- Iklan -
Kolum

Akhirnya dunia hanya tinggal 4 raja

Jelas apa yang berlaku pada hari pertabalan Raja Charles menunjukkan sistem monarki ini hanya menunggu masa untuk dikuburkan.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Pada 23 Julai 1952, Gerakan Pegawai Tentera Bebas atau “Free Officers Movement” melancarkan apa yang dirakam oleh sejarah sebagai “Revolusi 23 Julai”. 

Rampasan kuasa di Mesir ini dipimpin oleh Mohamad Naguib dan Gamal Abdel Nasser.

Revolusi 23 Julai ini menghumbankan Raja Farouk dan menjadikan Mesir sebagai sebuah republik. 

Raja Farouk dan kaum keluarga sempat melarikan diri ke Itali.

Pada 30 Julai 1952 di Pulau Capri, Itali Raja Farouk berdepan dengan media dan mengeluarkan kata-kata: “The whole world is in revolt. Soon there will be only five Kings left, the King of England, the King of Spades, the King of Clubs, the King of Hearts, and the King of Diamonds.”

“Seluruh dunia sedang memberontak. Tidak lama lagi hanya tinggal lima raja, Raja England, Raja Sepit, Raja Kelawar, Raja Lekuk dan Raja Daiman.” 

Ini petikan daripada kata-kata Raja Farouk yang hingga ke hari ini masih dipakai.

Petikan kata-kata Raja Farouk ini masih terbukti benar dengan pertabalan Putera Charles dinobatkan untuk menjadi Raja Charles ketiga England pada Sabtu 6 Mei yang lalu.

Saya tidak mengikuti secara terperinci pesta dan upacara pertabalan Raja Charles ini. 

Saya membaca mana yang sempat. 

Saya seorang republikan, justeru berita-berita, gosip atau klip video feudal ini tidak saya beri perhatian.

Pada masa yang sama saya tidak ada masalah dengan raja-raja. 

Untuk saya sesiapa sahaja boleh menjadi raja dan memanggil diri mereka raja asalkan sosok ini bekerja untuk menampung kehidupan sendiri.

Sosok ini buat apa yang patut untuk mencari makan. 

Kalau perlu memandu Food Panda, silakan. Kalau perlu jual nasi lemak, silakan.  

Saya tidak akan menafikan status raja, sosok-sosok ini walaupun mereka memandu teksi untuk mencari rezeki.

Saya seorang republikan yang demokratik.

Sikap demokratik ini lahir kerana dari kecil lagi kehidupan saya dikelilingi oleh ramai raja. 

Ketika saya membesar di Kampung Batu Serambai, Ulu Klawang berek cikgu rumah keluarga kami dikelilingi oleh rumah-rumah dan keluarga raja-raja.

Ada Raja Husin yang cari makan dengan bermain silap mata dan menjual minyak kambing gurun. 

Ada Raja Agong yang menjual kuih untuk murid sekolah.  

Ada Raja Deraman yang bekerja sebagai penoreh getah.

Malah tok penghulu mukim Ulu Klawang ialah Tengku Razak. Tengku Alawiyah anak Tengku Razak belajar satu kelas darjah tiga dengan Hishamuddin Rais.

Justeru, raja-raja ini bukan sesuatu yang luar biasa untuk diri saya.

Apa yang menarik di pertabalan Raja Charles ini ialah keterlibatan kawan saya.  

Kawan saya ini Dr Muang Zarni anak kelahiran Burma.  

Zarni ini adalah bekas pensyarah ilmu politik antarabangsa di Universiti Brunei dan juga di Universiti Malaya.

Zarni ini seorang intelektual rakyat. 

Bukan hanya seorang ahli akademik, malah dia juga seorang aktivis hak asasi. 

Penyokong tegar warga Rohingya walaupun dirinya seorang penganut agama Buddha.  

Zarni penentang rejim kerajaan tentera di Myanmar.

Tulisan, suara dan pandangan Zarni muncul di merata pelosok dari BBC ke Al-Jazeera ke, Democracy Now, Washington Post dan The Guardian.

Kami berkenalan kerana kami sama bergerak aktif di Eropah dan di Asia Tenggara. 

Kami pemula badan bukan kerajaan Forces of Renewal of South East Asia (Forsea) yang ditubuhkan pada 2018 di Perancis dan dirasmikan di Kuala Lumpur pada 2019.

Tiga hari sebelum pertabalan Raja Charles saya berjumpa Zarni di Kuala Lumpur.  

Dia dalam perjalanan pulang ke London dari Indonesia.

Dengan panjang lebar Zarni menyatakan bagaimana kaum feudal Inggeris bertanggungjawab merompak dan melanun dunia. 

Penjarahan kuasa kolonial Inggeris ini berlaku di Burma dan juga di Tanah Melayu.

Dari kajian akademik, Zarni menerangkan bagaimana jentera kolonial Inggeris bersubahat dengan kaum feudal Inggeris untuk menjajah dunia.

“They are criminals, involved in genocide.”  

Zarni menuduh kaum feudal sebagai penyamun dan terlibat dengan jenayah pembunuhan beramai-ramai.

Pada Ahad sehari selepas Putera Charles ditabalkan saya menerima berita bagaimana Zarni secara terbuka melalui  media sosial menimbulkan isu loceng milik Burma yang dicuri kolonial Inggeris pada tahun 1885 dari Mandalay.

Loceng bersejarah ini kini berada dalam taman Istana Windsor milik Raja Charles.

Pada sebelah petang Ahad saya menerima satu lagi berita yang memeranjatkan.  

Akaun Twitter Zarni dipadamkan dari laman Twitter.

Berita pemadaman Twitter Zarni ini menjadi heboh.

Saya difahamkan bahawa syarikat Twitter mengambil tindakan kerana Zarni membandingkan upacara pertabalan Raja Charles ini sama seperti propaganda Hitler pada zaman Nazi. 

Walhal kaum feudal Inggeris ini memainkan peranan penting dan terlibat dalam melakukan jenayah “genocide”.

Loceng yang dicuri di Mandalay yang ditimbulkan oleh Zarni ini mengingatkan saya kembali ketika saya belajar di sekolah menengah. 

Dalam kelas sejarah saya mempertikaikan tentang Stamford Raffles yang dikatakan menemui Singapura pada 8 Januari  1819.

“Bagaimana dengan para nelayan yang ada menangkap ikan di sana? Mereka lebih awal datang ke Singapura dari Raffles.” Ini soalan saya yang tidak dijawab cikgu sejarah.

Pertabalan Putera Charles menimbulkan pelbagai perkara tentang monarki secara am dan monarki Inggeris secara khusus.

Kini dipersoalkan kembali tentang peranan monarki Inggeris dalam perdagangan hamba abdi.  

Dilaporkan bagaimana suku sakat kaum kerabat monarki Inggeris juga mendapat untung dan membuat harta kekayaan dalam perdagangan hamba abdi.

Para monarki dari England, Portugal, Sepanyol dan Perancis menangkap hampir 13 juta Negro dari Afrika dan dihantar dengan kapal laut ke “Dunia Baru”, Amerika Syarikat.  

Dikatakan lebih dari dua juta warga Afrika ini mati dalam perjalanan.

Kini warga British yang berkulit hitam mahu Raja Charles mengakui keterlibatan monarki dalam jenayah jual beli hamba ini.  

Warga kulit hitam juga mahu Raja Charles minta maaf dan membayar ganti rugi.

Penjarahan dan rompakan yang dilakukan oleh datuk nenek moyang kaum kerabat Charles kini heboh dibincangkan di United Kingdom ketika persediaan pertabalan dirancang. 

Warga di negara-negara bekas tanah jajahan Inggeris hari ini sedang membincangkan kembali peranan monarki dan kolonialisme.

Monarki dan kuasa kolonial Inggeris terbukti banyak melakukan jenayah rompakan dan melanun. Ada dua rompakan yang melibatkan kolonial Inggeris yang selalu menjadi berita.

Pertama: “Elgin Marbles” atau batu marmar ukiran zaman kuno Greek. 

Batu marmar ini dicuri pada tahun 1801 oleh agen monarki Inggeris Lord Elgin. 

Kini artifak  bersejarah ini disimpan di Muzium British.

Kerajaan Greek berulang kali menuntut agar batu ini dipulangkan ke tanah asal usulnya.

Kedua: “Kohinoor” atau permata berlian  terbesar dalam dunia. 

Permata berlian tersohor ini dicuri oleh Theo Matcalfe, pegawai Inggeris pada tahun 1849 sesudah Inggeris menawan Punjab.  

Berlian ini asalnya milik Nader Shah Raja India daripada Dinasti Merak.

Berlian ini dibawa balik ke England dan dijadikan sebahagian dari batu permata Mahkota Monarki England.

Ketika Raja Charles ditabalkan, mahkota yang ada permata Kohinoor ini tidak diguna pakai walaupun raja-raja terdahulu memakai mahkota ini pada hari pertabalan.  

Raja Charles merasa segan untuk memakai mahkota curi pada hari pertabalan. 

Seperti kes Elgin Marblesm permata Kohinoor ini juga sedang dituntut kembali oleh India dan rakyat Punjab.

Mengikut fakta sejarah terlalu banyak jenayah dan rompakan yang dilakukan oleh monarki dan kuasa kolonial Inggeris.

Di Tanah Melayu sendiri kita tahu ada banyak  manuskrip lama dan kitab Melayu kuno yang dibawa pulang oleh penjajah Inggeris ke London. 

Kini, artifak sejarah negara bangsa ada tersimpan dalam muzium dan gedung arkib mereka.

Kita juga seperti rakyat Greek dan warga Punjab wajib menuntut kembali segala artifak sejarah milik kita yang dirompak oleh kuasa kolonial Inggeris.

Hari ini, abad ini kita anak bangsa wajib diberi pencerahan tentang satu jenayah besar monarki dan kolonial Inggeris. 

Bukan intan dicuri, bukan batu marmar yang mereka rompak tapi lebih jahat daripada itu.

Jenayah paling besar yang dilakukan oleh monarki dan kolonial Inggeris ialah membawa pendatang dari India dan China masuk ke Tanah Melayu. 

Kemasukan pendatang dari India dan China ini mengubah demografi dan politik Tanah Melayu.

Jenayah Inggeris ini juga memisahkan pulau Singapura daripada “Bonda Kandung”, Semenanjung Tanah Melayu. 

Hingga ke  hari ini orang Melayu masih lagi membayar harga yang amat mahal terhadap jenayah monarki Inggeris ini.

Ada satu yang amat menarik ketika Raja Charles ditabalkan. 

Dunia diberitahu bahawa sokongan rakyat biasa terhadap sistem monarki di United Kingdom makin merosot.  

Penghormatan rakyat Britain terhadap Raja Charles tidak sama seperti sikap mereka terhadap Baginda Ratu Elizabeth.

Pada 30 November 2021, Barbados bekas tanah jajahan Inggeris yang masih mengakui Monarki England sebagai ketua negara telah menjadi Republik Barbados. 

Rakyat Barbados menolak Ratu Elizabeth dan melantik presiden baru.

Langkah Barbados ini mempengaruhi Belize, Grenada, Jamaica, Saint Kitts, Saint Lucia, Saint Vincent dan Grenadines, semua negara-negara kecil ini masih bernaung di bawah Monarki England. 

Kini negara-negara ini mahu menjadi republik.

Gerakan anti monarki dan semangat republikan juga semakin merebak di Australia, di Kanada dan di New Zealand.

Sejarah merakamkan di hari dan saat Raja Charles ditabalkan, gerakan republik muncul bersama orang ramai yang berarak ke arah Istana Buckingham.  

Anak-anak muda yang anti monarki keluar berdemo membawa sepanduk dan melaungkan: “This is not my king”, ini bukan raja kami.

Puluhan anggota republikan anti Monarki di United Kingdom ditangkap.  

Jelas apa yang berlaku pada hari pertabalan Raja Charles menunjukkan bahawa sistem monarki ini hanya menunggu masa untuk dikuburkan.

Geo-politik, perkembangan teknologi dan budaya akan mengubah kata-kata Raja Farouk, dunia akhirnya akan hanya melihat lima raja.

Mengikut firasat Hishamuddin Rais, dunia akhirnya akan tinggal empat raja, Raja Lekuk, Raja Kelawar, Raja Sepit dan Raja Daiman. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.