- Iklan -
Kolum

Dari Brickfields

Tapi Jalan Thambypillay ini untuk aku lebih hebat.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Aku menamakan kolum aku dalam akhbar Suara Keadilan, “Dari Brickfields”.  

Suara Keadilan merupakan sebuah akhbar mingguan rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR).  

Aku masih ingat lagi kami iaitu Zunar, Sallehudin Hashim dan Tian Chua berbincang untuk menerbitkan akhbar ini dalam tahun 2004 selepas Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11).

Untuk beberapa ketika Pejabat PKR terletak di Brickfields, kini bangunan Hong Leong Bank sebelum berpindah ke Merchant Square di Petaling Jaya.

Ketika itu Salleh bertugas sebagai setiausaha agung PKR. 

Tian ketua penerangan PKR. Zunar, bekas wartawan NST dan Harakah menjadi kemudi Suara Keadilan dan kemudian menjadi ketua pengarang.  

Tian juga menjadi sosok untuk mencari dana. Aku jadi “Pak Turut” kerana aku bukan orang parti.

Aku kenal dan rapat dengan Salleh kerana kami aktif dalam Malay College Old Boys Association (MCOBA). 

Aku kenal dan rapat dengan Zunar kerana sama-sama bergerak dalam gerakan reformasi.  

Zunar ini pelukis kartun bertaraf dunia. 

Kartunis yang bukan kecik anak. Tian adalah kawan satu sel dengan aku ketika kami di tahan di Kem Tahanan Kamunting.

Jaringan dan ikatan yang kukuh untuk memulakan satu projek media untuk sebuah parti politik.

Suara Keadilan berjaya diterbitkan. 

Muncul setiap Rabu tanpa lesen Kementerian Dalam Negeri (KDN). Pejabatnya di Brickfields arah jalan Tun Sambanthan.  

Justeru kolum aku bernama Dari Brickfields.

Akhbar bercetak 38 muka surat pernah mencecah 100,000 naskah sekali cetak. 

Hari ini menjadi arwah setelah kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14. Suara Keadilan dalam talian masih wujud.  

Kolum aku sudah tidak wujud lagi.

Tapi cerita yang aku nak buka ini bukan tentang akhbar Suara Keadilan atau kolum aku. 

Aku hendak bersurah tentang sejarah aku dengan wilayah di pinggir pusat kota Kuala Lumpur ini yang amat dikenali sebagai Brickfields.

Aku dengan Brickfields ini ada sejarah. Sejarah pertalian yang maha panjang.  

Babak-babak sejarah ini berlaku secara organik dan tidak di rancang.  

Muncul macam mata air kemudian membesar terus menjadi anak sungai.

Tahun 1971 bas Sri Jaya yang menuju ke Universiti Malaya (UM) dari pusat kota bermula dari stesen Jalan Sultan Mohamad. 

Stesen yang kini dikenali dengan nama Pasar Seni. 

Bas ini akan melintasi Brickfields sebelum masuk ke Jalan Travers dan masuk ke Jalan Pantai. Perhentian akhir ke UM di hadapan Restoran Amjal, Jalan Pantai.

Ketika di dalam bas bila melintas pekan Brickfields aku akan ternampak Panggung Lido. 

Hari ini Panggung Lido termasuk ke dalam senarai panggung-panggung yang terbunuh mati oleh teknologi dan gedung membeli belah.

Tapak Panggung Lido hari ini terletak di persimpangan Jalan Tun Sambanthan di sebelah stesen minyak Petron.  

Sekarang ini di tapak Lido dibangunkan College Brickfields, hotel, bank dan cafe.

Panggung Lido menayangkan filem Tamil dan filem Cina. 

Justeru selama aku di UM aku tak pernah masuk ke Panggung Lido. Tapi aku kerap ke Brickfields ke Jalan Thambypillay di belakang Panggung Lido.

Jalan Thambypillay ini berhadapan dengan Bangunan YMCA. 

Nama Lido masih hidup kerana di persimpangan Jalan Tun Sambanthan ada sebuah hotel yang mengambil sempena nama panggung Lido.

Di hadapan Hotel Lido ada tanah lapang untuk letak kereta. 

Di sebelah tanah lapang ini ialah deretan kedai.  

Aku tidak ingat kedai jual apa. Apa yang aku ingat satu kedai makan Cina yang selalu aku langgani ketika aku di UM.

Sekali sekala lewat malam aku dan kawan-kawan akan datang ke kedai makan ini, “supper time”.  

Satu masakan paling istimewa untuk aku ialah mee itik atau duck mee. 

Tahun 1972 harga sepinggan mee itik ialah 1.20 sen.   

Sepinggan mee boleh berkongsi makan dan berkongsi harga untuk dua orang.

Sosok yang memperkenalkan aku dengan mee itik ini ialah Albert Foo siswa ekonomi bekas pelajar Victoria Institution (VI).

Albert anak watan Brickfields. Ayah Albert ini tukang masak pegawai Inggeris justeru Albert ini memang kaki makan.

Ini “setting” wilayah bernama Brickfields.

Hari ini secara tidak dirancang semenjak pulang dari 20 tahun berkelana aku tinggal di Lorong Syed Putra Kiri tidak jauh dari Brickfields. 

Lebih tepat lagi jalan ke rumah sewa aku di belakang Rumah Pasung Brickfields, di seberang sungai Klang. 

Jalan kecil menuju ke tanah perkuburan Cina.

Aku menyewa flat di “Le Chateau”. 

Dari sejarah yang aku dengar  pada satu ketika dulu Le Chateau ini wujud sebagai sebuah kelab yang amat tersohor. Ada mini panggung, ada salun rambut, ada bilik agama malah ada restoran Perancis.

Bila aku pulang dari berkelana Le Chateau ini sudah jatuh muflis. 

Justeru sewa flat agak demokratik. Malah satu-satunya wilayah Kuala Lumpur yang hijau penuh dengan pokok-pokok dan sewa agak murah.

Sewa flat murah ini terjadi kerana di belakang Le Chateau 1 dan 2 ialah tanah perkuburan Hokkien dan Kwangtung. Tidak ramai yang berminat tinggal di sebelah 370 hektar tanah perkuburan.

Aku sering menapak dari Le Chateau ke Jalan Thambypillay. 

Dalam masa 20 minit, dari pintu ke pintu aku akan sampai ke Jalan Thambypillay.

Jalan ini pada satu ketika dulu adalah jalan wajib dilawati oleh warga Kuala Lumpur dan wajib dikenali oleh semua jantan-jantan baru yang datang berhijrah ke Kuala Lumpur.

Ada dua jalan yang amat-amat popular di dalam kota Kuala Lumpur: Lorong Haji Taib sebelah Chow Kit Road dan Jalan Thambypillay depan YMCA Brickfields.

Untuk aku, siapa yang tidak tahu lorong dan jalan ini kita boleh persoalkan kewarganegaraan sosok ini.

Dua jalan ini memainkan peranan yang amat penting dalam hal kesihatan dan perekonomian negara kita.

Statistik menunjukkan pada bulan Jun 2022 ada 2.1 juta pekerja asing di Malaysia.

Aku rasa 90% pekerja asing ini adalah jantan. 

Majoriti jantan-jantan ini bekerja dan memburuh di sekitar Lembah Klang.

Jantan, jantan dan jantan ini semua segak dan gagah. 

Jantan-jantan ini memiliki daya beli.  

Mereka adalah jantan tanpa betina. 

Sama seperti cerita yang aku baca  dalam buku: Men Without Women yang ditulis oleh Hemingway. Penulis yang amat aku minati.

Maka di sinilah peranan Lorong Haji Taib dan Jalan Thambypillay. Dua jalan ini menyelesaikan masalah jantan tanpa betina ini.

Di permulaan Jalan Thambypillay di tanah lapang yang asalnya tempat letak kereta kemudian jadi wilayah warung dan akhirnya hari ini ada bangunan Old Town White Coffee.

Di sinilah tempat aku suka melepak untuk melayan malam. 

Di sebelah Old Town White Coffee ini ialah kedai Husen Cafe yang asalnya kedai mee itik yang aku layan pada tahun 70-an.

Aku sendiri melihat perubahan Brickfields yang berlaku di hadapan mata kepala aku. 

Bangunan wujud bangunan runtuh. Panggung berdiri panggung di runtuh.  

Diganti dengan bangunan baru. Perniagaan baru datang dan pergi. Pemilik, penyewa bertukar ganti.

Tapi Jalan Thambypillay tidak berubah. 

Dari zaman aku di UM lagi wilayah ini dikenali sebagai kawasan “lampu merah”. 

Ini terjemahan dari konsep “red light district” wilayah East End di kota London.

Bilik yang ada lampu merah yang terpasang ini adalah tanda  dalam bilik ini ada perempuan yang sedia untuk ditiduri. 

Bukan percuma wajib dibayar untuk mengeluarkan air yang sudah naik ke kepala.

Tanda lampu ini sama seperti tanda lampu kalimantang, merah, hijau dan biru: tanda kedai makan Tom Yam.

Tahun 70-an nama Brickfields tidak sehangat Lorong Haji Taib. Tersenarai tapi bukan top.

Pernah sekali aku membawa tamu pemimpin pelajar dari Hong Kong. Kami masuk ke dalam bar yang agak gelap di Jalan Thambypillay.

Minuman “chic” zaman itu ialah Bicardi dan Coke. 

Di zaman itu bar seperti ini diberi nama “Bar Raba Raba Tetek”.

Pelayan bar akan datang membawa minuman. 

Sang pelayan, sentiasa wanita boleh ajak duduk bersama. 

Dia akan melayan kita. Jika nasib baik, jika perbualan tersusun, jika bijak mengayat sang pelayan boleh diajak pulang ke rumah.

Tahun 1972 aku hanya seorang pelajar yang dapat biasiswa Negeri Sembilan. 

Cerita menarik dari bar Brickfields ini hanya aku dengar. Aku tidak ada keupayaan. Aku tidak memiliki modal.

Ketika aku melepak di Old Town White Coffee selalu aku berkhayal aku ini di Soho London. 

Atau di Pigalle kota Paris yang pernah aku lawati. Sayangnya hanya sekali.

Sekali pun sudah memadai. Dalam hidup ini sekali ke Pigalle pun jika mata terbuka sudah memadai. Aku ingat lagi perempuan muda dengan make-up tebal berdiri di kaki lima di sebelah kedai makan Arab di Pigalle.

Untuk aku Jalan Thambypillay ini aku samakan dengan Soho dan Pigalle.

Tapi Jalan Thambypillay ini untuk aku lebih hebat. Lebih bersejarah. 

Sejarah apa? 

Sejarah sosok-sosok yang bertemu dengan aku di Old Town White Coffee.

Siapa? Tunggu sambungan.