- Iklan -
Kolum

Hari Raya sebagai syiar jati diri Melayu

Tidak kurang pula yang cenderung untuk meninggalkan budaya Melayu untuk ditukarkan kepada syiar-syiar bangsa Arab.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Hari Raya Aidilfitri bukan saja perayaan keagamaan bagi orang Melayu tetapi ia merupakan syiar jati diri bangsa. 

Syiar di sini bermaksud simbol. Jati diri juga bererti identiti. 

Kedua-duanya, simbol dan identiti adalah perkara penting dalam kehidupan berbangsa. 

Penting kerana ia menjadi antara tiang kepada kewujudan atau eksistensial sesuatu bangsa.

Dalam kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidaklah mahu saya menulis sesuatu perkara yang berat tetapi waktu inilah masa yang sesuai untuk mengingatkan mengenai kewujudan bangsa Melayu dan hubungannya dengan Hari Raya. 

Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan orang Melayu turun-temurun dan muncul sebagai suatu tradisi tahunan paling penting hingga ia sudah tertanam dalam jiwa kolektif bangsa dari generasi ke generasi. 

Cara orang Melayu rayakannya adalah unik dan berbeza daripada umat Islam yang lain.

Sememangnya, tidak semua orang Melayu menyambut Hari Raya secara yang serupa. 

Ada juga yang tidak begitu menyambutnya. 

Tidak kurang pula yang cenderung untuk meninggalkan budaya Melayu untuk ditukarkan kepada syiar-syiar bangsa Arab. 

Umpamanya berpakaian jubah dan kurta dan tidak mahu berbaju Melayu. 

Atau mengucapkan EId Mubarak dan bukannya Selamat Hari Raya. 

Antara negeri-negeri juga terdapat perbezaan kecil dari segi sambutannya. 

Begitu juga ada  amalan-amalan tradisi yang sudah tidak dilakukan akibat desakan zaman. 

Tetapi secara keseluruhan orang Melayu masih menganggap Hari Raya Aidilfitri sebagai hari utama tahunan bangsa ini.

Asas perayaan Hari Raya Aidilfitri adalah agama sebagai memenuhi tuntutan syariah. 

Bersama dengan Hari Raya Aidil Adha, ia menjadi hari keagamaan yang perlu dirayakan oleh orang Melayu sebagai penganut agama Islam.

Di sini perlu ditegaskan terhadap takrifan orang Melayu. 

Di Malaysia, sebagai lanjutan kepada Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya, orang Melayu ditakrifkan bukan atas dasar keturunan, hubungan darah atau DNA tetapi asimilasi berasaskan pada tiga perkara iaitu beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. 

Dalam hal adat pada waktu ini tidak begitu ditekankan. Namun dalam kehidupan orang Melayu, adat berhubung perkahwinan merupakan perkara besar yang amat diutamakan. 

Kenduri perkahwinan merupakan sesuatu yang paling bermakna bukan saja bagi pasangan tetapi seluruh sanak saudara dan sahabat handai.

Orang Melayu juga mempunyai adat berhubung menyambut kelahiran dan menghadapi kematian tetapi ia juga tidaklah sesuatu yang dimestikan.

Tetapi suatu adat istiadat penting yang perlu dipatuhi bagi orang Melayu adalah berhubung dengan istana. 

Bukan sahaja Raja-raja Melayu perlu mematuhi adat istiadat pertabalan  tetapi orang Melayu dimestikan akur dengan segala peraturan dan protokol berhubung dengan kedudukan seseorang berkaitan dengan pingat dan gelaran. 

Dalam hal ini, ia sudah menjadi institusi yang mana orang bukan Melayu di negara ini pun perlu akur. 

Maka di Malaysia, orang yang berketurunan asal dari Nusantara seperti Jawa, Minang, Aceh, Banjar, Bugis, Boyan, Sulu, Mandailing, Pattani dengan serta-merta dianggap sebagai orang Melayu. 

Begitu juga dengan orang beragana Islam dari India, Pakistan, China, Thailand, Filipina diterima sebagai sebahagian daripada orang Melayu. 

Walaupun tentulah mereka mempunyai ciri-ciri budaya berbeza daripada orang yang asal dari negeri-negeri Melayu semenanjung.

Maka dari segi politik Malaysia, orang Melayu adalah sebahagian daripada Bumiputera yang terdiri juga daripada suku-suku kaum di Sarawak dan Sabah, yang beragama Kristian, bertutur bahasa ibunda mereka sendiri dan mengamalkan adat masing-masing.

Tetapi bangsa Melayu ini terbentuk dengan adanya kerajaan-kerajaan Melayu sebelum kedatangan penjajah Barat yang memusnahkan cara hidup politik orang Melayu pada abad ke-16.

Apabila raja-raja Melayu memeluk agama Islam yang pelaksanaannya dilakukan secara beransur-ansur, maka rakyat mereka  pun turut serta. 

Dari waktu itu barulah orang Melayu menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dipanggil Hari Raya Puasa. 

Sungguhpun begitu, banyak adat yang unik pada orang Melayu sebelum itu seperti hidangan ketupat dan rendang diteruskan.

Perkataan "raya" yang bermaksud "besar" adalah asal bahasa Melayu dan terus digunakan untuk menamakan Hari Aidilfitri dan Hari Aidiladha. 

Untuk mengetahui bagaimana orang Melayu menyambut hari raya sebelum kedatangan Islam, seseorang dapat menyaksikannya di Bali yang penduduknya penganut agama Hindu. 

Tetapi agama Hindu di sana berbeza daripada apa yang diamalkan di India. 

Beberapa tahun lalu, saya pernah ke Bali dan mewawancara penduduknya. 

Katanya orang Islam hanya ada dua "hari raya" tetapi mereka mempunya banyak "hari raya" yang menurutnya melibatkan banyak upacara.

Sebelum kedatangan Islam, kerajaan Melayu Sriwijaya dan kerajaan Jawa Majapahit menganut agama Hindu bercampur Buddha yang diubah suai dan pastinya mempunyai banyak upacara.

Dakwah Islam datang dari India yang bersambung pada Parsi dan Arab, serta juga dari China. 

Maka pengaruh China dapat dilihat dari segi reka bentuk masjid dan juga baju Melayu. 

Sementara songkok adalah dari pengaruh India. 

Adalah dapat dibayangkan begitu sukarnya pendakwah dahulu untuk menerapkan amalan Islam pada orang Mealy terutama dari segi amalan solat yang dinamakan sembahyang dan puasa. 

Walaupun agama Islam lebih ringkas daripada Hindu yang mempunyai upacara dan banyak "hari raya" tetapi penganut Islam diwajibkan solat dan puasa yang pasti suatu yang berat bagi ramai orang. 

Sebab itu pendakwah banyak memberi penekanan terhadap amalan berpuasa dengan menjanjikan perayaan meriah selepas Ramadan berakhir. Maka Aidilfitri dinamakan sebagai Hari Raya Puasa. 

Kemeriahan orang Melayu berhari raya adalah unik berbanding sambutan dalam kalangan orang Islam di negara-negara lain. 

Kini puasa dan hari raya sudah sebati dengan jiwa atau psyche orang Melayu.

Alunan takbir yang mendayu-dayu dan menyemai perasaan sedih di pagi hari raya menepati jiwa orang Melayu. 

Ia dikaitkan pula dengan kesedihan mengenang ibu bapa dan sanak saudara yang sudah tiada. 

Orang Melayu adalah bangsa komuniti yang mempunyai pertalian rapat pada keluarga besar dan kampung halaman masing-masing. 

Sedangkan pada asalnya takbir itu dilaungkan secara bersemangat sekembalinya tentera Islam selepas mencapai kemenangan dalam medan perang. 

Apabila meneliti maksud kata-kata takbir itu, tentu dapat difahami bahawa ia menyebut mengenai kejayaan mengalahkan pihak kafir.

Sebelum kedatangan agama luar, orang Melayu mempercayai semangat pada pokok, gunung dan alam. 

Hari raya mereka adalah setahun sekali iaitu semasa permulaan musim menuai padi. 

Iaitu seperti Hari Gawai dan perayaan selepas menuai seperti yang disambut di Sarawak dan Sabah serta Orang Asli di semenanjung. 

Ia juga merupakan suatu amalan biasa oleh semua kaum di Asia Tenggara.

Kini amalan utama orang Melayu pada Hari Raya Aidilfitri tentulah solat hari raya. 

Tetapi apa yang lebih meriah dan lebih besar adalah selepas itu, iaitu kunjung-mengunjung dan mengeratkan semula hubungan sanak saudara. 

Kalau dalam Islam hari raya ini hanya satu hari kerana keesokannya sudah disunatkan berpuasa enam. 

Tetapi bagi orang Melayu,  hari raya adalah sebulan dengan adanya hari raya pertama, kedua dan seterusnya. 

Kemeriahan di kampung itu kemudiannya dibawa ke bandar khususnya di Lembah Klang. 

Kelihatannya orang Melayu cukup gembira merayakan bukan sahaja rumah terbuka tetapi juga sambutan di peringkat tempat kerja masing-masing. 

Hari Raya Aidilfitri sudah menjadi syiar jati diri Melayu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.