- Iklan -
Kolum

Sejarah Hari Wanita Antarabangsa

Ia dilaporkan berkaitan dengan demonstrasi untuk menuntut layanan adil kepada pekerja wanita.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Pada Rabu lalu, 8 Mac, dunia, termasuk Malaysia menyambut Hari Wanita Antarabangsa. 

Pada hari itu diucapkan kata-kata penghargaan kepada wanita, secara khusus atau umum.

Secara khusus adalah ucapan yang disampaikan kepada wanita-wanita yang terdekat seperti dalam keluarga, iaitu nenek, ibu, isteri, kakak, adik perempuan, ibu saudara, ibu mertua, menantu dan sebagainya. 

Ia juga diperluaskan kepada rakan sekerja, ketua perempuan dan kakitangan wanita. 

Secara umumnya, penyampaian ucapan diberikan melalui media sosial. Inilah apa yang berlaku saban tahun.

Tetapi Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan sebegitu rupa hanya satu daripada tiga lapisan sambutan. 

Orang kurang beri perhatian kepada dua lagi lapisan. Terutamanya lapisan ketiga yang merupakan teras sambutan ini, iaitu asalnya ia adalah untuk membela wanita bekerja.

Dalam lapisan kedua itu pula, Hari Wanita Antarabangsa ini untuk meraikan dan menegaskan semula perjuangan wanita sedunia. 

Apa yang dimaksudkannya ialah perjuangan untuk mendapat hak wanita sebagai manusia, setaraf dengan lelaki. 

Penekanannya adalah lebih kepada peluang pendidikan dan pekerjaan seperti kaum lelaki. 

Ia juga memperjuangkan keadilan dalam masyarakat pada hubungannya dengan lelaki, baik dari segi undang-undang keluarga, pembahagian harta dan pembahagian kerja rumah tangga. 

Perjuangan feminisme berada dalam lapisan kedua ini.

Ditambah pula banyak negara mempunyai sambutan Hari Wanita Kebangsaan masing-masing. 

Bagi Malaysia, ia diraikan pada 25 Ogos. 

Selain itu terdapat juga Hari Ibu dan hari-hari pekerja tertentu yang melibatkan ramai wanita iaitu seperti Hari Jururawat, Hari Guru, Hari Doktor dan Hari Pustakawan.

Tetapi asalnya sambutan Hari Wanita Antarabangsa ini adalah lebih khusus untuk pekerja wanita. 

Tidak kiralah bagaimana seseorang menyambut hari wanita itu tetapi masyarakat perlu diingat juga soal pembelaan terhadap pekerja wanita.

Hari Wanita pertama yang dicatatkan pertama kali berlangsung ialah pada 28 Februari 1909 yang dipanggil Hari Wanita Nasional di New York. 

Ia dianjurkan oleh Parti Sosialis Amerika atas cadangan aktivis Theresa Malkiel. 

Ia dilaporkan berkaitan dengan demonstrasi untuk menuntut layanan adil kepada pekerja wanita.

Tetapi pertama kali Hari Wanita Antarabangsa dicadangkan untuk disambut ialah pada tahun 1910. 

Ia dikemukakan oleh Pemimpin Biro Wanita Parti Demokratik Sosial Jerman, Clara Zetkin dalam Persidangan Wanita Bekerja kedua di Copenhagen, Denmark.  

Beliau mencadangkan supaya setiap negara pada setiap tahun meraikan suatu Hari Wanita pada hari yang sama untuk mengemukakan tuntutan. 

Persidangan itu dihadiri oleh lebih 100 dari 17 buah negara mewakili kesatuan-kesatuan sekerja, parti-parti sosialis, kelab-kelab wanita bekerja dan tiga orang wanita pertama yang dilantik ke Parlimen di dunia, iaitu dari Finland.  

Cadangan Zetkin itu disetujui dan Hari Wanita Antarabangsa disambut oleh para perwakilan.

Tetapi apa yang mendorong banyak pihak di dunia untuk menyambut Hari Wanita Antarabangsa untuk zaman moden ini, menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) ialah kebakaran di kilang Triangle Dhirtwaist di New York pada 25 Mac 1911 yang membunuh 146 pekerja muda, kebanyakannya wanita imigran.

Bagaimanapun negara pertama yang mengisytiharkan cuti umum rasmi untuk Hari Wanita Antarabangsa ialah Soviet Union pada tahun 1917. 

Pemimpin wanita radikal Alexandra Kollontai mengisytiharkan 8 Mac sebagai hari cuti rasmi di negara itu. 

Tarikh 8 Mac dipilih daripada tindakan mogok dan demonstrasi para wanita Rusia di Moscow menuntut perdamaian dan makanan ekoran kematian dua juta tentera mereka dalam Perang Dunia Pertama. 

Mereka menuntut supaya wanita diberi hak mengundi. 

Tindakan ini menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Czar. 

Sejak itu, Hari Wanita Antarabangsa disambut oleh negara-negara komunis serta pertubuhan-pertubuhan kiri di seluruh dunia

Di peringkat antarabangsa pada tahun 1967, kumpulan feminis di Barat menjadikan Hari Wanita Antarabangsa sebagai Hari Perjuangan Wanita Antarabangsa.  

Mereka menuntut supaya tiada diskriminasi antara lelaki dan wanita dalam pendidikan dan pekerjaan. 

Wanita harus diberikan gaji yang sama dengan lelaki.

Pada tahun 1975, barulah dunia keseluruhannya menerima Hari Wanita Antarabangsa apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkannya sebagai hari untuk meraikan pencapaian wanita bagi mewujudkan perdamaian dunia. 

PBB mengambil sikap inklusif dalam hal ini. 

Setiap negara boleh merayakannya pada bila-bila tarikh yang mereka mahukan dan apa saja acara mengikut tradisi masyarakat masing-masing adalah diterima. 

Hari Wanita Antarabangsa bukan lagi sambutan bagi negara komunis dan pergerakan kiri,tetapi ia adalah milik semua wanita.

Maka tentulah perjuangan pekerja wanita pada waktu ini di seluruh dunia sudah jauh berbeza daripada tahun 1910. 

Walaupun lain negara, maka lain pula tuntutannya. 

Pada umumnya kini wanita boleh mengundi dan ia menjadi kuasa bagi perubahan terhadap mereka. 

Kebebasan wanita hendaklah dalam kerangka demokrasi berparlimen, bukannya bersifat autoritarian seperti negara-negara komunis.

Begitu juga dengan isu-isu peluang pendidikan dan pekerjaan. 

Banyak perubahan sudah berlaku mengenai diskriminasi berasaskan gender. Sikap orang juga sudah berubah. 

Dari tahun 1913 hingga 2023, generasi pun sudah berganti. 

Walaupun dulu sikap kesetaraan gender diperjuangkan oleh gerakan kiri, tetapi kini ia sudah jadi arus perdana dan menyerap pada masyarakat liberal dan moden. 

Ketika mana Soviet Union dan kerajaan komunis sudah hampir semuanya runtuh, tetapi nilai-nilai baik diambil oleh dunia.

Bagi masyarakat Islam soal perjuangan wanita ini mempunyai masalah. 

Ini kerana syariah yang berasaskan kepada fekah zaman pertengahan masih dipakai dan ia bertembung dengan moderniti. 

Para ulama reformis berusaha mencari jalan bagi menghadapi masalah ini. 

Begitu juga Ayatollah Khomeini ketika melancarkan Revolusi Islam di Iran. 

Setiap negara Islam menemukan jalan yang sesuai untuk negara masing-masing. Tetapi ia masih jauh daripada penyelesaian. 

Setakat ini dikatakan bahawa perempuan perlu diberikan keadilan. Ini kerana Islam adalah agama keadilan. 

Tetapi pengiktirafan perlu diberikan kepada perbezaan antara lelaki dengan perempuan. 

Seboleh-bolehnya mereka mahukan kedudukan syariah tidak digugat atau diubah untuk mengikut perkembangan fahaman hari ini.

Bagi feminis, dikemukakan konsep patriarki. 

Suatu konsep sains sosial yang menyatakan struktur masyarakat adalah melebihkan pada lelaki kerana ia sudah begitu lama diamalkan sejak purbakala.  

Ramai lelaki tidak dapat menerima kedudukan kesetaraan dengan perempuan. 

Bukan sahaja di negara-negara Islam tetapi juga di Barat, golongan konservatif yang turut termasuk kumpulan-kumpulan Kristian enggan menerima pendirian-pendirian feminis. 

Perdebatan ini masih berlangsung dan akan terus berpanjangan.

Dalam kemelut ini, ada dua jalan. Iaitu menjadikan Hari Wanita Antarabangsa sebagai hari yang menggembirakan. 

Tidak perlu perbahasan yang berat-berat. Ucapkan selamat serta menghulur bunga kepada ibu, isteri, anak perempuan, kakak, adik perempuan atau mana-mana wanita yang hendak dihargai. 

Kedua, meraikan kejayaan wanita dalam apa jua pencapaian mereka dalam politik, sosial dan ekonomi dengan mengharapkan akan lebih ramai kalangan wanita menjadi golongan profesional.

Namun begitu, isu pekerja masih bermasalah. Ia tidak akan hilang dengan sendiri. 

Ia memerlukan polisi dan program. Golongan wanita yang berjaya dalam kerjaya aras tinggi mempunyai masalah tersendiri. 

Tetapi pekerja wanita yang berpendapatan rendah lagi menghadapi cabaran lebih besar.

Pekerja-pekerja wanita ini termasuklah migran, terdaftar atau tidak di seluruh dunia. Begitu juga para pelarian yang amat ramai pada waktu ini. 

Mereka perlu hidup, dan untuk hidup, mereka perlu bekerja, maka jadilah pekerja wanita.

Penderitaan berlaku di merata-rata dunia tetapi hanya kesedaran golongan masyarakat yang memiliki kuasa dan wang dapat mengurangkan penderitaan itu. 

Mereka yang tidak mahu mendengar kisah-kisah susah bolehlah menyambut Hari Wanita dengan segala kesenangannya. 

Tetapi bagi mereka yang mahu membantu pekerja wanita akan sedar bahawa yang dihadapi oleh pekerja wanita adalah sama dengan pekerja lelaki. 

Punca masalah adalah sistem politik, sosial dan ekonomi dunia yang sebenarnya tidak memberikan keadilan pada setiap orang.