- Iklan -
Kolum

Perang Dunia Ketiga?

Apakah 'perang dingin' melibatkan AS, China dan Rusia ini boleh menjadi panas dan mengheret negara lain ke Perang Dunia Ketiga?

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Salah satu peristiwa antarabangsa yang berlaku minggu lalu dan disiarkan oleh semua media dunia ialah tindakan Amerika Syarikat (AS) dan Kanada mengharamkan aplikasi TikTok dalam telefon pintar yang dikeluarkan oleh kerajaan dan agensinya.

Ia sepatutnya merupakan sesuatu yang tidak menghairankan kerana empat lagi kerajaan lain sudah mengharamkan atau mengehadkan penggunaan TikTok iaitu India, Pakistan, Taiwan, Afghanistan dan Kesatuan Eropah.

Tetapi oleh kerana hubungan China dengan AS sedang meruncing maka ia dilihat sebagai sebahagian daripada "perang dingin" antara kedua-dua pihak.

Tidak lama dahulu jet pejuang AS menembak jatuh belon kaji cuaca China kerana dibimbangi melakukan perisikan.

"Perang dingin" bermaksud peperangan yang tidak berbentuk pertembungan senjata.

Maknanya ia bukan "perang panas". Ia lebih pada tindakan-tindakan lain seperti tekanan ekonomi dan juga propaganda. 

Itulah yang sedang berlaku antara AS dengan China.

Hampir setiap malam, semua media AS dan sekutunya menyiarkan berita utama mengenai keburukan serta kelemahan China dan Rusia: BBC, ABC, NHK, DW, France24 dan Euronews. Seolah-olah ada suatu arahan yang sama. 

Ternyata sudah tiada media bebas, adil dan seimbang yang menjadi prinsip demokrasi.

Hanya peperangan yang membolehkan prinsip demokrasi diketepikan.

Maka apa yang sedang berlaku ialah "perang dingin.”

Selain itu, peperangan secara proksi juga dikira "perang dingin". 

Pada waktu ini, tidak berlaku perang proksi antara AS dan China. 

Tetapi perang proksi sedang berlaku antara AS dan Rusia. Ukraine dilihat sebagai proksi AS.

Maka AS sedang "perang dingin" di dua medan serentak iaitu dengan Rusia dan China.

Tetapi AS mahu gambarkan bahawa ia sedang berperang di satu medan saja iaitu dengan Rusia.

Sementara China dianggapnya sebagai sekutu Rusia. Tetapi China menafikan bahawa ia adalah sekutu Rusia.

Adakah "perang dingin" ini boleh menjadi panas dan selanjutnya mengheret negara-negara lain hingga tercetus Perang Dunia Ketiga?

Ramai pihak yang berasakan bahawa "perang dingin" antara negara yang mempunyai senjata nuklear tidak akan menjadi panas.

Ini kerana pemimpin kedua-dua pihak tidak akan tergamak untuk mengheret negara dan dunia kepada "perang panas".

Lebih-lebih lagi pemimpin negara demokrasi perlu mendapat sokongan rakyat.

AS, Rusia dan China mempunyai senjata nuklear.

Maka diberikan contoh bagaimana Perang Dingin antara AS dengan Soviet Union dari tahun 1947 hingga 1991 berakhir tanpa berubah menjadi panas. 

Begitu juga "perang dingin" kali ini mungkin akan berakhir begitu saja apabila Vladimir Putin dan Xi Jinping sudah tidak memerintah lagi.

Tetapi itu hanya satu senario. Banyak perkara yang berlaku di dunia ini adalah di luar jangkaan.

"Perang dingin" yang berlaku sekarang ini pun tidak dijangka.

Malah ada kenyataan yang menyebut bahawa AS melakukan kesilapan dengan membiarkan China menjadi kuat seperti apa yang ada pada hari ini.

Maka kini AS tidak bersedia untuk menghadapinya. Maka sekarang boleh saja ia menjadi "perang panas" yang membawa kepada Perang Dunia Ketiga. 

Terdapat dua perspektif terhadap Perang Dunia Ketiga.

Pertama, ia merupakan suatu kemungkinan yang amat jauh dan hampir pasti tidak akan berlaku, maka membincangkan mengenainya merupakan hanya suatu hiburan intelektual. 

Kedua, Perang Dunia Ketiga akan berlaku dan tidak ada sesiapa boleh berbuat apa-apa untuk menghalangnya. Ia merupakan suatu takdir dan dunia mungkin sudah hampir dengan kiamat.

Tidak ada manusia siuman yang mahukan perang, lebih-lebih lagi Perang Dunia.

Tetapi tidak ada sesiapa pula mampu meramalkan apa yang akan berlaku pada masa depan.

Apa yang hanya boleh dilakukan ialah dengan melihat ke belakang, iaitu pada sejarah untuk dijadikan iktibar dan sempadan.

Istilah "perang dunia" hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua.

Sebelum itu, tidak ada Perang Dunia Pertama. Ia hanya dikenali sebagai Perang Besar atau Great War.

Tetapi apabila berlaku Perang Dunia Kedua, ia adalah lebih besar dari Perang Besar. 

Maka barulah dinamakan Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Tetapi apabila ada Perang Dunia Kedua, maka berkemungkinan ada Perang Dunia Ketiga. 

Namun begitu, menamakan Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua juga bermakna ia bertujuan untuk memberi kesedaran supaya manusia menghalang berlakunya Perang Dunia Ketiga.

Manusia juga seharusnya berbangga setakat ini tidak berlaku lagi Perang Dunia Ketiga walaupun azam negara-negara yang menandatangani Piagam Bangsa-bangsa Bersatu untuk memelihara perdamaian sudah gagal.

Baru lima tahun ia ditandatangani, Perang Korea meletus pada tahun 1950 yang turut membabitkan AS, Soviet Union dan China.

Ekoran itu juga China dan Korea Utara memperoleh senjata nuklear yang terus mendatangkan kesan pada hari ini.

Kelebihan manusia hari ini berbanding mereka yang hidup sebelum Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua ialah adanya pengalaman masa lalu yang banyak didokumentasikan dan dikaji. 

Maka daripada kajian, yang sentiasa berjalan dan mudah diperoleh pada zaman digital ini, dapatlah dilihat punca berlakunya Perang Dunia dan bagaimana ia mungkin dapat dihalang.

Perang Dunia Kedua berpunca daripada Perang Dunia Pertama yang tidak diselesaikan dengan baik.

Sementara Perang Dunia Pertama berpunca daripada rasa tidak puas hati tanah jajahan yang ditindas oleh imperialis.

Dalam hal ini ialah Serbia yang dijajah oleh Austria-Hungary.

Tetapi perang itu tidak dihalang oleh sesiapa kerana empayar-empayar lain iaitu British, Jerman dan Rusia seolah-olah terdorong ke arah pembunuhan dan kemusnahan tanpa menghiraukan penderitaan yang akan ditanggung oleh rakyat masing-masing.

Mereka terdorong atas rasa takut kehilangan kuasa dan wilayah dengan tidak mempedulikan saluran diplomasi. Sememangnya diplomasi memerlukan kompromi tetapi ia lebih baik daripada kematian.

Apabila melihat keadaan dunia sekarang, maka dapat dikenali bahawa ia merupakan hasil daripada Perang Dunia Kedua yang tidak diselesaikan dengan baik. 

Perang Dingin itu sebenarnya lanjutan daripada Perang Dunia Kedua.

AS dan Soviet Union berebut kuasa, pengaruh dan wilayah dunia selepas mereka dapat kalahkan Jerman, Itali dan Jepun.

Sementara "perang dingin" yang sedang berlaku sekarang ini pula adalah lanjutan daripada Perang Dingin asal.

AS, Rusia dan China sedang berebut mengisi ruang yang kosong akibat keruntuhan Soviet Union.

Perlu diingat bahawa Persekutuan Rusia dan juga Ukraine adalah negara baru yang lahir daripada keruntuhan Soviet Union. 

Sementara China pula sebenarnya turut menyumbang kepada kemerosotan Soviet Union apabila pada tahun 1972, ia mula berbaik dengan AS dengan meninggalkan blok Soviet. 

Untuk menggalakkan kecenderungan ini, AS turut membantu China dengan meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara.

Jadi, kini bagaimana hendak menghalang "perang dingin" daripada menjadi besar dan akhirnya mengheret seluruh dunia?

Jawapannya ialah kembali ke meja rundingan.

Perang Ukraine perlu dihentikan segera.

Ketegangan hubungan AS-China mesti dikendurkan. Juga, kembalikan media dunia pada peranan perdamaian.

Malaysia sudah tentu tidak mahu sekali lagi terperangkap dalam Perang Dunia. Generasi hari ini tidak mahu menderita seperti mana apa yang dialami oleh datuk-datuk nenek mereka pada tahun 1940-an.

Tidakkah ada pakar-pakar geopolitik yang boleh menasihati kerajaan-kerajaan supaya tidak berperang?

Mungkin ada, seperti mana menjelang Perang-perang Dunia dahulu. Tetapi kerajaan tidak mempedulikannya.

Apa yang rakyat perlukan ialah suatu gerakan damai yang disertai oleh orang ramai.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.