Tarikh 1 Mei sebagai Hari Buruh disambut oleh banyak negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Labour Day ini juga dikenali sebagai May Day.
Nama lain baginya adalah Hari Pekerja, kependekan daripada Hari Pekerja Antarabangsa atau International Workers Day.
Semua buruh adalah pekerja tetapi tidak semua pekerja adalah buruh.
Buruh bermaksud mereka yang menggunakan tenaga fizikal untuk melakukan kerja.
Mereka menggunakan tulang empat kerat seperti pekerja binaan, pekerja ladang dan pekerja kilang.
Buruh adalah golongan peringkat "bawah" dalam piramid kelas pekerja dengan kemahiran paling rendah, paling kurang berpendidikan dan gaji paling rendah.
Kini di seluruh dunia termasuk Malaysia, ramai daripadanya adalah pekerja asing.
Mereka mudah ditindas, ditipu dan haknya dikhianati.
Tetapi istilah pekerja adalah lebih luas, ia meliputi bukan saja buruh tetapi mereka yang bekerja tidak menggunakan tenaga fizikal.
Mereka yang menggunakan tenaga mental dan mempunyai kemahiran tergolong sebagai pekerja, walaupun tidak dianggap sebagai buruh.
Maka terhadap sambutan ini, istilah Hari Pekerja adalah lebih luas dan sesuai berbanding dengan Hari Buruh.
Namun begitu, apabila disebut istilah "pekerja" dengan segala masalah dan isu yang ada padanya, usaha untuk membela golongan buruh yang tertindas dan kehilangan hak boleh lari daripada fokus.
Ini kerana golongan pekerja adalah begitu besar dan ia boleh meminggirkan kaum buruh yang sebenar.
Lebih-lebih lagi kini istilah pekerja itu kelihatannya merangkumi semua orang yang makan gaji atau "salary man," maka bertambah besarlah golongan ini.
Ada orang yang makan gaji ini berpendapatan sederhana dan tinggi, berpendidikan dan mampu mempertahankan hak mereka sendiri.
Walaupun mereka adalah juga pekerja tetapi sukar untuk menganggap kesusahan mereka sama dengan golongan buruh.
Ditambah pula dalam syarikat-syarikat besar, pihak yang mengurus para pekerja, termasuk buruh adalah pegawai sumber manusia yang juga kakitangan makan gaji.
Majikan tidak berdepan sendiri dengan para pekerja.
Mereka menggaji kakitangan sumber manusia untuk mengurus pekerja.
Malah pengurus syarikat juga makan gaji dan adalah sebenarnya pekerja juga.
Majikan pula adalah lembaga pengarah syarikat berkenaan.
Apabila 1 Mei dijadikan cuti umum, bukan sahaja buruh dan pekerja bawahan memperoleh rehat, keseluruhan negara termasuk golongan makan gaji peringkat sederhana dan atas turut mendapat nikmat tidak perlu bekerja pada hari itu.
Pada majlis rasmi sambutan Hari Pekerja pula, pernah kedengaran pihak berkuasa menyeru bahawa para pekerja wajar meningkatkan produktiviti untuk meningkatkan pembangunan negara.
Tumpuannya adalah peranan pekerja.
Ia tidak menyebut mengenai tanggungjawab majikan dan kerajaan untuk memenuhi hak pekerja.
Tentulah perkara ini tidak menepati semangat asal Hari Pekerja.
Pada asalnya Hari Buruh ini bertujuan meraikan kejayaan gerakan buruh memperoleh tuntutan kebajikan mereka.
Dua perkara itu ialah had bekerja lapan jam sehari dan cuti hujung minggu.
Dua perkara itu tentulah sekarang sudah dianggap sebagai perkara biasa.
Tetapi kalau tidak kerana perjuangan gerakan buruh, dua perkara yang kini dianggap suatu yang biasa tidak akan ada.
Majikan pada abad ke-19 adalah kapitalis yang tidak ada belas kasihan dan menganggap buruh hanyalah jentera untuk diperah.
Seperti mana sukarnya untuk menghapuskan perhambaan dan sukarnya untuk rakyat mendapat hak mengundi, maka begitu jugalah bagi pekerja untuk mendapatkan hak kerja lapan jam sehari dan cuti hujung minggu. Ia perlukan perjuangan.
Gerakan buruh pada abad ke-19 terdiri daripada kesatuan-kesatuan sekerja dengan disokong oleh gerakan kiri, terdiri daripada persatuan-persatuan sosialis.
Pada waktu sekarang inipun, ada sesetengah majikan dan mereka yang cenderung untuk menyebelahi majikan tidak menganggap pekerja mereka sebagai manusia.
Pekerja dilihat hanya sebagai "sumber manusia" setaraf dengan sumber-sumber lain untuk sesebuah syarikat menghasilkan produk mereka.
Ketika Kabinet pertama Malaya ditubuhkan pada tahun 1955, tidak banyak kementerian ditubuhkan.
Tetapi salah satu daripadanya ialah Kementerian Buruh yang menterinya ialah V T Sambanthan.
Ia menunjukkan betapa pentingnya buruh bagi negara ini sejak awal lagi.
Ekonomi kolonial Malaya yang berasaskan kepada bijih timah dan ladang getah digerakkan oleh buruh kedua-dua sektor.
British tidak menganggap buruh-buruh sebagai manusia yang mempunyai hak seperti mereka.
Buruh, seperti mana tanah jajahan hanya dianggap sebagai bahan yang menyumbang kepada pendapatan dan kemakmuran Britain.
Kini keadaan sudah banyak berubah.
Kementerian Buruh Sudan menjadi Kementerian Sumber Manusia.
Konsep sumber manusia kini sudah biasa digunakan.
Seperti mana adanya Kementerian Sumber Asli, maka manusia adalah salah satu sumber untuk negara.
Pengajian mengenai sumber manusia diadakan di universiti.
Mereka diajar bagaimana hendak mengendali isu-isu buruh.
Di syarikat-syarikat juga ditubuhkan jabatan sumber manusia.
Tetapi sebenarnya masalah lama, iaitu penindasan dan pengkhianatan hak pekerja masih ada walaupun aduan boleh dibuat di pejabat buruh dengan terdapat pihak penguatkuasa untuk melaksanakan akta-akta berkaitan para pekerja.
Kini masih berlaku pekerja yang bekerja lebih lapan jam tanpa bayaran lebih masa.
Saya pernah diberitahu hal ini oleh seorang pengawal keselamatan. Dia bukan pekerja asing. Walaupun bekerja lebih lapan jam tanpa bayaran lebih masa, dia tidak mahu buat aduan kerana bimbang hilang pekerjaan.
Ada pula pekerja yang tidak dapat menikmati cuti hujung minggu sebenar.
Walaupun tidak perlu ke pejabat pada hari Ahad, dia yang bekerja di sebuah syarikat pembuatan memberitahu saya, majikan menghendakinya membuat kerja pada laptop yang memakan masa satu hari.
Bukan sesekali tetapi setiap hari Ahad menyebabkan dia tidak ada rehat pada hujung minggu.
Akhirnya tidak tahan, dia berhenti kerja.
Kemudahan teknologi maklumat yang sepatutnya mengurangkan beban pekerja sudah menjadi alat bagi majikan untuk melanggar hak mereka untuk mendapatkan hak lapan jam bekerja sehari dan cuti hujung minggu.
Malaysia mula menjadikan 1 Mei sebagai cuti umum pada tahun 1972 yang diisytiharkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dr Ismail Abdul Rahman sebagai pengiktirafan kepada sumbangan buruh kepada negara.
Ia juga selaras dengan keputusan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Malaya menganggotai ILO sejak ia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Sementara ILO sendiri ditubuhkan pada tahun 1919, hasil daripada Perjanjian Versailles yang menamatkan Perang Dunia Pertama.
Idea penubuhan ILO diajukan oleh kesatuan-kesatuan sekerja Amerika Syarikat (AS).
Selepas Perang Dunia Kedua, ia menjadi agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Tetapi keputusan asal untuk menjadikan 1 Mei sebagai Hari Buruh datangnya dari Kongres Pekerja Antarabangsa yang diadakan di Paris pada kurun ke-19 disertai oleh kesatuan-kesatuan sekerja dan persatuan-persatuan sosialis.
Sambutan Hari Buruh dilakukan dengan mengadakan perhimpunan, demonstrasi dan perarakan.
Tarikh 1 Mei diambil dari peristiwa demonstrasi pekerja yang bertukar menjadi rusuhan dengan mengorbankan empat orang pekerja terbunuh di Haymarket, AS beberapa tahun sebelum itu.
Tetapi AS sendiri menyambut Hari Buruh pada bulan September.
Negara pertama yang mengisytiharkan Hari Buruh sebagai cuti umum adalah Soviet Union.
Sebagai negara yang menganggap dirinya "negara pekerja", maka sepatutnya tiada isu pekerja.
Tetapi apa yang berlaku ialah kerajaan menjadi majikan yang autoritarian.
Perjuangan untuk mendapatkan keadilan bagi para pekerja akan berterusan dengan keadaan dunia yang sentiasa berubah.
Teknologi maklumat dan kemunculan kepintaran buatan menuntut perubahan terhadap dunia pekerjaan.
Soal keadilan bagi pekerja berkait dengan etika dan kemanusiaan dalam suatu sistem ekonomi semasa.