- Iklan -
Berita

Mana datangnya konsep 'Rahmah' kerajaan Madani?

Sebarang dasar yang mahu diangkat perlulah dibuat dengan cermat, teliti dan praktikal.

Mahdzir Ibrahim
3 minit bacaan
Kongsi

Saya hairan dengan sikap politik kerajaan Madani yang terlalu gopoh dan ghairah mempromosikan agenda mereka. 

Bagi saya, apa-apa dasar yang mahu diangkat perlulah dibuat dengan cermat, teliti dan praktikal. 

Suatu agenda perlu melalui satu proses libat urus yang berlapis-lapis dan menyeluruh, bukan datang dari satu kepala atau pejabat. Antara manifesto dan agenda kerajaan, sifatnya amat berbeza.

Namun, nampaknya proses ini tak berlaku kerana sikap politik hari ini sedang dikuasai oleh rasa ghairah dan ego orang politik kerajaan.

Hari ini kita dengar ‘Rahmah’ sebagai slogan yang ditampal pada banyak perkara, benda dan aktiviti kerajaan. 

Setakat yang saya dapat senaraikan di bawah Payung Rahmah seperti Menu Rahmah, Baju Raya Rahmah, Bazar Ramadan Rahmah, Sumbangan Tunai Rahmah, Tol Rahmah, e-Tunai Belia Rahmah dan kini Simen Rahmah.

Dan pastinya selepas ini, akan ada lagi perkara dan benda di-rahmah-kan. Ia tidak salah, tapi ia jelas suatu kerja bodoh. 

Modus operandi ‘Rahmah’ ini sama juga dengan 1Malaysia. Semua benda nak di-1Malaysiakan dari tong sampah, Klinik, Pasar raya hingga ke ‘Salam 1 Malaysia’. Kini, semua itu hilang seperti kain buruk yang mereput. Tak apa, jika sudah itu nasibnya.

Namun berbeza dengan slogan ‘Malaysia Boleh’, hingga hari ini ia menjadi ucapan keramat oleh kita termasuk kepada individu. Ia diucap secara peribadi bagi mendorong anak-anak bersukan, sebagai contoh. 

Hari ini Pakatan Harapan turut menggunakannya dengan sedikit olahan baharu menjadi ‘Kita Boleh’. Tak ada salahnya 'copy and paste' ini, tetapi naratifnya perlulah jelas.

Saya membaca dah cuba memahami naratifnya. Jelas sekali naratif ini tidak betul.

‘Rahmah’ telah dan sedang digambarkan sebagai ‘idea’ Anwar Ibrahim dibawah konsep Madani. Bagi saya naratif ini satu kesilapan yang menjolok mata, malah ia jatuh ke tahap pembohongan intelektual yang melampau dan tidak tahu malu.

Saya ingin beri sedikit pencerahan agar ia dapat membantu memperbetulkan naratif ‘Rahmah’ ini. Kerana apa? kerana apabila kita sedar naratif ini berasal dari mana, ke mana dan untuk apa, maka kita akan dapat menghayati maksud sebenar ‘rahmah’.

‘Rahmah’ bermula oleh Dr Mahathir Mohamad. Lebih tepat lagi, gagasan baharu ini disebut oleh Mahathir dalam ucapan perasmian Tilawah & Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu pada 16 Februari 2020.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan apa itu Gagasan Rahmah. Saya petik sedikit ucapan itu di sini.

“Seiring dengan falsafah tersebut, pada 25 Oktober 2019, Kerajaan bersetuju agar gagasan Rahmah dijadikan sebagai dasar pentadbiran Islam Model Malaysia berteraskan Maqasid Syariah dan Rahmatan Lil ’Alamin – yang bersifat universal, inklusif, telus dan menyantuni, bertepatan dengan suasana, adat serta budaya bangsa Malaysia sendiri”.

“Kita percaya dasar ini mampu memberi impak positif kepada rakyat dan negara dalam meningkatkan kesejahteraan sosial, kemakmuran dan perpaduan hidup masyarakat berbilang kaum dan agama, selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang telah dilancarkan oleh kerajaan”.

Jelas sekali, ‘Rahmah’ sudah bermula sejak Tun Kembali menjadi Perdana Menteri bagi kali ke-2. Ia sebuah gagasan baharu yang diikat dengan satu pelan tindakan untuk menjadikan ianya sebagai satu dasar negara.  Dalam konteks ini, gagasan Rahmah diikat dengan ‘Wawasan Kemakmuran Bersama 2030’ (WKB 2030). 

Malah WKB2030 ini juga diikat dengan Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 sebagai pemacu kepada agenda kerajaan yang lebih besar dan terancang. Ini naratifnya. Jelas.

Kesimpulannya, naratif ‘Rahmah’ ini sebenarnya bukan cetusan idea kerajaan Madani apatah lagi Anwar Ibrahim seperti yang digembar-gemburkan.

Maka, naratif ini perlu diperbetulkan kerana, gagasan Rahmah tidak memerlukan ‘Menu Rahmah’, ‘Simen Rahmah’, ‘Tol Rahmah’ dan sebagainya. 

Gagasan Rahmah dalam konteks pelaksanaannya adalah suatu pendekatan sistem pentadbiran yang lebih bermaruah dan manusiawi.

Namun, apabila gagasan Rahmah ini sampai ke tangan ‘Madani’, ia menjadi seperti idea 1Malaysia hingga pelekat, poster, ayat dan segala benda di Rahmahkan.

Saya harap, naratif Rahmah ini dikembalikan kepada fungsi asalnya iaitu menjadikan pentadbiran kerajaan lebih bermaruah, berintegriti dan manusiawi. Kerajaan Madani boleh memperbetulkan naratif ini, jika mereka mahu.

Mahdzir Ibrahim adalah timbalan ketua penerangan Gerakan Tanah Air.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.