- Iklan -
Kolum

Peringatan bagi setiap Jumaat terakhir Ramadan

Di Iran, Lubnan, Iraq, Pakistan dan tempat-tempat lain, demonstrasi diadakan sempena Hari Al-Quds.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Pada tahun ini Hari Al-Quds jatuh pada Jumaat lepas. Ini kerana ia sebagai Jumaat terakhir bulan Ramadan bagi tahun ini dengan perkiraan Hari Raya Aidilfitri di banyak tempat jatuh pada hari Jumaat minggu depan.

Al-Quds bermaksud Baitulmaqdis atau Jerusalem dengan tumpuannya adalah pada Masjid Al-Aqsa yang kawasannya meliputi Tanah Haram dan Kubah Batu atau “Dome of the Rock”. 

Kubah ini adalah bangunan ikonik yang menjadi lambang kepada Al-Quds.

Seperti tahun-tahun lalu, Hari Al-Quds disambut dengan demonstrasi-demonstrasi bagi memperingati dunia bahawa Al-Quds masih berada dalam pendudukan Israel dan ia perlu dibebaskan.

Di Iran, Lubnan, Iraq, Pakistan dan tempat-tempat lain, demonstrasi diadakan sempena Hari Al-Quds. 

Seringkali aktiviti memperingati Hari Al-Quds ini dikaitkan dengan Iran dan negara-negara atau kumpulan-kumpulan  yang bersekutu dengannya. 

Ini kerana Hari Al-Quds adalah idea dan seruan oleh Ayatollah Khomeini, pemimpin Revolusi Islam Iran. 

Beliau membuat seruan itu bukan sebagai pemimpin Iran atau Revolusi Islam, tetapi sebagai pemimpin umat Islam, tidak kira sama ada beliau diiktiraf atau tidak. 

Tetapi pendiriannya terhadap pembebasan Al-Quds adalah selaras dengan konsensus umat Islam sejagat.

Di London, Hari Al-Quds disambut pada Ahad ini dengan mengadakan demonstrasi besar-besaran di jalan-jalan utama kota itu. 

Ia dianjurkan oleh kumpulan yang bernama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Di Malaysia, tidak ada demonstrasi untuk itu tetapi ada satu acara yang bernama Hari Cinta Al-Quds pada Khamis lalu. 

Dalam hal ini, ingin saya mengenang sumbangan seorang aktivis yang giat memperingatkan Hari Al-Quds pada setiap hujung Ramadan pada tahun 1980-an.

Beliau ialah Allahyarham Syed Jaafar Al-Sagoff yang berdemonstrasi dan mengedar risalah Hari Al-Quds dengan anak-anaknya di Masjid Jamek dan Masjid Kampung Baru Kuala Lumpur. 

Beliau pernah ditahan oleh pihak berkuasa dan dikenakan pembuangan daerah.

Walaupun peringatan Hari Al-Quds ini diadakan sejak tahun 1979, iaitu 44 tahun lalu, pembebasan Baitulmaqdis masih tidak dapat dilakukan. 

Ia menunjukkan kelemahan negara-negara Islam dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang asalnya ditubuhkan sebagai reaksi terhadap kebakaran terhadap Masjid Al-Aqsa pada tahun 1969 tidak dapat berbuat apa-apa.

Sebaliknya, dalam 44 tahun itu, pihak rejim Tel Aviv telah mengukuhkan kedudukannya di Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. 

Mereka bukan saja memperoleh pengiktirafan Amerika Syarikat (AS) tetapi membawa mereka memindahkan kedudukan kedutaannya. 

Ia berlaku semasa pentadbiran Presiden Donald Trump yang memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Dalam 44 tahun itu pula, kedudukan negara Islam di medan depan dengan Israel bertambah lemah. 

Lubnan menghadapi krisis ekonomi dan politik yang berat dengan pengaruh Hezbollah kian merosot apabila ia kehilangan banyak kerusi di Parlimen. 

Syria pula menghadapi kesan perang saudara yang dahsyat dan masih menanggung akibatnya. Iraq masih jauh daripada pemulihan. 

Mesir pula kembali kepada keadaan sebelum Arab Spring. Sementara Jordan tidak dapat berbuat apa-apa sedangkan urusan pentadbiran Masjid Al-Aqsa masih di bawah kelolaannya.

Di pihak Israel pula, dari segi ekonomi dan pencapaian sains serta teknologi, Israel melakar namanya dalam dunia Barat. 

Tetapi dari segi politik, ia semakin terheret menjadi negara rasis berbentuk apartheid. 

Penduduknya memilih kerajaan berbentuk keagamaan Yahudi dengan menghakis Zionisme sekular asal yang memberi ruang kepada minoriti Arab Islam dan Kristian.

Menjelang Ramadan ini pula, rejim Tel Aviv pimpinan Benjamin Netanyahu sedang diasak oleh sebahagian rakyatnya yang berdemonstrasi hampir setiap hari membantah cadangan undang-undang baru yang membolehkan perdana menteri melantik hakim dan sekali gus menguasai badan kehakiman.

Maka tidak hairanlah bahawa setiap tahun penduduk Palestin di Tebing Barat semakin tertekan dengan insiden-insiden rampasan tanah dan pokok zaitun yang dilakukan oleh penceroboh awam Yahudi.

Begitu juga saban tahun setiap Ramadan akan berlaku pertembungan antara tentera Israel dengan jemaah solat di Masjid Al-Aqsa. 

Sudah tentu pada bulan puasa ini ramai jemaah yang hendak menunaikan solat di masjid ketiga paling suci dalam Islam. 

Bukan sahaja untuk solat Jumaat tetapi solat terawih, dan beriktikaf.

Tetapi pada tahun ini, tidak seperti tahun-tahun lalu, ia berketepatan dengan perayaan Yahudi, Passover dan perayaan Kristian, Easter. 

Dalam perayaan-perayaan ini, berlaku pertembungan penganut Islam, Yahudi dan Kristian. Mereka melalui lorong atau jalan yang sama untuk melakukan ibadat.

Dengan menunjukkan bahawa mereka adalah pihak yang berkuasa di Masjid Al-Aqsa, tentera rejim Tel Aviv melarang orang Islam melakukan ibadat di situ bagi membolehkan laluan orang Yahudi untuk melakukan acara Passover mereka. 

Tetapi tentulah orang Palestin tidak dapat menerima halangan. 

Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang mereka beribadat di Masjid Al-Aqsa, hatta pihak Zionis yang bersenjata. 

Maka menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa bukan saja suatu tindakan amal ibadat tetapi ia merupakan juga tindakan politik. 

Orang Palestin tidak boleh menyerah dan mengalah walaupun mereka dipukul, ditembak dan ditangkap oleh tentera rejim Tel Aviv. 

Ini kerana sebarang tindakan mengalah akan melebarkan ruang bagi pihak Zionis untuk mengambil alih Masjid Al-Aqsa. 

Kini adalah zaman media sosial. Apa yang dilakukan oleh mereka dengan serta merta tular ke seluruh dunia. 

Tentulah suatu yang menyayat hati bagi kaum Muslimin di seluruh dunia melihat orang sedang solat di masjid dipukul oleh tentera Zionis. 

Sepanjang tahun 2022 dan 2023 sudah dilaporkan bagaimana sering kali berlaku pertembungan antara penduduk Pakestin dan tentera rejim Tel Aviv hingga menyebabkan kematian dan kecederaan, tidak kira seseorang itu tua, wanita atau kanak-kanak. 

Tetapi kali ini tindakan rejim Tel Aviv itu dibalas serentak dengan serangan meriam dari pihak Hamas di Gaza dan Hezbollah dari Lubnan Selatan dan juga Golan di Syria. 

Pihak rejim Tel Aviv dengan lebih dahsyat lagi menyerang Gaza, Lubnan Selatan dan Golan. Tentu berlaku kerosakan lebih besar daripada apa yang dialami oleh Israel 

Namun ia menunjukkan bahawa rejim Tel Aviv tidak boleh sewenang-wenangnya menekan rakyat Palestin di Tebing Barat khususnya berkaitan dengan Masjid Al-Aqsa.

Apa yang nengejutkan kali ini ialah serangan dari Golan, Syria. Umumnya dilihat ia merupakan serangan dari Hezbollah dan bukanlah tentera Syria. 

Tetapi dengan adanya pangkalan di Golan, ia merupakan pertimbangan baru dalam konflik.

Sebahagian Golan, iaitu Bukit Golan ditawan dan diduduki oleh rejin Tel Aviv sejak Perang Ramadan tahun 1973. 

Usaha Syria hendak membebaskan Baitulmaqdis bukan sahaja gagal tetapi juga ia kehilangan wilayah itu. 

Rejim Tel Aviv pula kelihatannya mahu menjadikan Bukit Golan itu miliknya selama-lamanya.

Hezbollah menjadi sekutu Syria sejak tahun 1980-an ketika ia ditubuhkan apabila Damsyik dan Tehran menjalin hubungan kerjasama yang erat. 

Kerajaan Syria membantu Hezbollah mendapat tapak di Lubnan sementara Iran membina kekuatannya. 

Hezbollah berjaya menghalau tentera AS dari Beirut dan tentera Israel dari Lubnan Selatan. 

Dalam Perang Saudara di Syria, sudah tentu Hezbollah menyebelahi kerajaan Bashar al-Assad bagi mengalahkan penentang-penentangnya yang disokong oleh AS dan juga Daesh. 

Ada pemerhati melihat apa yang sedang berlaku di Baitulmaqdis adalah berlainan daripada biasa. 

Sama ada ia merupakan perkembangan positif bagi Palestin atau tidak, adalah bergantung kepada sikap dan tindakan umat Islam pada masa akan datang.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.