- Iklan -
Kolum

Majoriti rakyat masih ‘pengotor’

Mentaliti kotor kuat terpendam dalam minda warga Malaysia.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Minggu lalu ketika turun dari komuter, saya melihat seorang penumpang berusia 40-an keluar dari tren dan meminum air dari bekas tin. 

Setelah itu dia meletakkan bekas tin itu di atas sebuah papan tanda dan meninggalkannya. 

Tempat untuk membuang sampah ada hanya beberapa langkah dari situ.

Saya menoleh ke trek rel keretapi di sebelah kiri yang tidak digunakan. 

Terdapat banyak sampah sarap. Kebanyakannya adalah botol plastik air mineral. 

Saya rasa seperti berada di sebuah negara mundur dan putus harapan bahawa Malaysia akan maju.

Tidak ada sesiapa dari kalangan orang ramai termasuk saya sendiri yang berani menegur mereka yang membuang sampah di merata-rata tempat. 

Ini kerana sama ada tidak ada sesiapa yang mahu terlibat dengan pergaduhan atau sememangnya tidak mengambil peduli.

Mungkin kalau ada anggota penguatkuasa yang sentiasa memantau stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), maka perbuatan membuang sampah di merata-rata tempat itu dapat dibendung. 

Tetapi tentulah tidak praktikal untuk mengadakan anggota penguatkuasa yang ramai kerana ia akan membabitkan kos tinggi pada KTM.

Saya pasti pihak pengurusan stesen-stesen KTM itu mempunyai pihak yang ditugaskan membersihkan platform dan trek keretapi tetapi tentulah mereka tidak boleh sentiasa berada di situ untuk melakukan pembersihan. 

Akhir sekali, apa yang terbaik ialah penumpang sendiri berdisiplin dengan membuang sampah di tempatnya.

Kebersihan daripada sampah sarap adalah asas kepada disiplin orang ramai. 

Terdapat perkara-perkara lain yang menuntut orang ramai supaya berdisiplin bagi membolehkan hidup di kota raya selesa dan memudahkan semua penduduk. 

Ini termasuklah beratur mengikut giliran dan menepati masa.

Sepanjang hidup lebih 60 tahun, perkara kebersihan daripada sampah sarap ini sudah berulang kali disebut dan sememangnya ada kemajuan. 

Apabila melihat bukan sahaja sebahagian tempat di Kuala Lumpur, Georgetown dan Melaka yang bersih, tetapi juga di bandar kecil Muar dan Batu Pahat, maka kelihatannya ada kemajuan berbanding tahun-tahun 1970-an.

Tetapi bagi tahun 2020-an ini, Malaysia masih merupakan negara yang bersepah dengan sampah. 

Lihatlah di kaki-kaki lima di banyak tempat di Kuala Lumpur dan Selangor. 

Seolah-olah pihak berkuasa tempatan tidak wujud. 

Belum lagi dikira dengan soal parit dan longkang yang tidak terurus. 

Tong sampah pun penuh berisi hingga terburai.

Mereka yang menghabiskan masa dalam kereta mungkin tidak begitu terpandang dengan sampah sarap kota. 

Tetapi bagi pejalan kaki dan pengguna pengangkutan awam, kewujudan sampah sarap ini ketara. 

Ia sememangnya memalukan apabila dipandang oleh pelancong.

Tetapi sesiapa yang memandu kereta cubalah perhati di kiri dan kanan jalan raya dan lebuh raya, iaitu semasa kesesakan lalu lintas dan menunggu di lampu isyarat, pasti dapat dilihat betapa banyak sampah sarap di tepi jalan raya, dari botol air mineral sampai kepada lampin bayi. 

Dari mana sampah-sampah itu datang?  Tentulah dari kereta-kereta. 

Mereka inginkan kereta mereka bersih tetapi dengan mengotorkan persekitarannya. 

Mentaliti kotor kuat terpendam dalam minda warga Malaysia. 

Tetapi terdapat orang yang sememangnya pengotor dari segi mereka tidak rasa peka dengan adanya sampah sarap. 

Cubalah lihat keadaan dalam kereta sebahagian daripada orang ramai. 

Terdapat macam-macam barang dalam kereta termasuk sampah sarap seolah-olah mereka amat sibuk untuk menguruskan. 

Perkara ini dilihat sebagai soal peribadi seseorang, tetapi jika sudah ramai yang bertabiat begini, maka ia sudah menjadi sebahagian daripada budaya bangsa.

Ada suatu ketika saya melihat seorang kanak-kanak membuang bungkusan aiskrimnya di lantai kaki lima apabila dia keluar dari kedai. 

Sedangkan tong sampah berada di depannya. 

Secara spontan saya menegurnya tetapi bapa kanak-kanak itu melihat dengan wajah tidak puas hati dengan teguran saya itu.

Saya menceritakan perkara ini pada seorang guru di sekolah rendah di Selangor. 

Beliau berkata di sekolah, semua murid diajar mengenai kebersihan dan juga dilatih untuk berdisiplin supaya tidak membuang sampah di merata-rata tempat. 

Perkara yang sama pernah diajar pada saya semasa bersekolah pada tahun 1970-an dahulu. 

Tetapi sekolah juga menghadapi masalah yang sama.  Tidak semua pelajar yang mudah mematuhi disiplin kebersihan. 

Katanya, tabiat pelajar-pelajar juga bergantung pada apa yang dialami di rumahnya. 

Menurut guru itu, kalau di rumah mereka tidak ada disiplin kebersihan, sudah tentu perkara yang sama mereka lakukan di sekolah. 

Maka tidak boleh diharapkan sekolah semata-mata untuk mendidik mereka dengan disiplin kebersihan. 

Jika guru pun datang dari masyarakat yang tidak nengutamakan kebersihan, maka keadaan menjadi bertambah sukar. 

Beliau kemudian mengaitkan soal kebersihan dengan kedudukan sosio-ekonomi rendah. 

Menurutnya jika sebuah sekolah itu terletak di kawasan sosio-ekonomi rendah, maka pendidikan kebersihan menjadi lebih sukar. 

Lihatlah kawasan kediaman mereka yang sesak dengan mereka mengamalkan cara hidup membuang sampah tanpa adanya disiplin.

Namun begitu, apabila melihat orang membuang sampah di lebuh raya dari kereta mewah, saya fikir tabiat kebersihan tidak semestinya berkait dengan kedudukan sosio-ekonomi.

Dalam hantaran-hantaran di media sosial, orang mengeluh mengenai sampah sarap yang pelancong tempatan kunjungi di pantai-pantai dan sungai-sungai di negara ini. 

Terengganu mempunyai pantai-pantai yang cantik tetapi dicemari oleh sampah sarap. 

Begitu juga dengan gerai-gerai dan kedai makan yang tidak mempedulikan kebersihan. 

Meja-meja penuh dengan pinggan-pinggan yang dibiarkan tanpa dikemas dan dibersihkan dengan pada lantai terdapat banyak sampah.

Maka dikatakan bahawa pihak berkuasa tempatan terutama yang bertanggungjawab ke atas tempat-tempat pelancongan ini seharusnya lebih tegas dalam memastikan kebersihan. 

Tong-tong sampah yang penuh melimpah berhari-hari tidak dapat diterima oleh sesiapa. 

Tetapi mereka yang berkhidmat untuk pihak-pihak berkuasa datangnya daripada masyarakat yang sama. 

Dari pengerusi hinggalah kepada petugas biasa tidak akan melihat kepentingan kebersihan jika mereka tidak meletakkannya sebagai keutamaan. 

Maka dari tahun ke tahun, tidak akan ada pembaharuan. 

Walaupun negara ini mampu membuat infrastruktur seperti negara maju, iaitu lebuh raya, bangunan hebat dan binaan tarikan pelancong, tetapi jika kebersihan tidak menjadi keutamaan, maka ia kurang bermakna.

Sebahagian sampah yang ada ialah terdiri dari bahan-bahan pembungkusan seperti botol air mineral. 

Oleh kerana diperbuat daripada plastik, maka ia menjadi masalah besar pada alam sekitar. 

Usaha kerajaan selama ini  untuk kitar semula dan mengurangkan penggunaan plastik tidak dihiraukan. 

Masyarakat tidak boleh mengubah tabiat nereka 

Tetapi kalau pembuat dan pengeluar mengambil berat mengenai kebersihan dan pencemaran, sudah tentu jalan dapat dicari bagaimana hendak menggunakan bahan pembungkusan yang tidak akan menjadi sampah. 

Tetapi tentulah mereka tidak akan melakukan perkara ini jika tidak ada undang-undang yang memaksa. 

Untuk mengharapkan mereka memikirkan soal kebersihan tentulah tidak boleh kerana sifat syarikat perniagaan adalah mendapatkan keuntungan sebanyak mungkin. 

Kecualilah pemiliknya mempunyai kesedaran kuat mengenai kebersihan. 

Tetapi pemiliknya juga datang daripada masyarakat yang sama di mana kebersihan bukan menjadi keutamaan.

Untuk menjadi bersih bukanlah suatu yang mustahil. 

Kini ramai orang Malaysia sudah dapat pergi keluar negara, dari Jepun hinggalah ke Belanda. 

Mereka dapat saksikan betapa menjadi bersih itu bukanlah suatu yang mustahil. 

Mungkin tidak ada negara yang boleh sebersih Jepun, tetapi apa yang penting ialah tiada sampah sarap. 

Kebersihan tidak semestinya dikaitkan dengan kemajuan negara. 

Ada bandar seperti Chiang Mai di Thailand dan Bandung di Indonesia adalah bersih. 

Apa yang dikaitkan dengan kebersihan ialah disiplin anggota masyarakat. 

Ia menjadi asas kepada disiplin-disiplin lain yang boleh memberi keselesaan hidup kepada semua penduduknya.

Tanpa disiplin kebersihan, negara ini tidak akan ke mana kerana ia tidak akan memberi keselesaan hidup kepada rakyat.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.