- Iklan -
Kolum

Dari Brickfields (Bahagian 2)

Keling dalam istilah orang Melayu ini mengambil sempena nama Kerajaan Kalinga di India.

Hishamuddin Rais
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Satu ketika dahulu dalam tahun-tahun 1870-an ada satu wilayah yang tidak jauh dari Stesen Keretapi Kuala Lumpur masih lagi   berdinding papan dan beratap rumbia. Kebakaran sering berlaku.

Ketika ini Perjanjian Pangkor sudah ditandatangani. Tanah Melayu sudah menjadi tanah jajahan Inggeris. 

Tuan Residen yang fasih berbahasa Melayu dan yang menjadi wakil Mahkota Inggeris ialah Frank Swettenham (1859-1946).

Oleh kerana berlaku kebakaran maka Tuan Residen mengarah rumah kedai di wilayah ini dibuat daripada batu bata.

Kapitan Cina Yap Ah Loy (1837-1885 ) mengambil kesempatan dan mendirikan kilang batu bata. 

Dari kilang batu bata ini nama wilayah ini menjadi Brickfields dalam bahasa Inggeris atau Padang Batu Bata.  

Kampung yang selalu terbakar di sebelah Brickfields ialah Kampung Attap. Hingga ke hari ini daerah ini masih kekal nama Kampung Attap.

Stesen Keretapi Kuala Lumpur dibina dalam tahun 1910 dan siap pada tahun 1917. 

Wilayah Brickfields yang tidak jauh dari stesen terus menjadi depoh Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Depoh Brickfields ini sama juga peranannya dengan depoh kereta api di Sentul. 

Buruh dan pekerja kereta api ini majoritinya orang India. Orang India ini dipanggil oleh orang Melayu sebagai Keling.

Keling dalam istilah orang Melayu ini mengambil sempena nama Kerajaan Kalinga di India. 

Malah dalam kitab Salalatus Salatin atau Sejarah Melayu, selalu disebut perkataan Keling.

Ayat seperti: “Memakai pakaian seperti anak Raja Keling.” Ayat ini bukan satu penghinaan tapi satu penghormatan.

Aku tidak tahu bila dan kenapa perkataan Keling kini dianggap sebagai satu penghinaan.

Selalu aku bertanya, apakah Tanjung Kling di Melaka menghina orang India? 

Apakah masjid tertua di Pulau Pinang Masjid Kapitan Keling di Lebuh Pitt menghina orang India? 

Masjid tertua ini didirikan pada tahun 1916.

Justeru penduduk Sentul dan Brickfields kebanyakannya Keling. Maka dua wilayah ini di kenali sebagai Pekan Keling oleh orang Melayu.

Hari ini Brickfields dikenali sebagai Little Keling opps, maaf silap Little India.

Seratus tahun kemudian pada 1971, Hishamuddin Rais seorang Sakai Orang Asli suku Biduanda dari Jelebu datang dan berkenalan dengan Brickfields.

Ketika mula berkenalan dengan Brickfields aku tidak begitu ingat nama-nama asal jalan wilayah ini. 

Aku rasa ketika itu ianya pasti menggunakan nama Mat Salleh. Contohnya di Brickfields hingga ke hari ini masih ada lagi Jalan Scott yang memakai nama Mat Salleh.

Siapa manusia Scott ini tidak aku ketahui.

Aku masih ingat lagi jalan di seberang Sungai Klang di sebelah Brickfields ialah Jalan Lornie. 

Kini diMelayukan untuk menjadi Jalan Syed Putra.  

Flat Le Chateau, nama Perancis yang aku sewa letaknya di Lorong Syed Putra Kiri.

Keluar dari Lorong Syed Putra Kiri aku akan bertemu dengan Sungai Klang.

Di seberang sungai tegak berdiri Rumah Pasung Brickfields. Rumah pasung tepi sungai ini bersejarah untuk aku.

Pada Selasa 3 Disember, 1974, kami pelajar-pelajar dari Institut Teknologi Mara (ITM), dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dari Maktab Teknik Jalan Gurney keluar berdemonstrasi di Dataran Merdeka.

Kami bersetia kawan dengan petani miskin di Baling. Petani miskin di Kedah ini keluar berdemonstrasi seminggu lebih awal daripada kami di Kuala Lumpur.

Ramai pelajar kena tangkap. Akhbar dan media propaganda milik kerajaan melaporkan hanya 500 pelajar turun berdemo.

Ianya menjadi lawak apabila polis melaporkan lebih 1000 pelajar ditahan.

Pelajar yang ditangkap, lebih 100 orang di bawa ke Rumah Pasung Brickfields. 

Lokap tidak dapat menerima jumlah tahanan yang ramai. Maka mereka tidur di padang badminton depan balai.

Rabu eskonya dari apa yang aku dengar Anwar Ibrahim datang ke balai untuk menjamin pelajar yang ditangkap. 

Dia ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Rumah pasung ini juga ada berkaitan dengan aku. 

Pada 4 April, 1997, PAS mengadakan demonstrasi lepas sembahyang Jumaat di Masjid Universiti Malaya.  

Parti Islam PAS membantah kedatangan pasukan kriket Israel dalam perlawanan Trofi Kriket Antarabangsa di Kuala Lumpur

Ada tangkapan berlaku. 

Pemimpin Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan Mahfuz ditangkap bersama Jalaludin Manaf a.k.a Amjal. 

Mereka ditahan di Rumah Pasung Brickfields.

Pada Sabtu 5 April, awal pagi aku yang tinggal tidak jauh dari rumah pasung datang ke balai.

Dalam balai aku terserempak dengan Mahfuz dan Salahuddin.  

Ini kali pertama kami bertemu. Mereka hairan melihat aku datang ke balai.

Mereka tidak tahu Pakcik  Amjal, orang kuat PAS ialah bapa saudara aku. Adik kepada ayah aku, Rais Manaf.


Rumah Pasung Brickfields ini dikenali sebagai ganas. 

Pada tahun 2004, Francis Udayapan ditemui mati. Mata-mata dan polis Brickfields menerangkan yang Francis melarikan diri dari lokap. Dia terjun ke dalam Sungai Klang di belakang balai dan mati lemas.

Emak Francis, Sara Lily George menolak keterangan polis ini. Sara yakin Francis dibunuh dalam lokap. Untuk mengalih cerita mayat Francis dibuangkan ke dalam Sungai Klang.

Ketika mayat ditemui tangan Francis masih bergari.

Ketika tulisan ini digarap rumah pasung ini sudah diruntuhkan. Kawasan kelilingnya dipagar zink. Aku tidak tahu apa projek yang akan dibina di tapak rumah pasung Brickfields.

Tahun 1971 ketika aku di UM di depan Rumah Pasung Brickfields ialah sederet kedai makan Cina. Kedai pertama bernama The Pines. Maka wilayah ini dikenali sebagai The Pines.

Begitu popular sekali kedai-kedai makan di wilayah ini hingga ianya masuk ke dalam senarai pelancongan “Where To Eat” untuk pelancong dari luar negara.

Hari ini semua berubah. Ada nama jalan Tun Sanbanthan (1919-1979).  

Sosok ini ketua parti MIC dan juga menteri perpaduan dalam Kabinet Abdul Razak Hussein.  

Ada Jalan Thambypillay. Aku tidak tahu siapa Thambipillay yang menjadi nama jalan tempat aku melepak.

Aku melepak di Old Town White Coffee di permulaan Jalan Thambipillay. 

Di hadapan cafe ini ialah bangunan YMCA yang dirikan 113 tahun dahulu.

Aku memilih Old Town White Coffee ini secara tidak sengaja. Tidak dirancang. 

Ianya datang dengan sendiri kerana pekan Brickfields ini yang paling hampir dengan tempat aku menyewa.

Aku menapak dari pintu ke pintu tidak sampai 20 minit. Justeru aku boleh menetapkan masa untuk membuat temu janji dengan sesiapa saja di Old Town White Coffee.

Di Old Town White Coffee aku akan memesan teh C kosong. Ini teh susu cair.  

Aku sudah berpuluh tahun meninggalkan gula. Malah aku terlupa bila kali terakhir aku membeli gula pasir.

Tetapi bila aku memasak gulai ikan atau patin tempoyak, jika durian kurang manis aku akan menggunakan gula batu.
 
Sejarah aku dengan Old Town White Coffee ini agak tebal. 

Malah ketika aku dibicarakan pada tahun 2013 kes tuduhan Akta Hasutan 1948, aku menyebut nama Old Town White Coffee dalam Mahkamah Jalan Duta.

Memang niat aku untuk merakamkan sejarah di mana aku melepak. Untuk aku ini romantik.

Dengan penuh romantik aku pernah membaca tentang Cafe de Flore di mana aktivis politik kiri, novelis dan ahli falsafah Jean Paul Sartre (1905-1980) melepak di Paris.  

Dengan penuh romantik aku juga membaca Cafe Mort Subite di Brussels, Belgium. Aku diberitahu di cafe ini Rene Magritte (1898-1967) selalu melepak. Magritte ialah pemula gerakan lukisan surrelis, warga Belgium.

Dengan penuh romantik juga aku membaca tentang Saint George Bar tempat Kim  Philby (1912- 1988) melepak di Beirut, Lebanon.

Kim Philby adalah “master spy”. Kim adalah “double agent” bekerja untuk M16, badan risikan Inggeris dan KGB, lembaga risikan Rusia pada zaman Perang Dingin.

Dalam mahkamah ketika aku didakwa kerana menghasut, hakim bertanya di mana aku dapat tahu tentang perhimpunan di Dewan Perhimpunan Cina pada 13 Mei 2013.

Dalam kertas pertuduhan, dalam perhimpunan ini aku didakwa menghasut orang ramai untuk turun ke jalan raya dan menggulingkan kerajaan.

“Saya datang ke sini untuk menghasut.” Ini adalah permulaan klip video yang ditayangkan dalam mahkamah sebagai bahan bukti.

Pertanyaan hakim ini memberikan aku peluang untuk merakam sejarah.  

“Banyak aktiviti dan rancangan demo yang disusun semua dirancang di Old Town White Coffee.” Aku sengaja bercakap sedemikian dalam mahkamah di hadapan hakim.

Aku tahu perbicaraan ini akan tulis dan dirakam. Aku mahu Old Town White Cofee menjadi ingatan sejarah.

Untuk aku ini romantik.

Apa sejarah Old Town White Coffee?

Sejarahnya tidak aku hamburkan semua kepada hakim. 

Ramai sosok-sosok yang aku temui di Old Town White Coffee. Semuanya ada sejarah dengan diri aku dan politik negara.

Siapa dia? Tunggu sambungan minggu depan.