- Iklan -
Kolum

Dari Baling ke Brickfields

Baling, Kedah ini ada pertalian sejarah dengan aku.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Jalan Thambipillay menyimpang dari jalan besar Jalan Tun Sambanthan. Aku tidak tahu sapa Thambipillay ini.  

Pada hemat aku sosok ini pastilah  pemimpin ketua masyarakat India sama seperti Tun Sambanthan yang pernah menjadi menteri dalam Kabinet Tunku Abdul Rahman dan Abdul Razak Hussein.  

Di Brickfields ada nama jalan dan nama stesen monorel memakai nama Tun Sambanthan.

Untuk aku Jalan Thambipillay yang panjangnya tidak sampai satu kilometer ini cukup bersejarah.  

Selain daripada Old Town White Coffee tempat aku bersidai, ada lagi perkara yang menarik tersimpan dalam perut Jalan Thambipillay.

Di Brickfields ini ada Dewan Majlis Orang Buta. 

Letaknya tidak jauh dari tebing Sungai Klang dan berhampiran dengan stesen monorel Sambanthan. Justeru di Brickfields inilah tempat orang buta, orang rabun dan orang kurang penglihatan berkumpul.

Di Jalan Thambipillay ini ada berbelas-belas rumah urut. 

Bukan semua rumah urut di jalan ini berkonsep “happy ending”, tu satu kisah lain yang wajib juga aku kisahkan.

Rumah-rumah urut yang hendak aku ceritakan ini dikendalikan oleh orang buta.

Berpuluh-puluh orang buta menjadi tukang urut di jalan ini.  

Deretan rumah kedai dua, tiga tingkat atau lebih pasti ada satu lantai yang digunakan sebagai tempat orang buta mengurut.

Aku menjadi pelanggan tetap di satu rumah urut di Jalan Thambipillay.

Kisahnya begini. Satu malam ketika aku bersadai di Old Town White Coffee aku merasa badan aku terlalu letih. 

Aku merasa perlu diurut. 

Dari Old Town White Coffee aku ternampak banyak iklan rumah urut orang buta. Di kiri dan kanan Jalan Thambipillay banyak terpampang iklan khidmat urut orang buta.

Aku juga sedar bahawa antara rumah urut orang buta ini ada juga rumah urut orang tidak buta.

Aku yang mundar-mandir dalam dunia ini. Belum pernah masuk berurut daripada yang buta atau yang tidak buta.

Pernah ketika aku dalam penjara Arthur Road di Bombay, India aku diurut oleh Raju.  

Raju ini budak belasan tahun yang tidur di tepi jalan. Bila polis buat rondaan dia ditangkap. 

Kesalahan: “Street Dweller”. 

Menjadi orang miskin tak berumah diangap jenayah dalam kota Bombay.

Dalam penjara kami tidak menggunakan duit. Kami guna kupon. Duit aku disimpan di pejabat penjara. Duit hanya boleh beli kupon untuk membeli biskut dan acar yang dijual di kantin penjara.

Dalam penjara ini ada “hashish”. Ini bunga dan daun ganja yang diuli sebesar gula cicak.  

Hashish atau “charas” ini dipanggil guli kerana ianya bulat. Aku rasa perkataan guli dalam bahasa Melayu pasti berasal dari India, dari bahasa Sanskrit.

Dalam penjara hashish ini boleh dibeli secara gelap dengan menggunakan kupon. Aku tak tahu siapa yang menyeludup barang terlarang ini.

Raju yang tak berduit tapi dia bersedia memberi khidmat “malish” kepada aku. Malish ini berurut dalam bahasa Hindi.

Dari fakta sejarah peribadi, kali pertama aku diurut adalah dalam penjara di Bombay.  

Raju mengurut kaki aku. Untuk bayaran aku beri Raju dengan dua biji guli hashish.  

Aku berurut dalam penjara untuk membunuh masa. Bayangkan duduk dalam penjara Bombay yang berasak-asak. Masa banyak dan tidak ada apa nak dibuat.

Di Brickfields aku agak risau juga kerana ada khidmat urut yang “happy ending” berakhir di atas katil. 

Ini urutan dari “minah cun” yang menyamar sebagai tukar urut tetapi bersedia memberi nikmat di ranjang.

Satu malam aku terserempak dengan Johnny Wong. Ini kenalan lama pemilik restoran masakan Nyonya China Town di Jalan Panggung.

“Bro, dari mana?” Aku bertanya bila dia melintas depan meja aku di Old Town White Coffee.

“Urut, just finished. Baru selesai.” Wong menjawab.

“Kat mana?” Aku bertanya.

“In front, just around the corner. Tingkat dua, strong hand. After the temple, nama dia Roslan. 

“Try him, strong hand. Good massage.” Wong memberi arah menunjuk dengan jari arah kedai tukang urut.

Malam itu juga aku pergi ke rumah kedai yang dicadangkan oleh Wong. 

Di tingkat dua aku mengetuk pintu bilik. Beberapa minit aku menunggu.

Pintu terbuka. Seorang jantan Melayu berbadan tegap sasa menjenguk. Umur dalam 50-an. Matanya buta.

“Ha, nak urut ke?” Kata penyambut.

“Nak urut la. Johnny yang rekomen.” Aku menerangkan.

“Oooo, kawan Johnny ke? Masuk.” Dia meluaskan pintu.

Babak aku bertemu dengan Roslan ini berlaku lebih 10 tahun dahulu.
 
Aku belum pernah masuk ke rumah urut. Jadi aku kurang arif apa yang perlu aku lakukan. Aku tercegat berdiri.

“Letak seluar kat sana, pakai towel. Baring katil sana, jamban di belakang.” Roslan mengarahkan aku masuk ke bilik urut.

Dalam bilik ini ada dua katil yang dipisahkan oleh penyidai kain. Di atas katil ada bantal. Bilik ini ada kipas angin dan ada alat penyejuk. Juga ada suara muzik lembut dari radio.

Aku terlentang baring atas katil. Suara R Azmi di radio sedang menyanyi lagu “Terkenang Masa Dulu”. Roslan meraba-raba badan aku.

“Nak urut berapa lama?” Roslan bertanya.

“Satu jam cukup la.” Aku menjawab.

“Meniarap, urut belakang dulu.” Roslan beri arahan.

Malam itu aku mula berkenalan dengan jari-jemari Roslan. Kali pertama ini aku merasa agak keras urutan Si Roslan.

Nak menjerit kerana sakit aku merasa segan. Aku bertahan.

Lalu aku teringat akan tukang urut Mohamad Ali Clay seorang Negro bekas pemotong tebu dari Cuba. 

Dari apa yang aku baca tukang urut juara peninju dunia ini jari jemarinya  amat kuat. Mungkin lebih kuat daripada urutan Roslan.

“Kalau sakit cakap, kalau nak dikuatkan lagi cakap.” Roslan memberi ingatan.

Aku tidak tahu macam mana dia mengira masa. Setelah satu jam urutan selesai. Aku merasa badan agak ringan.

Aku menghulurkan duit kertas. Empat keping duit sepuluh ringgit dan sekeping duit lima ringgit. Roslan meraba duit itu dan memasukkan ke dalam saku.

“Datang lagi.” Kata akhir dari Roslan.

Aku turun tangga dan menuju ke Old Town White Coffee. Sakit-sakit hasil kerja tangan Roslan masih aku rasakan. Dalam masa yang sama aku juga merasa segar dan bertenaga.

Tiga minggu kemudian aku datang lagi.  Kali ini aku menelefon dan menempah awal. No telefon Kedai Urut Tradisional ini terpampang di papan iklan depan kedai.

Setelah empat kali berurut kami bertambah mesra. Roslan bertanya hal diri aku. Aku duduk di mana dan kerja apa. Aku juga mula  bertanya  sejarah hidup dirinya.

“Aku asal dari Baling, Kedah.” Roslan bercerita.

Baling, Kedah ini ada pertalian sejarah dengan aku. Tapi aku tidak membuka kisah aku dengan Baling kepada Roslan.

Roslan buta dia tidak dapat melihat wajah aku. Jadi dia hanya tahu siapa aku dari apa yang aku beritahu.

“Dulu masa muda kerja kampung, buat bendang. Toreh getah. Bila tak ke sawah aku meracun tanah getah, tak tahu, tak  sedar racun ini bisa. Aku tak pakai penutup mata, mata jadi sakit. Lama-lama rabun.” Roslan berkisah.

Baru aku sedar Si Roslan ini bukan buta ketika lahir. Ertinya dia tahu dan pernah melihat dunia ini.

“Aku menangis, aku termenung mengenangkan nasib. Tiap hari aku duduk sorang diri, dunia ni gelap. Aku nampak sikit-sikit.”Roslan sedih bercerita sambil tangannya memicit badan aku.

“Kau tak gi hospital?” Aku bertanya.

“Pergi juga, tapi doktor dah tak boleh bantu.” Roslan menyambung cerita.

Aku tahu ramai orang kampung tidak sedar akan bahaya racun rumput.

“Setahun aku menangis, satu hari  anak sedara aku datang dari KL. Dia kata di KL boleh cari kerja. Ada sekolah orang buta, boleh cari makan.

“Aku naik bas datang dari Baling ke sini, ke Brickfields ini.”  

Mengikut Roslan dia mendaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU). Kemudian dia  diajar cara untuk mengurut oleh guru yang profesional.

“Lama dulu, aku kerja dengan orang. Simpan duit, ada modal aku buka kedai sendiri.

“Ni aku sewa seribu lebih sebulan. Ada empat katil, isteri aku mengurut orang perempuan bila ada yang memesan.

“Isteri aku OKU juga, anak aku tiga orang masih sekolah.” Roslan makin mesra dengan aku.

Radio berkumandang suara Salmah Ismail.

“Ni stesen mana ni? Lagu zaman aku muda.” Aku bertanya kerana radio ini terus memainkan lagu-lagu lama.

“Kau tak tahu ke? Ini stesen radio klasik.”

“Aku radio tak ada, di rumah aku TV pun tak ada.” Aku bercerita sambil ketawa.

Telefon berdering. Roslan teraba-raba mencari bunyi. Aku pun hairan macam mana dia boleh menggunakan telefon bimbit.

“Isteri aku tanya, jam berapa nak balik? Kau ni last customer. Aku ambil bas sebelum jam dua belas. Kalau lewat aku tidur di kedai.”

“Bas ke mana?” Aku bertanya.

“Aku duduk kat Taman Medan. Bas berhenti tak jauh dari rumah aku.” Roslan meraba-raba mencari botol minyak.

“Minyak apa kau pakai?”

“Aku buat sendiri, bubuh minyak wangi sikit, minyak angin sikit. Ini minyak urut buatan aku, nak beli minyak betul harga mahal.” Roslan terus memicit kepala aku.

Bila sampai ke wilayah leher, tengkuk dan kepala maknanya ini wilayah akhir untuk di urut.

Radio mendendangkan lagu “Hitam Manis” nyanyian R Azmi. Aku memasang telinga kerana aku peminat setia R Azmi.

“Dulu masa aku budak aku ada nengok filem P Ramlee, masa tu R Azmi ni hebat.” Roslan bercerita tentang satu zaman di mana dia boleh melihat.

“Kau kenal la muka P Ramlee?” Aku bertanya sambil aku bangun dari katil dan mengambil seluar.

“Lama dulu, dia dah mati kan? Tanam kat Ampang.”

“Betul.” Aku menjawab pendek.

“Jauh ke Brickfields ini dari Ampang?” Roslan bertanya.

Aku tidak tahu bagaimana hendak menjawab. Bagaimana nak menerangkan konsep jauh atau dekat pada insan yang tidak melihat.

“Tak jauh, dekat je. Jauh ni macam kau datang dari Baling ke Brickfields.” Aku cuba melawak.

Setelah memakai seluar dan membayar RM45, aku turun tangga menapak ke Old Town White Coffee.

Ketika berjalan aku cuba memejamkan mata. 

Aku cuba merasakan bagaimana Roslan pada satu ketika dulu kenal P Ramlee, tahu warna merah, hijau dan putih kini semuanya gelap.

Aku terlanggar tembok di gigi jalan. Aku kembali membuka mata. Yang aku lihat ialah warna malam di Jalan Thambipillay. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.