- Iklan -
Berita

Apalah nasib orang Melayu?

Pemimpin Melayu sudah lama terpenjara atas perlawanan kuasa dan terpesona dengan gagasan yang nak dibawa sehingga sanggup memperleceh dan mempersendakan masyarakat di bawah.

Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim melambai kepada pemberita ketika tiba di bangunan Dewan Rakyat Malaysia di Kuala Lumpur untuk membentangkan Belanjawan 2023, 24 Februari.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim melambai kepada pemberita ketika tiba di bangunan Dewan Rakyat Malaysia di Kuala Lumpur untuk membentangkan Belanjawan 2023, 24 Februari.

Apalah nasib umat Melayu, apabila pemimpin yang berada di pundak kuasa sering kali larut dalam naratif jelik yang merendahkan bangsa. 

Seakannya tidak pernah mengakar langsung, tidak membumi dalam meninjau hakikat masyarakat apatah lagi nilai sebenar budaya bangsa sendiri.

Barangkali mereka ini lama terpenjara atas perlawanan kuasa dan terpesona dengan gagasan yang nak dibawa sehingga sanggup memperleceh dan mempersendakan masyarakat di bawah kononnya ingin menjadi penyuluh walhal bersifat “antidialogikal” dengan menanam elemen penaklukan minda lantaran Melayu dicemuh.

Sikap yang ditonjolkan pemimpin-pemimpin sebegini lazimnya kerana jiwa mereka adalah jiwa “penindas”! 

Kerana larut dalam kehendak dan kemahuan mereka untuk berkuasa mahupun kekal berkuasa sebegitu demi pengaturan masyarakat secara “antidialogikal” sebagai contoh memberi keterasingan Melayu –  cipta naratif “seksi” untuk jadi populis – dapat raih sokongan, maka mencipta naratif-naratif “pukul rata” yang bercorak penaklukan yang sama ada secara sedar atau tidak sedar sememangnya bersifat menindas.

Manusia antidialogikal, dalam hubungannya dengan manusia lain bercita-cita untuk menakluki mereka - dengan bersungguh-sungguh dan dengan apa cara sekalipun, dari cara yang kasar kepada cara yang halus, dari bersikap sangat keras kepada sikap bertimbang rasa (paternalisme). 

Setiap tindakan penaklukan memerlukan adanya penakluk dan orang atau benda yang ditaklukinya.

Penakluk mengenakan objektifnya ke atas mereka yang tewas dan menjadikan mereka miliknya. Dia mengadakan peraturannya sendiri ke atas mereka yang tertawan, yang kemudiannya menghayati ajaran penakluk dan menjadi makhluk penuh kesangsian yang merupakan "perumah" kepada orang lain.

Pada permulaannya lagi, tindakan penaklukan yang menurunkan manusia kepada status benda-benda bersifat “nekrofilik”.

Ini adalah sepertimana penulisan Paulo Freire dalam makalah ilmiahnya bertajuk Pedagogi Kaum Tertindas yang malah dengan jelas menyebut: “Adalah penting bagi kaum penindas mendekati rakyat melalui penaklukan untuk mengawal mereka supaya pasif. 

Cara ini tidaklah melibatkan berada bersama rakyat atau memerlukan komunikasi sejati. la boleh dicapai oleh kaum penindas menerusi taburan mitos, kerana yang sangat mustahak adalah pemeliharaan “status quo”.

Keinginan untuk menakluki sentiasa wujud dalam tindakan “antidialogikal”. 

Jadi di sini penindas-penindas cuba memusnahkan nilai manusia sebagai "pemikir-pemikir" tentang dunia. 

Oleh kerana pemimpin bersifat penindas tidak berjaya sepenuhnya dalam pemusnahan ini, maka mereka mesti mendongengkan tentang dunia.

Paulo Freire turut menjelaskan: “Demi untuk memberi perhatian kepada kaum tertindas dan tertakluk dalam sebuah dunia kebohongan yang bakal menambahkan lagi keterasingan dan ketidakberdayaan mereka, kaum penindas menggariskan beberapa siri kaedah yang menghindari sebarang gambaran dunia sebagai satu masalah dan sebaliknya menunjukkan dunia sebagai suatu entiti yang tetap, sebagai sesuatu yang ditakdirkan – keadaan yang mana manusia hanyalah penonton dan mesti menyesuaikan diri.”

Melayu angkuh vs Melayu malas

Memahami penjelasan yang disampaikan di atas, secara nyata cubaan menakluk dan penindasan yang dilakukan pemimpin-pemimpin ini sememangnya adalah suatu elemen “mitos” yang cuba diterapkan dan ditanam dalam minda untuk melebarkan agenda mereka bagi proses seterusnya iaitu “pecah dan perintah”.

Pengasingan ini akan memudahkan mereka mengurus dengan memisahkan sebegitu menarik sikit demi sedikit dalam meraih sokongan untuk seseorang atau suatu pihak meninggalkan jiwa merdeka dan tertakluk dalam belenggu sebuah gagasan yang dicipta dan dibuat-buat dengan langsung tidak mencerminkan realiti sebenar.

Berbalik kepada persoalan, mengapa sering kali hanya Melayu yang digambarkan buruk? Benarkah Melayu begitu rasis dan angkuh? Adakah Melayu malas? Ini sekadar suatu “mitos” dan pembohongan yang dicipta para pemimpin berjiwa penindas.

Malaskah Melayu bila sumber dan peluang tidak diberi secara adil? Dibolot oleh elit politik, dengan amalan kroni dan nepotisme? Dipegang aturannya oleh para cukong dan kapitalis?

Angkuhkah Melayu bila menjaga rukun dan nilai atas resam budaya dan agama demi menjaga pemikiran sebegitu nasab keturunan? Dengan menolak pemikiran, ajaran serta amalan budaya songsang. Bukankah itu yang dianjurkan dalam maqasid syariah?

Angkuhkah Melayu? Pernah dengar Melayu mahu pengasingan-pengasingan melainkan yang mana hak dan termaktub ke atas mereka kerana nasib keberadaan mereka sendiri dalam pada ianya dipelihara Perlembagaan? 

Pernahkah Melayu menolak sesuatu atas kononnya “nilai komersial” sehingga merendahkan bahasa negara sendiri? Siapa yang mahu terpisah-pisah proses sosialisasinya di sekolah-sekolah? Banyak lagi.

Mengapa harus Melayu sahaja? Angkuhkah Melayu?

Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir adalah ketua penerangan Armada Bersatu.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.