- Iklan -
Berita

Kerajaan pelbagai kaum tiada dalam Perlembagaan

Kuasa politik hari ini sedang digunakan untuk mengubah identiti Malaysia sebagai sebuah negara Melayu yang demokratik kepada negara 'Malaysian Malaysia' menerusi propaganda Madani.

Mahdzir Ibrahim
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Sokongan Umno adalah sokongan “sejengkal” yang diperlukan oleh Anwar Ibrahim untuk beliau menjadi perdana menteri. Sama kisahnya ketika 2018, Dr Mahathir Mohamad menjadi penyumbang “sejengkal” hingga membolehkan Pakatan Harapan (PH) menang mengalahkan gergasi Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Namun, teras sebenar kekuatan politik Anwar adalah DAP. DAP pula memerlukan Anwar kerana kepetahannya berkata-kata menerusi pidatonya yang memukau media dan segelintir orang Melayu.

Dengan Anwar di depan, ia akan membuka laluan untuk membolehkan parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan. Hanya dengan jalan ini agenda "Malaysian Malaysia" boleh bergerak. Inilah ekosistem politik yang dibina sejak 1998.

Dahulu, saya yang sebahagian daripada usaha ini, sedaya upaya menggelapkan agenda “Malaysian Malaysia”. Namun agenda ini tak pernah padam sepertimana cita-cita Anwar mahu jadi perdana menteri sejak 25 tahun lalu.

Justeru, apa masalah idea “Malaysian Malaysia” dalam konteks negara Malaysia?

Hujahnya sangat jelas iaitu konsep ini mahu menerapkan dasar kesamarataan baik dari segi peluang ekonomi dan sosial harus diberi berdasarkan keutamaan atau keperluan.

Bunyi berdasarkan keutamaan dan keperluan ini cukup indah, seolah-olah nasib orang Melayu akan diberi perhatian, namun tak begitu. Anwar sendiri berulang kali dalam pidatonya yang indah mengatakan “anak Melayu anak saya, anak Cina, anak saya, anak India anak saya…”. 

Jika ucapan ini diperhalusi, ia berbeza dengan apa yang tertera dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak keistimewaan kepada orang Melayu dalam hal-hal sosial, ekonomi, pendidikan dan lain-lain.

Dengan dasar dan amalan layanan sama rata kepada “Malaysian First” ini, maka itu dimaksudkan sebagai kerajaan “pelbagai kaum” yang dianggap lebih adil dari perspektif politik DAP.

Di belakang agenda kerajaan pelbagai kaum “Malaysian Malaysia” ini, sistem merit atau meritokrasi perlu diterapkan. 

Ini disokong oleh kumpulan menengah Melayu yang pura-pura progresif dan liberal, mereka inilah yang gagal memahami maksud perkara 153, perlembagaan persekutuan. 

Kumpulan ini juga yang menganggap apabila kita bercakap tentang Melayu, maka itu dianggap tidak relevan, hingga menjadi kecaman atas hujah rasis.

Dengan sistem meritokrasi inilah kelak akan menyebabkan hak dan kepentingan Melayu dan Bumiputera dirubah, kerana sistem meritokrasi adalah berdasarkan merit atau kelayakan, bukan keistimewaan seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Untuk memahami konsep “Malaysian Malaysia” dan meritokrasi ini dengan lebih dalam, sila semak buku Perlembagaan parti DAP. Salah satu agenda DAP yang utama ialah mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan. 

Sungguhpun baru-baru ini menteri dari DAP menafikan usaha ini atas alasan belum tiba masanya, ini sebenarnya memberi isyarat bahawa agenda itu masih relevan, kerana itu agenda ini masih kekal di dalam buku perlembagaan DAP. 

Apa implikasi jika agenda pilihan raya kerajaan tempatan ini terlaksana?

Jawapannya sudah jelas. Dengan pilihan raya kerajaan tempatan, maka usaha untuk menguasai majlis-majlis perbandaran menjadi lebih mudah, dan usaha menyusun semula demografi sosial mengikut agenda mereka, juga menjadi lebih mudah. 

Buktinya kita dapat lihat hari ini sekalipun pilihan raya kerajaan tempatan belum terjadi. Kerusi-kerusi parlimen dan Dun di kawasan bandar bukan lagi dikuasai oleh wakil Melayu. 

Lihat Ipoh, Penang dan Kuala Lumpur. Bayangkan jika ada pilihan raya kerajaan tempatan, saiz ini akan bertambah besar dan luas melangkaui kawasan separa bandar. 

Kita semak pula apakah ada konsep, ayat atau perkataan pelbagai kaum atau “Malaysian Malaysia” ini ada di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jawapannya tiada. Tiada satu pun artikel atau perkara yang menyatakan tentang kerajaan pelbagai kaum. Ini memberi makna bahawa agenda kerajaan pelbagai kaum ini bukan agenda leluhur kita.

Yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan ialah tentang hak-hak Melayu dan Bumiputera yang jelas tertera di dalam perkara 153. 

Sungguhpun tertera hak-hak Melayu dan Bumiputera ini dalam Perlembagaan, adakah nasib orang bukan Melayu akan terabai atau ditindas? Tidak juga, kerana undang-undang ada untuk melindungi hak mereka.

Kuasa politik hari ini sedang digunakan untuk mengubah identiti Malaysia sebagai sebuah negara Melayu yang demokratik kepada negara “Malaysian Malaysia” menerusi propaganda Madani.

Justeru, apa pun namanya, kerajaan madani atau kerajaan pelbagai kaum atau kerajaan “Malaysian Malaysia”, ia hanyalah sebuah kerajaan yang “superficial”.

Mahdzir Ibrahim adalah timbalan ketua penerangan Gerakan Tanah Air.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow