- Iklan -
Rencana

Ujian terbesar Anwar untuk reformasi

Ketidakupayaan perdana menteri untuk menjamin stabiliti telah menimbulkan kebimbangan di kalangan pengundi PH.

Mahathir Mohd Rais
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki melintasi jalan yang dihiasi dengan bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 di Cheras, Kuala Lumpur, 3 November 2022.
Seorang lelaki melintasi jalan yang dihiasi dengan bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 di Cheras, Kuala Lumpur, 3 November 2022.

Jaminan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai gabungan yang kukuh dan praktikal dengan Barisan Nasional (BN) telah disambut dengan keraguan, melihat kepada keadaan landskap politik semasa. 

Hakikat bahawa Umno, yang terkenal dengan pengkhianatan ke atas rakan kongsi mereka, mendesak pengampunan diraja untuk bekas pemimpinnya, Najib Razak, meningkatkan kegusaran di kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) tentang kestabilan kerajaan.

Keyakinan orang ramai luluh apabila Ahmad Zahid Hamidi, yang kini berdepan 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa, dilantik sebagai timbalan perdana menteri. 

Ramai meragui komitmen kerajaan PH-BN untuk melakukan pembaharuan, mengesyaki ia akan melakukan apa sahaja untuk mengekalkan pengaruh, termasuk menyokong rayuan pengampunan Najib.

Ketidakupayaan perdana menteri untuk menjamin stabiliti telah menimbulkan kebimbangan di kalangan pengundi PH. 

Mereka tertanya-tanya sama ada pemimpin mereka benar-benar fokus untuk memperbaiki negara atau sekadar ingin berada di tampuk kuasa. 

Kekurangan karisma dan kecekapan yang dirasakan ini telah meletakkan Anwar di persimpangan yang kritikal dalam kepimpinannya.

Adalah penting untuk diambil perhatian bahawa Yang di-Pertuan Agong hanya akan menggunakan kuasanya untuk memberi pengampunan berdasarkan atas nasihat Lembaga Pengampunan. 

Lembaga itu terdiri daripada peguam negara, menteri wilayah, menteri dalam negeri, dan sehingga tiga ahli tambahan yang dipilih oleh Agong. 

Sebagai perdana menteri yang juga memikul tanggungjawab sebagai menteri wilayah, Anwar dilihat terlibat secara langsung dalam proses ini.

Rayuan Umno untuk pengampunan Najib menunjukkan bahawa mereka tidak pernah menjadi rakan kongsi setia tanpa motif tersembunyi. 

Apa sahaja langkah yang bakal diambil perdana menteri ke atas perkara ini akan memberi impak besar kepada masa depan PH. 

Jika gabungan itu meneruskan dengan pendekatan seperti sekarang, mereka akan kehilangan pengundi-pengundi yang menyokong mereka. 

Besar kemungkinan juga pengundi akan membalas dendam atas kemungkiran janji yang dibuat semasa pilihan raya umum yang lalu dengan menarik semula sokongan di pilihan raya negeri akan datang.

Kehilangan sokongan ini akan membawa malapetaka yang besar kepada gabungan itu.

Tambahan pula, jika Anwar gagal memenuhi tuntutan Umno, BN juga bakal menarik balik sokongannya, yang berpotensi membawa kepada kehilangan majoriti di parlimen dan berakhirnya penguasaan kerajaan gabungan PH dan BN. 

Kemungkinan ini menimbulkan keraguan terhadap keupayaan perdana menteri untuk membuat keputusan bagi memastikan kestabilan dan kuasa jangka panjang kerajaan pimpinannya.

Terakhir, detik ini merupakan titik perubahan penting bagi PH. 

Perdana menteri dan kerajaan pimpinannya mesti menangani kerisauan ini dan menunjukkan komitmen mereka bagi memenuhi janji pilihan raya terhadap pengundi. 

Tindakan mereka akan menentukan nasib gabungan itu dan kepercayaan pengundi ke atas mereka. Kegagalan menangani perkara ini boleh menjejaskan gabungan PH.

Rakyat harus membuat keputusan sama ada untuk menerima kerajaan yang mengorbankan nilainya untuk kuasa atau menuntut pemimpin yang mengutamakan kemajuan negara.

Mahathir Mohd Rais adalah ketua penerangan Perikatan Nasional Wilayah.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.