- Iklan -
Rencana

Hassan Karim dan reformasi yang gagal

Hari ini, reformasi yang Pakatan Rakyat-Pakatan Harapan bina sejak 1998 dikuasai oleh satu fenomena kelesuan hujah.

Mahdzir Ibrahim
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim.

Pak Hassan (Hassan Karim) seorang teman lama sewaktu saya berkempen di Tanjung Piai, banyak memberi panduan kepada saya ketika itu. Ada beberapa kali kami bertemu dan nasihat yang diberi, amat berguna.

Membaca ulasan beliau di sebuah laman portal tentang Dr Mahathir Mohamad berkaitan Proklamasi Orang Melayu, bagi saya ia suatu komentar yang adil dan perlu dilayan juga dengan adil.

Namun pastinya ada ruang untuk saya mencelah agar pandangan itu benar-benar teruji dan boleh diterima.

Membaca politik Mahathir tidaklah sama dengan membaca politik Anwar Ibrahim, saya tahu Pak Hassan sememangnya menyanjungi perdana menteri itu dan pada masa yang sama beliau cuba bersikap rasional mengatasi pemujaannya kepadanya.

Hari ini, reformasi yang kami (Pakatan Rakyat-Pakatan Harapan) bina sejak 1998 dikuasai oleh satu fenomena kelesuan hujah.

Hujah tolak nepotisme – kini ternyata gagal atas pelbagai lantikan politik, di sini hujah tak ambil gaji, diguna pakai.

Hujah tolak Umno – hari ini mereka bekerjasama atas hujah kerajaan perpaduan sedangkan tanpa sokongan Umno, PH masih boleh menubuhkan kerajaan.

Hujah lawan rasuah – kini ternyata gagal kerana sasarannya hanya kepada sekelompok dari kumpulan musuh politik malah pada masa yang sama mereka terpaksa melantik timbalan perdana menteri yang sedang bergelut dengan kes mahkamahnya. Di sini hujah ‘terpaksa’ diguna pakai.

Hujah Mahathir kronisme dan nepotisme – hingga hari ini gagal dibuktikan, hujahnya hanya ucapan retorik sejak 1998.

Hujah perkauman – juga gagal apabila kenyataan P Ramasamy yang bertentangan dengan perlembagaan (isu nisbah kakitangan awam Melayu) tidak diambil apa-apa tindakan.

Malah mendakwa Mahathir sebagai perkauman, yang peliknya, isi Proklamasi itu sendiri belum lagi dibaca dan dibahaskan, di sini hujah ‘perkauman’ diguna pakai sewenang-wenangnya.

Pada masa yang sama, kelesuan hujah ini cuba ditutup dengan cara mengupah wartawan siber atau askar siber untuk mengherdik, memaki hamun dan menghina mereka yang mengkritik Anwar dan kerajaannya di media-media sosial.

Bijak pandai dan cendekiawan di dalam PKR dilihat tidak mampu mengurus kritikan ini dan tugas itu dikontrakkan kepada “macai” upahan walhal, buku dan wacana yang mereka adakan cukup hebat.

Dengan modus operandi kumpulan Anwar pada hari ini, jelas sekali mereka lebih teruk daripada Umno dan lebih jahil daripada PAS yang dianggap ekstremis itu.

Kumpulan Anwar dan PKR adalah ‘democracy hooligan’ atau pengacau demokrasi yang akan terus mengacau, menghina dan memaki siapa jua yang mengkritik kepimpinan mereka.

Sedihnya, Pak Hassan pemimpin yang dilihat lebih rasional tidak mampu berbuat apa-apa, hanya memekakkan telinga melihat kerosakan dan kegagalan reformasi tersembam jatuh dengan hinanya.

Mahdzir Ibrahim adalah timbalan ketua penerangan Gerakan Tanah Air.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow