- Iklan -
Kolum

Memberi perhatian kepada penderitaan rakyat Sudan

Peperangan di Sudan pula amat kejam, bukan sahaja pembunuhan orang awam secara 'massacre' tetapi juga penyeksaan dan rogol.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Apabila perang di Yaman dihentikan ekoran pemulihan hubungan antara Arab Saudi dan Iran, ia merupakan satu kelegaan besar bagi rakyat negara itu, yang sudah lama menderita sejak tahun 2014.

Perkembangan beberapa minggu lalu memberi harapan damai antara negara-negara Islam khususnya pemulihan hubungan Arab Saudi dengan Syria. 

Sementara hubungan Syria dan Iran yang sedia baik ditingkatkan dengan buat pertama kalinya presiden Iran mengadakan lawatan rasmi ke Damsyik.

Maka apabila berlaku pertempuran di antara dua pihak bersenjata di Sudan, ia memberikan kekecewaan bukan sahaja kepada rakyatnya yang sudah lama menderita tetapi juga dunia yang mengharapkan perdamaian di Timur Tengah dan Afrika.

Adakah pemimpin Arab, Islam dan Afrika tidak boleh menyelesaikan masalah mereka secara damai? 

Sudah berpuluh-puluh tahun rakyat Sudan bukan sahaja tidak dapat hidup dalam perdamaian tetapi antaranya sentiasa berada di ambang kelaparan dan kebuluran bukan kerana bencana alam tetapi peperangan sesama sendiri. 

Peperangan di Sudan pula amat kejam, bukan sahaja pembunuhan orang awam secara “massacre” tetapi juga penyeksaan dan rogol. 

Peperangan kali ini adalah antara kerajaan Sudan melalui Angkatan Tentera Sudan pimpinan Presiden Abdel Fattah Al-Burhan dengan pihak pemberontak iaitu Angkatan Sokongan Pantas atau Rapid Support Force (RSF) pimpinan bekas Naib Presiden  Mohamed Hamdan Daglo.

Semasa Perang Yaman, Daglo yang turut dikenali sebagai Hemedti pernah dihantar oleh Angkatan Tentera Sudan untuk membawa RSF berperang membantu Arab Saudi menentang puak Houthi, yang disokong oleh Iran.

Sudan adalah sebuah negara istimewa. 

Bagi pendokong gerakan Islam tahun 1980-an, negara itu diingati sebagai usaha pemimpinnya hendak melaksanakan Syariah dengan menyifatkannya sebagai "revolusi Islam."

Pada tahun 1983, Presiden Jaafar Numeiry dengan tiba-tiba telah beralih haluan daripada sosialisme kepada Islamisme apabila ia mengadakan kerjasama dengan Ikhwanul Muslimin pimpinan Hassan Turabi. 

Kerjasama itu membawa kepada pelaksanaan Syariah di Sudan. 

Ini juga bererti Sudan adalah negara kedua di dunia yang menjadi "Negara Islam" selepas Iran. 

Maka ia juga bererti Sudan menjadi negara Sunni pertama yang menjadi "Negara Islam."

Apa yang dimaksudkan dengan "Negara Islam" adalah dalam konteks era kebangkitan Islam tahun 1980-an yang ditandai dengan Revolusi Islam Iran. 

Walaupun konsep "Negara Islam" sentiasa dalam perdebatan yang panjang dan berubah mengikut peredaran zaman tetapi pada zaman itu, Arab Saudi dan Pakistan tidak dianggap sebagai "Negara Islam" oleh sebahagian besar pendukung-pendukung gerakan Islam tahun 1980-an.

Dengan kemenangan Mujahidin di Afghanistan pada tahun 1989, kebanyakan pendukung gerakan Islam melihat bahawa negara itu muncul sebagai "Negara Islam" Sunni yang pertama sedangkan Sudan sudah mendahuluinya.

Walaupun Ikhwanul Muslimin berkongsi kuasa dengan Numeiry, tetapi Hassan Turabi amat berpengaruh dan melaui parti Barisan Islam Nasional atau National Islamic Front (NIF) melaksanakan program Islamisasi dan pelaksanaan Syariah di semua peringkat.

Sama ada Numeiry bekerjasana dengan Ikhwanul Muslimin atas sebab survival politik atau sememangnya atas kesedaran agamanya tidaklah diketahui, tetapi ia melakukannya secara dramatik iaitu dengan membuang arak bernilai 11 juta dolar ke Sungai Nil bagi menandakan bermulanya "Revolusi Islam" di Sudan.

Gambar perbuatan itu disiarkan di akhbar-akhbar di seluruh dunia dan diulas oleh majalah-majalah berita antarabangsa. 

Saya turut membaca rencana mengenainya serta menatap gambar ikonik itu dalam satu-satunya majalah berita antarabangsa Islam, Arabia yang diterbitkan di London.

Tidak lama daripada itu, saya menerina satu buku kecil dari kedutaan Sudan di Kuala Lumpur yang menunjukkan perkembangan baru negara itu. 

Ia memaparkan struktur pemerintahan baru yang mencerminkan suatu sistem demokrasi lebih adil dan merakyat dengan menepati kehendak Islam.

Ada suatu ketika, seorang wartawan Arabia yang berasal Sudan datang ke Kuala Lumpur. 

Beliau memberitahu saya bahawa perkembangan itu bukanlah suatu yang positif dan meramalkan ia tidak bertahan lama. 

Memang benar, apa yang dikatakan sebagai program Islamisasi dan pelaksanaan Syariah menemui jalan buntu kerana ia bukan saja memecah-belah negara itu tetapi juga ditentang oleh kalangan umat Islam sendiri. 

Musuh utama gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin ditentang oleh kumpulan-kumpulan Sufi yang banyak pengikutnya di negara itu. 

Pandangan mereka terhadap Islamisasi dan pelaksanaan Syariah adalah berbeza. 

Maka tidak hairanlah banyak kalangan terutamanya generasi muda yang menuntut demokrasi ketika mereka turun ke jalan raya pada tahun 2019. 

Ekoran itu Presiden Omar Al-Bashir digulingkan oleh Jeneral Abdel Fattah Al-Burhan dengan dibantu oleh Jeneral Daglo.

Politik Sudan adalah lebih kompleks serta multidimensi. 

Tulisan mengenainya pasti panjang untuk mengulas berbagai aspek. 

Tetapi keperluan rakyat Sudan sekarang adalah amat asas hinggakan mereka tidak akan mempedulikan soal ideologi dan agama.

Apa yang penting sekarang ialah soal keselamatan, keamanan, makanan, tempat tinggal, pendapatan, pekerjaan dan masa depan anak-anak mereka.

Sudan bukannya negara miskin, walaupun kebanyakan rakyatnya tidak berkemampuan.

Sebab itu, Sudan tetap merupakan negara istimewa bagi orang luar untuk mencari kekayaan.

Ramai orang dalam industri minyak dan gas tertumpu ke situ, sama ada pelabur, usahawan dan jurutera petroleum. 

Sebab itu apabila orang asing diarah keluar segera dari negara itu kerana pertempuran menjadi sengit, kelihatan adanya banyak ekspatriat dari pelbagai negara. 

Jurutera Malaysia tidak asing dengan Sudan.  

Petronas bertapak di negara itu sudah berpuluh-puluh tahun lamanya. Sudan sememangnya kaya minyak.  

Itupun mereka kehilangan 27% daripadanya apabila Sudan Selatan dipisahkan untuk menjadi negara merdeka pada tahun 2022 setelah berlaku peperangan yang berpanjangan antara tentera pemberontak dengan kerajaan pusat.

Penubuhan Republik Sudan Selatan itu juga menandakan kegagalan Republik Sudan sebagai negara berbilang kaum dan berbilang agama, Arab dan bukan Arab, Islam dan bukan Islam. 

Maka Sudan Selatan menjadi sebuah negara majoriti Kristian. 

Maka "Dunia Islam" kehilangan sebahagian daripada wilayahnya.

Tetapi pemisahan itu tidak memberi keamanan pada kedua-dua negara. 

Mereka bukan berperang di antara sama lain tetapi pergaduhan antara kumpulan-kumpulan bersenjata terus berlaku dalam Sudan dan Sudan Selatan. 

Ia bukan saja mendatangkan penderitaan kepada penduduk yang terpaksa menjadi pelarian yang sebahagiannya menanggung kebuluran. 

Di Darfur, iaitu wilayah barat Sudan, bukan saja kelaparan tetapi kekejaman golongan bersenjata.

Tentulah perkara ini tidak bokeh dipanggil sebagai keistimewaan Sudan. 

Tetapi Sudan menjadi salah satu negara Afrika yang rakyatnya menanggung penderitaan sepanjang zaman sejak merdeka pada tahun 1956. 

Kekayaannya tidak sampai kepada rakyat, ia dibolot oleh golongan elit yang mempunyai kekuatan tentera. 

Malah kekayaan itu juga menjadi rebutan di kalangan kumpulan bersenjata.  

Kemerdekaan Sudan Selatan juga hasil daripada rasa tidak puas hati bahawa kekayaan negara dibolot oleh pihak utara.

Selain kekayaan muka bumi, keistimewaan Sudan terletak pada geografinya yang menjadikannya strategik dari segi politik global. 

Ia mempunyai pesisir laut yang panjang di Laut Merah bertentangan dengan Arab Saudi. 

Kedudukannya bersempadan dengan Mesir di utara dan Ethiopia dan Eritrea di selatan. 

Mesir adalah sebahagian daripada Afrika Utara dan Ethopia pula merupakan sebahagian daripada Tanduk Afrika atau Horn of Africa.

Maka sebagai penghubung kedua-dua rantau, Sudan menjadi strategik dan mengundang kehadiran kuasa-kuasa besar. 

Ia berlaku semasa Perang Dingin yang mengundang kehadiran Amerika Syarikat (AS), Soviet Union dan China.

Maka tidak menghairankan, dalam konflik kali ini, AS, Rusia dan China turut memberi perhatian terhadap negara itu. 

Tetapi tengulah gelagat mereka adalah menurut kepentingan nasional masing-masing dan bukannya memikirkan nasib rakyat Sudan yang menderita.