Perkembangan terbesar sepanjang seminggu lalu adalah pemulihan hubungan diplomatik Arab Saudi dengan Iran.
Laporan itu mengejutkan kerana ia datang tiba-tiba sedangkan sudah tentu untuk sampai ke situ, banyak langkah yang perlu dilakukan.
Kini apa yang hendak dunia ketahui, apakah kesan daripada perkembangan itu, dan sama ada ia berpanjangan atau tidak.
Lebih mengejutkan ialah usaha pemulihan hubungan itu dilakukan oleh China yang menjadi orang tengah.
Maka terdapat pelbagai spekulasi apakah yang berlaku di sebalik rundingan itu?
Apakah kepentingan China dalam usaha ini. Siapakah yang memulakan usaha untuk rundingan itu?
Jika China yang mula mengorak langkah, apa yang menyebabkab Iran dan Arab Saudi bersetuju.
Bagi umat Islam, adalah dipercayai bahawa mereka mahukan perdamaian antara kedua-dua negara itu.
Ini kerana perbalahan antara negara seagama, walaupun berlainan mazhab dan ideologi melemahkan umat.
Lebih-lebih lagi kedua negara ini terbabit dengan perang proksi di Yaman yang mengorbankan ribuan orang awam dan mendatangkan penderitaan ke atas rakyat negara itu.
Ia merupakan tragedi pada dunia yang belum menemui penyelesaiannya.
Sama ada pemulihan hubungan diplomatik antara Arab Saudi dan Iran dapat menghentikan peperangan itu tentulah belum dapat dipastikan.
Ini kerana ia merupakan suatu konflik yang rumit.
Ia bukan semata-mata soal mazhab seperti yang gemar disebut oleh penganalisis Barat, tetapi ia melibatkan soal geopolitik dan sifat regim di Riyadh dan Tehran.
Di atas segalanya ia melibatkan kuasa besar Amerika Syarikat (AS).
Apabila AS diberitahu bahawa Riyadh dan Teheran memulihkan hubungan diplomatik, Washington menyatakan keprihatinannya iaitu “concern”, yang dalam bahasa diplomatik bermaksud tidak suka.
Namun beberapa hari kemudian, ia mengalu-alukan perkembangan itu. Tetapi Israel dengan tegas menolak pemulihan hubungan Arab Saudi dan Iran.
Perkara ini mudah difahami. Iran dianggap sebagai musuh utama Israel kerana ia berazam untuk "menghapuskan" negara Zionis itu daripada muka bumi.
Maka Iran dianggap sebagai “existential threat” atau ancaman pada kewujudan Israel.
Lebih-lebih lagi Iran mempunyai kemampuan teknologi nuklear yang boleh ditingkatkan kepada senjata nuklear.
Jadi sebarang pemulihan hubungan diplomatik lebih-lebih lagi dengan Arab Saudi akan menambahkan kekuatan Iran.
Bagi Israel, biarlah Iran terpencil kerana dengan itu, ia akan terus lemah.
Adalah merupakan suatu kepentingan padanya supaya perbalahan mazhab Sunni-Syiah berlanjutan kerana ia akan dapat memencilkan Iran dalam kalangan negara-negara Islam lain yang hampir kesemuanya Sunni.
Bagi Iran pula, Israel adalah ancaman bukan sahaja kepada kewujudan Iran tetapi terhadap kepentingan negara-negara Islam di rantau Timur Tengah.
Ancaman dari Israel adalah nyata kerana ia menakluk Palestin dan juga memiliki senjata nuklear tanpa sebarang halangan oleh dunia.
Sememangnya kewujudan Israel bergantung pada kekuatan tenteranya dan sokongan AS.
Adalah penting baginya supaya negara-negara Islam terus lemah.
Katakan negara-negara Islam bergabung sekalipun, mereka tetap lemah daripada Israel.
Ini kerana asas kepada kejayaan Israel adalah ia mengatasi sebarang kekuatan negara-negara Islam.
Untuk itu, ia mahukan Iran terus lemah. Maka perbalahan Iran dengan Arab Saudi akan memecahkan tumpuannya daripada menyasarkan Israel semata-mata.
Adalah kebiasaan untuk melihat bahawa apa sahaja perkembangan diplomatik sesebuah negara tidaklah berasaskan pada politik semata-mata.
Ini kerana lebih penting lagi ialah ekonomi walaupun ia tidak dinyatakan secara rasmi. Dalam hal ini, apakah kepentingan Iran, Arab Saudi dan China dari segi ekonomi?
Iran yang dikenakan sekatan ekonomi oleh AS dan Eropah amat memerlukan aliran baru perdagangan dan pelaburan.
Hubungan yang baik dengan Arab Saudi membolehkannya mendapat aliran baru pelaburan dan perdagangan.
Arab Saudi yang selama ini banyak bergantung kepada hasil eksport minyak dan gas ke AS perlu mencari sumber pasaran baru.
Ini kerana AS sudah memperoleh minyak dari sumber domestiknya.
Maka dari segi perolehan minyak dan gas ia tidak memerlukannya dari Arab Saudi.
Maka pasaran yang stabil dan sedang berkembang adalah China.
Jadi eksport minyak ke China adalah bertambah penting bagi Arab Saudi. Untuk lebih efisien adalah lebih baik jika ia dapat disalurkan melalui paip ke China.
Pengangkutan kapal mempunyai banyak risiko. Setiap kapal perlu melalui Selat Melaka dan di situ ia boleh terancam.
Umpamanya jika tentera AS melakukan tindakan. Maka cara terbaik adalah melalui sebatang paip merentas Iran yang bersambung ke paip sedia ada di Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan sampai ke Xinjiang, China.
Tetapi dalam usaha China mendamaikan Arab Saudi dengan Iran, ada suatu doktrin yang dibawanya iaitu biarlah urusan serantau diselesaikan oleh negara serantau itu juga.
Perkara itu dinyatakan secara rasmi oleh menteri luar China ketika itu, Wang Yi.
Dalam doktrin ini, dunia terbahagi kepada rantau seperti Asia Barat, Asia Timur dan Eropah.
Maka apa jua masalah yang timbul di rantau itu biarlah ia diselesaikan di peringkat rantau tanpa membabitkan kuasa luar.
Umpamanya, masalah Iran dan Arab Saudi, biarlah mereka menyelesaikannya sendiri tanpa pembabitan AS.
Begitu juga dengan masalah Palestin-Israel, AS tidak wajar campur tangan dengan menyebelahi Israel.
Begitu juga dengan keadaan di Asia Timur. Masalah China dengan Taiwan atau Korea Utara dengan Korea Selatan, biarlah mereka selesaikan, dan tidak perlu ada keprihatinan daripada AS.
Maka dalam doktrin ini, China melihat isu Taiwan adalah masalah dalam negaranya yang tidak perlu AS campurtangan.
Tetapi tentulah doktrin ini bercanggah dengan apa yang dipegang oleh AS.
Washington mahu terus memiliki hegemoni di dunia, dalam erti kata lain, ia adalah "polis dunia" dan boleh campur tangan di mana-mana terdapatnya konflik sehingga sanggup melakukan perubahan regim, iaitu menggulingkan kerajaan yang ada untuk mewujudkan pentadbiran mesra AS.
Dalam isu Taiwan, AS berasa berhak melindungi wilayah itu daripada penaklukan China atas nama demokrasi, hak penduduk menentukan nasib sendiri dan kebebasan. Itulah peranan "polis dunia”.
Dalam Perang Dingin dahulu, AS berjaya mengalahkan Soviet Union. Selepas itu ia menundukkan kuasa-kuasa kecil yang mencabarnya: Iraq, Afghanistan, Libya, Syria dan Serbia.
Kini negara-negara pencabarnya yang belum ditundukkan ialah Iran, Korea Utara, China dan Rusia.
Tetapi dari segi kekuatan, walaupun China sekalipun, mereka tidak mampu berperang dengan AS. Tetapi AS tetap mencurigai kerana begitulah sesebush negara yang sedang berada di puncak kekuatan.
Kepentingan AS di Asia Barat sering disebut sebagai hanya kepada dua perkara iaitu Israel dan kawasan Teluk Parsi yang membekal minyak ke seluruh dunia.
Walaupun AS sendiri sudah tidak bergantung pada minyak dari Asia Barat. Selama ini, sekutu kuat AS di Asia Barat ialah Israel, diikuti dengan Arab Saudi.
Tetapi berlaku kerenggangan hubungan antara AS dan Arab Saudi. Ia berlaku sebaik saja Joe Biden menjadi presiden.
Pertama, beliau menghentikan keterlibatan AS dalam perang proksi di Yaman.
Kedua, Biden menegaskan bahawa AS tidak dapat terima pembunuhan seorang wartawan kanan di Istanbul yang dilakukan oleh Arab Saudi.
Kerenggangan Arab Saudi dengan AS ini memudahkan inisiatif diplomatik Beijing terhadap Riyadh.
Hubungan Iran dengan China selama ini adalah sedia baik. Apa yang perlu diperhatikan ialah bagaimana mereka menyelesaikan perang Yaman.
Ini amat penting kerana ribuan orang daif sudah lama menderita akibat percaturan geopolitik kuasa besar.