datangnya kejayaan mereka itu? Adakah kerana mereka jadi hebat dengan tiba-tiba?

Saya beri analogi. Jika kita seorang peniaga taugeh. Jika pembekal taugeh membekalkan taugeh yang sangat segar dan murah, mengapa kita tidak mengkaji dari mana dan bagaimana taugeh serupa itu diperolehi. Kita tidak mahu menjadi penjual taugeh yang bergantung selamanya dengan pembekal itu bukan?

Jika kita benar-benar mahu menjadi pengeluar, pembekal dan penjual taugeh sehebat yang dibawa oleh pembekal itu, mengapa kita tidak belajar menghasilkan taugeh sebaik atau lebih bagus dari pembekal itu? 

Adakah ilmu itu hanya ada pada dia seorang? Adakah pembekal itu akan mengajarkan ilmu menghasilkan taugeh yang lebih baik daripadanya kepada kita?

Nga seakan menjadi jurucakap dan jurujual bagi pihak HDB di Dewan Rakyat. Beliau mendendangkan kejayaan HDB seolah-olah dia bekerja dengan lembaga itu. Sedangkan senarai kejayaan HDB ini kita boleh ‘Google’ sahaja, tetapi menteri memilih untuk menjadi jurujual kejayaan HDB.

Rakyat tidak perlu diyakini dengan kehebatan HDB, sebaliknya rakyat mahu tahu mengapa agensi perumahan negara tidak boleh jadi sama hebat atau lebih hebat daripada HDB Singapura dan menteri tidak mampu memberikan penyelesaian dasar yang jelas tentang masalah perumahan negara. Jawapannya hanya HDB. Ganjil sekali.

Rakyat mahu penyelesaian dasar

Jika dasar perumahan Singapura dianggap berjaya dan paling hebat, bermakna ia adalah sumbangan HDB. Justeru, adakah dengan pertolongan HDB ini, akan menjadikan Malaysia seperti Singapura?

Kita tidak mahu menjadi Singapura kerana kita mahu jadi lebih hebat dari Singapura. Itu hakikat yang tidak difahami oleh Nga.

Kita bukan tidak tawaduk atau bodoh sombong, benar kita perlu belajar dari mereka yang bijak dan mahir, ini juga sesuai dengan ajaran Islam. 

Tetapi adakah hanya HDB sahaja yang hebat dalam bidang ini di alam ini? Kenapa bukan Korea Selatan? Jepun? Negara-negara Scandinavia? Negara-negara ini pernah runtuh dan lihat bagaimana mereka membangunkan negara dan perumahan mereka.

Saya memulangkan kembali pepatah menteri kepadanya kembali dengan sedikit penambahbaikan rima kata – Biar miskin harta, Jangan miskin jiwa. Jiwa hamba akan selalu melihat Singapura lebih hebat dari Malaysia. 

Ya, memang ada beberapa aspek Singapura lebih ke hadapan berbanding Malaysia, itu lumrah dunia, bukan suatu yang hebat mana pun, ada puluhan lagi yang kita punya kekuatan berbanding Singapura.

Tugas kita tidak kira siapa menjadi kerajaan ialah menjadi Malaysia lebih hebat dari Singapura hatta negara Asia – Harimau Asia. 

Di Singapura, orang Melayu menjadi golongan minoriti yang tidak bertanah lagi, ini fakta, bukan auta. Justeru, mengapa Singapura dijadikan idola untuk menyelesaikan masalah dasar perumahan negara? Hujah menteri, sangat lemah. Justeru, kita harus tolak cadangan ini.

Mahdzir Ibrahim adalah timbalan ketua penerangan Gerakan Tanah Air.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow