- Iklan -
Kolum

Dari Brickfields (Bahagian 4)

Anak muda Melayu, Mat Bangla dan Mat Indon sedang merayau masuk dari pintu kedai ke pintu kedai.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Pada Ahad 8 Februari, 2015 akbar The New York Times (NYT) menulis: “Jho Low well connected in Malaysia has an appetite for New York.” Akhbar yang mula terbit pada tahun 1851 ini amat berpengaruh di Amerika Syarikat (AS).

Tulisan panjang lebar oleh Louise Story ini keluar pada pagi Ahad, pagi strategik untuk membaca akhbar secara santai.

Bila berita ini keluar aku berada di Old Town White Coffee di Brickfeilds. Aku bertemu dengan wartawan Suara Keadilan.

“Inilah dia berita yang aku cakap ‘bigger than big’, dah keluar di NYT. Suara Keadilan patut goreng lagi, ini isu hot.” Aku cuba meyakinkan Diqin.

Berita dari NYT ini mula merebak dalam internet. Warganet mula berbincang. Aku hanya melihat dari jauh dan cuba menjangkakan apa akan berlaku seterusnya.

Nama Jho Low dan 1MDB mula jadi perbualan nasional. Sana sini warga Malaysia ingin tahu siapa hamba Allah kroni Najib Razak ini.  

Aku merasakan berita meledak di NYT ini akan mempengaruhi suasana politik Malaysia. 

Internet membantu merebakkan berita dari NYT ini. Utusan Malaysia, Berita Harian, RTM dan TV3 semenjak zaman reformasi 1998 sudah dikencingkan.

Laman portal seperti MalaysiaKini lebih dipercayai daripada laporan media arus perdana. 

Tiba-tiba muncul pula satu lagi portal, Sarawak Report. Portal yang berpangkalan di London ini juga sama menyebarkan berita Jho Low, Najib dan 1Malaysia1 Development Berhad (1MDB).

Aku sebenarnya tidak faham sangat dari segi ekonomi apa sebenarnya isu 1MDB ini. 

Aku rasa ramai juga sosok yang sewaktu dengan aku. 

Aku sedaya upaya cuba memahaminya kerana aku wajib mengheboh, membakar dan mempropagandakan berita 1MDB ini dalam blog TukarTiub (TT) yang aku kendalikan.

Blog TT ini aku lancarkan pada 10 Ogos, 2008 ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Anwar Ibrahim di Permatang Pauh pada 20 Ogos, 2008.

Kerja aku dalam blog ini pertama memberi pencerahan mengenai isu dalam dan luar negara. Kedua menghasut pembaca TT untuk membenci United Malays National Organisation (Umno) dan Barisan Nasional (BN).

Dari awal lagi aku amat yakin 1MDB ini adalah “kavadi” yang dipikul oleh Najib. Kavadi ini sedang menjerat leher Najib.

Bila Najib terdesak melalui blog TT aku menyimbah minyak agar api membakar luas. 

Berita-berita dari media milik Umno aku komen dan ketawakan “kah kah kah”.

Mana berita yang baik aku tambah “ajinomoto” untuk menyedapkan lagi hasutan agar pembaca membenci parti “Ketuanan Melayu”  yang aku pelekeh dengan nama Inggerisnya United Malays National Organisation.

Peranan ketiga blog TT ialah menyediakan bacaan yang lebih serius dan ada analisis. 

Aku memasukan dalam blog TT tulisan kolum Dari Brickfields yang tersiar dalam akhbar mingguan Suara Keadilan. 

Tulisan yang sama muncul juga dalam MalaysiaKini

Berita desas-desus mula tersebar bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertidak dalam kes 1MDB. 

Laporan NYT tentang 1MDB juga sudah menjadi berita dunia.

Menjadi satu kemustahilan jika lembaga-lembaga hukum di Malaysia tidak bertindak. Kes 1MDB ini sudah menjadi skandal dunia.

1MDB bukan hanya melibatkan Malaysia. Dubai, Kuwait, Saudi, New York, Hong Kong dan Singapura turut terlibat sama. 

Nama Goldman Sachs, bank pelaburan antarabangsa berpusat di New York juga terlibat. Malah Raja Arab Saudi juga “direkrut” sama.

Desas-desus sudah mula didengar bahawa peguam negara akan mengambil tindakan.
 
Aku ingat lagi malam Sabtu 25 Julai, 2015. Tian Chua, Siva Rasa dan aku bertemu di Old Town White Coffee di Brickfields. Dua sosok ini adalah ahli Parlimen dan orang kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sambil menghirup kopi kami bersembang.

“Betul ke Najib akan kena tangkap?” Aku bertanya.

“Possible.” Jawab Siva.

“The AG has to move, this is not local issue. Gone global.” Tian menyampuk.

“Aku dengar Najib akan ditangkap.” Aku membuat andaian.

“Yes, rumours and news circulating in town.” Siva menjawab.

“Gani Patail could give instructions.” Tian menambah.

Tian kemudian menerangkan Peguam Negara Ghani Patail boleh beri arahan SPRM untuk bertindak.

“SPRM boleh tangkap ke?” Aku bertanya.

“Yes, SPRM ada pasukan khas dan ada lokap.” Siva menjawab.

Ini maklumat baru untuk aku. Selama  ini aku sangka SPRM hanya badan menyiasat. 

Rupanya kini boleh menangkap dan menahan. Hebat SPRM ini.

“Bila Najib akan ditangkap?” Aku bertanya.

“Possible Monday, esok Ahad Isnin la. We wait Monday morning, mesti ada.” Tian berkata dengan yakin.

“Kalau Hishamuddin Rais tahu move Ghani Patail, Tian tahu and you knows, Najib pun mesti tahu.” Aku arahkan ayat akhir aku kepada Siva.

Jam melintas 12 malam baru kami  keluar dari Old Town White Coffee. Kami yakin Isnin nanti satu perkara yang besar akan berlaku.

Malam minggu hujung bulan gaji dah masuk maka Jalan Thambipillay makin sibuk. Anak muda Melayu, Mat Bangla dan Mat Indon sedang merayau masuk dari pintu kedai ke pintu kedai. 

Masuk dari bilik ke bilik dengan mata memandang ke ranjang. Akhirnya dompet dibuka duit keluar untuk membeli kasih sayang.

Ahad esoknya aku hanya menunggu apakah Najib akan ditangkap. Hati aku berkata mungkin berlaku dan mungkin tidak.

Pagi Isnin 27 Julai 2015, satu Malaysia heboh Peguam Negara Gani Patail berhenti menjalankan tugas. 

Kontrak masih belum tamat.  

Malamnya aku bertemu Tian sekali lagi di Old Town White Coffee.

“So nothing happened. What we anticipated never arrive, polis paksa ke Gani berhenti?” Aku bersuara dengan nada sesal.

“Najib knows, he striked first.” Ini rumusan Tian yang memberi kredit pada Najib kerana bertindak lebih awal.

Berita Gani berhenti jadi perbualan nasional.  Malah ada berita melapor yang tentera bersenjata masuk ke bilik Gani dan memaksanya untuk letak jawatan.

Berita jenis ini merebak walaupun tidak betul. Malah ada politikus DAP yang dipanggil polis kerana menyebar berita sedemikian.

Akhirnya berita Gani letak jawatan menjadi kendur. Seperti biasa hidup warga Malaysia berjalan terus.

Tiba-tiba satu Malaysia terkejut sekali lagi apabila satu “tong drum minyak” ditemui di Subang Jaya pada 16 September 2015. Dalam tong dram ini ada satu mayat yang dibungkus dengan simen.

Ini mayat Kevin Morais, timbalan pendakwa raya Pejabat Peguam Negara dan juga SPRM. Mayat sudah beku dalam simen.

Satu Malaysia menjadi heboh sekali lagi. Warganet heboh. Kisah C4 dan Altantuya kembali menjadi perbualan nasional.

Seminggu setelah mayat Kevin Morais ditemui aku berjumpa Tian di Old Town White Coffee.

Tian menganalisa kes kematian Kevin. Aku tertarik dengan teori Tian. Bukan sahaja tertarik malah aku nampak ada kebenaran dari andaian yang dibuat oleh Tian.

“Kevin is English educated, sekarang banyak peguam dalam AG chambers lulus dari UiTM atau UIA. Bahasa Inggeris mereka tak powerful, so the drafting of the  charge sheet dan persediaan untuk kes Najib kalau dalam Bahasa Inggeris pasti Kevin yang tulis, Kevin tahu semua.” Teori Tian muncul seminggu sesudah mayat Kevin ditemui dan tong drum bersimen.

Aku hampir setiap malam akan datang ke Old Town White Coffee. Di Cafe ini aku bertemu kawan-kawan.

Aku ingat lagi sebelum kes Gani dan kes mayat  Kevin aku selalu membayangkan politik jalan raya akan memberikan impak yang besar pada politik Malaysia.

Satu malam di Old Town White Coffee dalam bulan Jun 2015 terlintas dalam kepala aku bahawa sesuatu yang baru wajib diakukan di Malaysia. Ini untuk menyambut laporan 1MDB dari NYT.

Aku adalah sosok tegar yang mengajukan teori sebelum pilihan raya perlu ada, “pilihan jalan raya”. Jalan raya yang aku maksudkan ini ialah tunjuk perasaan di jalan raya.

Tahun 2015 aku menjadi “sosok rujukan” untuk Bersih 2.0. 

Aku dijemput hadir dalam semua mesyuarat Bersih 2.0. Boleh memberi pandangan dan berhujah.

Awal sebelum ini aku juga menjadi ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0. Aku letak jawatan bila aku terlibat secara langsung dalam menyusun Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari, 2013 di Stadium Negara.

Ketika ini hubungan aku amat baik dan rapat dengan Mohamad Sabu pemimpin penting dalam PAS. Parti Islam itu juga ketika ini bersama dalam Pakatan Rakyat (PR) yang berkuasa di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Kejayaan Himpunan Kebangkitan Rakyat di mana lebih 200,000 warga berkumpul di Stadium Negara menjadikan aku lebih berahi untuk melakukan satu demo yang lebih hebat dan bersejarah.

Pada satu malam dalam bulan Jun 2015 aku terfikir biasanya demo Bersih 1, 2 dan 3 berjalan pada hari Sabtu jam 2.00 petang. Lewat petang  bersurai. Atau disuraikan oleh FRU.

Dari poket aku mengambil keluar telefon Nokia merah. Aku melihat kalender tahun 2015. Aku mengelamun sendirian. Aku ternampak Hari Merdeka 31 Ogos, 2015 jatuh pada hari Isnin.

“Ureka!” Aku mengambur berdiri bila melihat tarikh ini.  

Dalam kepala aku: Sabtu 29 Ogos mula berdemo hingga hari Ahad, Isnin cuti umum. Ertinya demo dan bermalam di Dataran Merdeka. Dua hari berdemo ini belum pernah berlaku. Aku mahu membuat sejarah.

Malam itu aku bertemu Diqin. Aku meluahkan cadangan demo Bersih 4 diadakan selama dua hari di Dataran Merdeka.

“Ok Sham, rare belum pernah dibuat.” Dikin menyokong pandangan aku.

“Aku akan cadangkan pada Maria Chin Abdullah. Ambiga Sreenevasan hal demo ni dia slow sikit.” Aku beri penjelasan.

Telur Bersih 4 menetas di Old Town White Coffee. Aku jual idea ini pada Tian dan Mat Sabu. Bila  sosok berdua ini dapat aku yakinkan maka semua akan beres.

Di Old Town Cafe aku tersenyum. Semua teratur dengan baik. 

Berita 1MDB dan Jho Low sudah keluar dalam NYT. Berita ini berjaya membakar kemarahan rakyat.

Seperti dirancang oleh “Zeus” ketika aku berfikir tentang  Bersih 4 ketika inilah Gani dilucutkan jawatan.  

Inilah sejarah yang wajib aku rakamkan. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.