Minggu lalu dua peristiwa besar berlaku di Finland, sebuah negara kecil di hujung bumi yang memberi kesan pada Eropah, umat Islam dan dunia.
Peristiwa itu ialah keputusan pilihan raya umum Finland dan kemasukannya secara ke dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
Dari segi saiz, Finland tidaklah kecil. Ia lebih besar daripada Malaysia.
Lebih besar juga daripada United Kingdom. Keluasannya adalah lebih kurang dengan Itali.
Apa yang menjadikannya kecil ialah bilangan penduduk hanya 3 juta orang lebih, berbanding Malaysia yang memiliki 33 juta lebih manusia.
Finland terletak di hujung dunia, menjadikannya terpencil seperti mana New Zealand.
Hujung dunia itu bermaksud kawasan yang jauh dari pusat-pusat tamadun dunia serta lalu lintas laut menghubunginya. Tidak seperti Malaysia yang terletak di tengah-tengah lalu lintas dunia.
Namun begitu, Finland menjadi terkenal kerana menjadi penyumbang kepada kemajuan dunia. Sebelum munculnya telefon pintar, kebanyakan orang menggunakan telefon selular berjenama Nokia, buatan Finland.
Negara itu juga terkenal dengan sistem pendidikan yang dianggap terbaik di dunia kerana sifatnya yang progresif.
Maka berduyun-duyun orang dari serata dunia, termasuk dari Malaysia pergi ke sana untuk mempelajari kehebatan sistem pendidikan mereka.
Sudah tentu tidak semua yang dilakukan di sana boleh dilaksanakan di tempat-tempat lain.
Kepentingan Finland kepada Eropah ialah negara itu mempunyai sempadan yang panjang dengan Rusia.
Maka seperti Ukraine, Finland adalah negara barisan hadapan Eropah.
Bagi umat Islam pula, Finland mempunyai komuniti Muslim yang amat kecil iaitu 20,000 lebih iaitu 0.3% penduduk. Namun begitu, ia dijangka meningkat hingga kepada 3% menjelang tahun 2050.
Kedudukan Finland, walaupun berada di hujung dunia adalah strategik.
Dengan berada hampir pada Kutub Utara yang turut berkongsi Laut Artik dengan Rusia, Kanada, Amerika Syarikat (AS), Norway dan Sweden, ia boleh menjadi tempat pertembungan kuasa-kuasa tentera dan seterusnya mengheret dunia ke kancah konflik jika ia tidak diurus dengan baik
Apa yang menarik perhatian dunia terhadap Finland minggu lalu ialah keputusan pilihan raya umumnya yang menyingkirkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Sanna Marin.
Parti Demokratik Sosial (SDP) mendapat kedudukan tempat ketiga di bawah Parti Coalition Nasional dan Parti Finnish.
Kesannya pada Eropah ialah ia menambahkan lagi suara aliran kanan di benua itu kerana Parti Coalition yang membentuk kerajaan baru itu adalah berfahaman konservatif.
Ia akan disebut sebagai kerajaan tengah-kanan atau centre-right dalam spektrum politik Eropah.
Beberapa negara Eropah juga sudah beralih ke aliran kanan.
Antara ciri-ciri mereka ialah mendukung nilai-nilai konservatif Barat, termasuk dari segi budaya dan agama.
Mereka juga menguatkan lagi hubungan dengan AS dalam konteks berdepan dengan Rusia.
Kesannya pada umat Islam ialah mereka tidak akan memperoleh layanan baik daripada kerajaan Parti Coalition berbanding dengan kerajaan SDP.
Semasa kempen pilihan raya, manifesto SDP menjanjikan inisiatif untuk membantu para migran, iaitu ternasuk orang Islam yang berhijrah ke negara ini.
Usaha membantu itu termasuklah menyediakan program bagi asimilasi.
Parti Coalition pula mahukan syarat kemasukan migran diperketatkan, yang juga bermakna dikurangkan.
Ketika diumumkan kemenangan, ketuanya, Petteri Orpo berkata bahawa kemenangannya adalah kerana rakyat Finland mahukan pengurusan ekonomi yang baik.
Semenangnya terdapat pandangan umum di Eropah bahawa parti kanan akan lebih mampu menguruskan ekonomi berbanding pihak kiri seperti SDP.
Namun begitu, faktor penolakan rakyat terhadap kehadiran migran juga adalah perkara penting.
Kehadiran migran bukan saja dikaitkan dengan ekonomi tetapi juga sentimen kaum dan agama.
Lebih-lebih lagi terhadap orang Islam yang dilihat sukar untuk diasimilasi.
Ditambah lagi ada orang Islam yang mahu terus hidup seolah-olah mereka masih berada di tanah air asal.
Fenomena ini turut terlihat di negara-negara Nordik yang lain iaitu Sweden, Norway, Iceland dan Denmark.
Walaupun negara-negara itu amat sejuk pada musimnya, orang Islam tetap suka ke sana baik sebagai pelancong, pelajar, pekerja dan tentunya migran yang mahu terus menetap.
Ada yang merupakan pelarian dari Afghanistan, Syria dan Afrika Malah ada satu masa pelarian Islam berjalan masuk ke Finland melalui Rusia kerana ketika itu sempadan Greece ditutup.
Maka Finland menjadi pintu masuk atau gateway ke Eropah.
Dengan dasar luar berhaluan kanan yang berupa hubungan lebih rapat dengan AS, Finland akan meletakkan dirinya lebih terancam dalam hal berdepan dengan Rusia.
Lebih-lebih lagi kini ia sudah menyertai Nato, suatu pakatan ketenteraan yang dianggap ancaman bagi Rusia.
Semasa kemuncak Perang Dingin dahulu pun, Finland tidak menyertai Nato.
Negara itu pernah ditakluk oleh Rusia pada zaman Czar. Kereta kebal Soviet Union pula pernah sampai ke Helsinki dengan tentera Finland tidak dapat mempertahankannya.
Secara tradisinya, dari segi fahaman sosial demokrat, kerajaan SDP akan mengambil sikap berkecuali dan enggan menjadi sekutu ketenteraan AS.
Tetapi kerajaan Sanna Marin sebelum itu dengan segera mahu menyertai Nato.
Bukan saja kerana tercetusnya Perang Ukraine tetapi juga tekanan daripada rakyat menjelang pilihan raya umum.
Rakyat tentunya mahukan keselamatan daripada serangan Rusia, dan cara terbaik adalah mendapat perlindungan melalui Nato.
Kerajaan dianggap lemah jika membiarkan Finland terdedah.
Sunggupun kerajaan Sanna Marin membawa Finland masuk ke dalam Nato, tetapi partinya tetap kalah.
Kelihatannya bahawa kebanyakan daripada rakyat lebih percaya pendirian dan kemampuan pihak konservatif yang diwakili oleh Parti Coalition.
Sebenarnya dalam pilihan raya itu, SDP menambah kerusi dan undinya tetapi ia tidak dapat mengalahkan perolehan Parti Coalition dan Parti Finnish.
Mereka ini pula dapat menambah kerusi dari kemerosotan undi parti Left Alliance yang merupakan parti kiri.
Turut menganggotai Left Alliance ialah Parti Komunis.
Parti Finnish adalah parti kanan ekstrem yang anti-migran.
Mereka mencadangkan supaya sempadan Finland ditutup daripada kemasukan pendatang.
Sentimen mereka ini sudah menjadi arus perdana politik Eropah.
Setiap negara Eropah mempunyai parti kanan ekstrem yang semakin kuat. Mereka bukan saja bernada rasis tetapi juga bersikap xenofobia dan Islamofobia.
Penyertaan Finland ke dalam Nato didorong oleh tekanan AS.
Kuasa besar itu melihat penyertaan Finland dan Sweden ke dalam NATO sebagai tekanan terhadap Rusia supaya menghentikan peperangannya dengan Ukraine.
Penyertaan Sweden bagaimanapun terhalang oleh Turki dan Hungary.
Rusia memberikan reaksi negatif terhadap kemasukan Finland ke dalam Nato.
Perang Ukraine adalah antara lain disebabkan Rusia membantah perluasan Nato.
Ia juga mengesahkan dakwaannya bahawa AS mahu mengepung Rusia.
Helsinki hanya 12 jam perjalanan dengan kereta ke Moscow.
Jika Rusia menyerang Finland, ia akan mengheret Nato dan pasti memberi kesan pada seluruh dunia.
Finland tersepit antara dua kuasa besar.
Tetapi kini ia bukan menjadi masalah bagi Sanna Marin yang sudah pun meletakkan jawatan ketua SDP kerana kegagalan dalam pilihan raya itu.