- Iklan -
Wacana

Anwar, kenapa hanya bangkitkan isu Rohingya di China?

Langkah Anwar Ibrahim 'bertanyakan' kepada Xi Jinping tentang Rohingya secara tidak langsung adalah tindakan menjemput kuasa besar itu masuk campur dalam isu ahli Asean.

Khairul Adam
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di Hainan bagi menghadiri Forum Boao sempena Persidangan Tahunan Asia 2023 sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi empat hari beliau ke China, 29 Mac. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di Hainan bagi menghadiri Forum Boao sempena Persidangan Tahunan Asia 2023 sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi empat hari beliau ke China, 29 Mac. Gambar: Bernama

Dalam satu lawak ngeri ketika lawatan rasmi ke China minggu lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping membangkitkan isu Rohingya.

Ada dua sebab mengapa ia lawak ngeri. Pertama, Anwar sendiri mengakui yang China mengamalkan dasar tidak campur tangan walaupun mereka rapat dengan Myanmar, jadi mengapa masih bangkitkan?

Tambahan pula, isu Rohingya adalah isu salah sebuah ahli Asean, organisasi yang turut mengamalkan prinsip tidak campur tangan. 

Ia merupakan salah satu prinsip teras pembentukan Asean, walaupun organisasi serantau itu dalam satu tindakan bersejarah pada 2021 tidak menjemput pemimpin Myanmar ke Sidang Kemuncak Asean di Brunei kerana isu rampasan kuasa junta. 

Tindakan Anwar “bertanyakan” kepada Jinping tentang Rohingya secara tidak langsung adalah tindakan menjemput kuasa besar masuk campur dalam isu ahli Asean. 

Kedua, ketika Anwar “bertanyakan” tentang Rohingya, etnik Uighur di Xinjiang yang terus ditindas tidak menjadi topik perbualan. 

Krisis kemanusiaan Xinjiang disifatkan negara dunia antaranya, United Kingdom, Kanada dan Amerika Syarikat sebagai penghapusan bangsa dan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggapnya sebagai jenayah kemanusiaan.

Untuk konteks, dianggarkan terdapat 11 juta penduduk etnik Uighur beragama Islam menetap di Xinjiang. 

Berdasarkan siasatan pelbagai badan hak asasi manusia dunia, kerajaan China memenjarakan lebih 1 juta orang etnik Uighur sejak 2017. 

Bagi yang tidak dipenjara, mereka dikenakan sekatan beragama, dipantau ketat, menjadi buruh paksa dan menjalani proses pemandulan paksa.

Kalaupun kita mahu bersangka baik dengan pertanyaan Anwar kerana menurutnya “ada hampir 200,000 pelarian Rohingya” di Malaysia sebagai sebab beliau membangkitkan isu itu kepada Jinping, ia sekadar borak kosong. 

Beliau sudah tahu jawapan Jinping dan kompleksiti hubungan antarabangsa yang setiap pertemuan adalah untuk mendapat manfaat terbaik membuatkan kita garu kepala. Ini bukan borak kedai kopi. 

Isu penindasan Uighur adalah isu rumit kerana ia adalah program sistemik penindasan hak asasi ditaja negara. 

China bukan asing dalam perkara ini, negara itu misalnya melaksanakan The Great Proletarian Cultural Revolution (1966-1976) dan One Child Policy (1980-2016).

Dalam kes penindasan Uighur, China menyifatkannya sebagai “program pendidikan semula” dalam “pusat latihan dan pendidikan vokasional”. 

Pelbagai pemerhatian dan kajian pakar menganggarkan program itu bermula pada 2014 dan diperhebat pada 2017.

Pada tahun itu, pakar mengesan bukti pembinaan “pusat pendidikan semula baharu” dan peluasan fasiliti sedia ada untuk penahanan besar-besaran. 

Laporan Reuters berdasarkan kajian imej satelit turut menemui 39 kem, meningkat tiga kali ganda antara April 2017 hingga Ogos 2018. 

Keluasan kawasan ini bersamaan dengan saiz 140 padang bola sepak.

Malah, kajian ke atas perbelanjaan kerajaan tempatan dan pusat China turut mendapati bajet untuk pembinaan fasiliti berkaitan sekuriti di Xinjiang meningkat 20 bilion yuan pada 2017 sahaja.

Pada hujung 2019, gabenor Xinjiang mengatakan mereka yang ditahan sudah “bergraduasi” dan pusat sudah ditutup. Tetapi pada 2020, penyelidik Institut Dasar Strategik Australia (ASPI) mengenal pasti lebih 380 kem disyaki pusat tahanan berdasarkan kajian imej satelit. 

Badan pemantau hak asasi global, Human Rights Watch turut melaporkan lebih setengah juta orang didakwa sejak 2017 di Xinjiang. 

Menurut laporan Associated Press pula, di satu daerah dianggarkan satu daripada 25 orang dipenjara atas pelbagai dakwaan berkaitan keganasan, kesemua mereka daripada etnik Uighur.

Isu Rohingya di Myanmar juga tidak kurang dahsyat, selepas krisis pelarian Rohingya 2015 dan siri serangan tentera di Negeri Rakhine pada 2016 dan 2017, lebih sejuta orang menjadi pelarian di Bangladesh dan negara-negara Islam lain. 

Lebih 100,000 orang Rohingya pula masih ditahan dalam kem di Myanmar. 

Pertimbangan sekarang bukan untuk membandingkan krisis mana lebih buruk, persoalan sekarang mengapa Anwar hanya membangkitkan isu Rohingya?

Sehingga sekarang, pendirian rasmi Wisma Putra berkaitan isu Uighur adalah “tiada pandangan”, malah perwakilan negara juga tidak hadir ketika sesi mengundi Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk mengadakan sesi perdebatan berkaitan isu Uighur. 

Untuk rekod, semua negara Islam dalam majlis seperti Pakistan, Qatar, Indonesia sama ada mengundi tidak untuk perdebatan atau tidak hadir mengundi. 

Bagi Malaysia, yang sekian lama dikenali sebagai antara negara Islam progresif, tindakan itu sangat mengecewakan. 

Negara kita tidak asing dalam perjuangan membela hak penganut Islam yang tertindas, misalnya kita antara paling aktif mengecam Israel dan membela hak pelarian ketika Perang Bosnia.

Mengapa dalam jenayah kemanusiaan terhadap Uighur ini kita membisu? Adakah kerana gentarkan kuasa dan kepentingan pelaburan China? Agaknya jika kita mempunyai hubungan diplomatik dan pelaburan ekonomi dengan Israel, perjuangan rakyat Palestin juga tidak akan dipandang.

Pentadbiran Anwar Ibrahim tidak boleh meneruskan legasi dasar diplomatik “tiada pandangan” dalam isu Uighur. 

Kerajaan menjanjikan pembaharuan tata kelola dan dasar untuk kemakmuran negara dan sudah tiba masanya kita turut melakukan pembaharuan ke atas dasar luar.

Solidariti terhadap rakan seagama tidak boleh secara terpilih, atau inikah wajah sebenar Malaysia, hanya tunjuk berani kepada yang tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada kita?

Khairul Adam adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.