- Iklan -
Kolum

Memanfaatkan kemaraan AI

Jika tidak ramai orang menggunakan bahasa Melayu pada chatbot ini, maka ia akan lambat berkembang.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Hari Rabu lalu, 10 Mei, 2023 Google  mengumumkan pelaksanaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang lebih tinggi untuk chatbotnya, Bard iaitu apa yang dipanggil sebagai PaLM2. 

Perkembangan ini dianggap titik perubahan atau “inflection point” bagi Google.

Bard akan diperluaskan kegunaannya ke 180 negara termasuk Malaysia. 

Ia mampu digunakan dalam 40 bahasa yang dijangka akan diperluaskan hingga ke 1,000 bahasa pada satu hari kelak. 

Belum disebut lagi 40 bahasa-bahasa itu. 

Tidaklah diketahui sama ada terdapat bahasa Melayu dalam senarai itu. 

Apa yang sudah pasti ada ialah bahasa Inggeris, Jepun dan Korea. 

Bagi chatbot AI pertama iaitu ChatGPT yang dihasilkan oleh Open AI, bahasa Melayu boleh digunakan sejak awal lagi. 

Saya pernah cuba chatbot ChatGPT dengan menggunakan bahasa Melayu, banyak kali ia memberi respons dalam Bahasa Indonesia.  

Perkembangan bahasa bagi kegunaan chatbot AI ini bergantung pada banyaknya dan kerapnya ia digunakan. 

Dari kekerapan itu, chatbot ini akan membina kosakata dan langgam bahasa. 

Jika tidak ramai orang menggunakan bahasa Melayu pada chatbot ini, maka ia akan lambat berkembang. 

Begitu juga dengan data-data yang ada padanya. 

Sebab itu pada masa ini, banyak maklumat dalam dunia hiburan di Malaysia dalam chatbot ini tidak benar. Ia memang tidak tahu. 

Maka sudah tentu bahasa Inggeris lebih luas dapat digunakan. 

Begitu juga, Bahasa Indonesia adalah lebih luas daripada bahasa Melayu. 

Malah kemungkinan bahasa Melayu terserap ke dalam Bahasa Indonesia dalam dunia AI.

Chatbot Bard ini adalah merupakan reaksi Google terhadap ChatGPT yang merupakan pelopor dalam bidang ini. 

Kemunculan ChatGPT pada hujung tahun lalu menggemparkan dunia kerana ia bermakna manusia sedang memasuki zaman AI. 

Ia mengakibatkan pemain-pemain teknologi maklumat terjun ke bidang ini untuk menyertai perlumbaan dalam suatu dunia yang mampu meraih keuntungan besar.

Selain Open AI dan Google, syarikat-syarikat yang turut berlumba dalam bidang ini ialah Microsoft, Amazon, Meta, Alibaba dan IBM. 

Mereka bukan sahaja berlumba kerana hendak meraih keuntungan tetapi terdapat rasa keseronokan dalam kerja meneroka bidang AI yang pastinya akan mengubah kehidupan manusia dan sifat kemanusiaan.

Chatbot ialah program komputer yang menggunakan AI untuk berbicara dengan manusia. 

Walaupun ia hanya mesin tetapi dengan AI, perbicaraannya adalah seperti manusia. 

Untuk menjelaskan mengenai chatbot dan AI tentulah ia memerlukan penulisan panjang, hingga boleh dibuat dalam bentuk buku. 

Sama ada ia berbentuk teknikal mahupun popular. 

Begitu juga dengan cerita bagaimana syarikat-syarikat ini berlumba-lumba untuk berada di depan penciptaan dan inovasi AI.

Terdapat banyak maklumat mengenai perkara ini dalam Internet baik berupa berita dan rencana mahupun kertas-kertas akademik mengenai AI.

Ada juga perbincangan yang disiarkan dalam bentuk podcast atau video. 

Tetapi hanya penjelasan dalam bentuk buku, sama ada e-book atau buku bercetak, barulah seseorang dapat memahaminya.

Oleh kerana perkembangan AI ini begitu pesat dan maklumat baru sentiasa muncul, maka seseorang perlu sentiasa mengikuti perkembangan, hinggakan ia boleh memenatkan dan menjemukan. 

Maka perlu kebijaksanaan dalam mengurus maklumat yang mencurah-curah datang supaya fokus seseorang tidak terjejas. 

Bukan sahaja dalam hal AI tetapi semua bidang.

Satu lagi ialah soal bahasa. Bagi mereka yang tidak menguasai pembacaan bahasa Inggeris, maka sukarlah untuk mengikuti perkembangan AI ini. 

Namun mereka yang menguasai bahasa Inggeris tetapi tidak rajin membaca, ia adalah sama seperti tidak mengetahui bahasa itu. Tidak menggunakannya bererti tidak mengetahui. 

Saya percaya kebanyakan golongan terpelajar negara ini faham mengenai perkembangan AI. 

Malah ramai yang sudah menggunakan chatbot dan alat berasaskan AI yang lain.

Terpelajar di sini bermaksud bukan sahaja yang berijazah tetapi turut banyak membaca dan mengikuti perkembangan teknologi. 

Apa yang membimbangkan adalah mereka yang dapat memegang jawatan penting kerana ijazahnya, sama ada dalam sektor awam atau swasta tetapi tidak memahami perkembangan AI. 

Mereka hanya berlagak pandai tetapi sukar mengambil keputusan tepat kerana tidak memahami AI dan implikasinya terhadap kehidupan masa depan. 

Dalam hal ini, ahli-ahli politik memikul tanggung jawab besar lebih-lebih lagi mereka yang berusia. 

Ini kerana otak mereka sudah sukar untuk memproses perkara-perkara berhubung teknologi baru. 

Sedangkan bagi masa depan, negara dan dunia perlukan pemimpin berwawasan.

Saya sendiri adalah sebahagian daripada golongan berusia yang sudah berasa sukar untuk memahami atau mahir dalam perkara-perkara teknologi baru. 

Tetapi oleh kerana sudah bersara, maka saya tidak perlu membuat keputusan yang membabitkan kehidupan orang ramai 

Bagi ahli-ahli politik berjawatan kerajaan yang berusia lebih 60 tahun, mereka perlu membuat keputusan yang boleh mempengaruhi kehidupan dan masa depan negara. 

Jika mereka tidak mampu memahami perkembangan teknologi digital, yang membuat keputusan nanti ialah pegawai-pegawai mereka, yang pastinya tidak perlu bertanggungjawab pada rakyat seperti mana seorang ahli politik.

Saya tidak bercadang untuk memberi nasihat atau panduan kepada orang muda mengenai AI dan bagaimana untuk mendapat manfaat daripadanya. 

Ini kerana bukan sahaja saya tidak berpengetahuan mengenainya tetapi soal dunia hari ini dan akan datang berada di tangan orang muda dan mereka yang belum masuk usia bersara. 

Mereka lebih faham dunia masa ini, dan sama ada baik atau buruk, merekalah yang menentukan keadaan manusia zamannya.

Bagaimanapun, saya berpandangan bahawa sistem pendidikan negara ini, baik di peringkat sekolah mahupun universiti tidak menyediakan rakyat Malaysia untuk menghadapi teknologi masa depan. 

Banyak perkara yang mereka pelajari akan tidak relevan apabila mereka menamatkan pengajian.

Adalah sukar untuk menjangkakan keadaan masa akan datang kerana apa yang berlaku sering kali mengejutkan dan tidak dijangka. 

Kemunculan chatbot ChatGPT juga di luar jangkaan walaupun ia berada dalam penyelidikan yang hanya tidak diketahui umum. 

Sementara AI sendiri sudah dibincang sejak tahun 1980-an di universiti dan dalam media. 

Tetapi apabila ia benar-benar dapat digunakan oleh umum, ia tetap mengejutkan.

Namun apabila melihat ke belakang, banyak perkembangan teknologi adalah sesuatu yang mengejutkan. 

Dari penggunaan komputer peribadi, internet, telefon pintar hinggalah kepada media sosial adalah mengejutkan. 

Akibatnya ramai pihak mendapati kerjanya tidak relevan kerana asakan perkembangan teknologi maklumat ini.

Namun memahami AI ini tidak mencukupi. 

Ia perlu diambil manfaat sebagai alat untuk meningkatkan mutu kerja dan selanjutnya menambah pendapatan. 

Tetapi dalam sistem ekonomi sedia ada, jika tiada campur tangan kerajaan, AI ini akan hanya meningkatkan pendapatan syarikat berkenaan dan selanjutnya hanya menguntungkan pemegang sahamnya. 

Ia tidak juga menjamin peningkatan pendapatan pekerjanya. 

Jika dibaca berita dalam beberapa bulan lalu, terdapat banyak syarikat teknologi global yang memberhentikan pekerja mereka termasuk para jurutera perisian.

Kemunculan AI juga memberi kebimbangan bahawa ramai orang akan kehilangan pekerjaan. 

Apa yang sepatutnya berlaku ialah AI memberi manfaat kepada rakyat termasuk para pekerja dan bukannya hanya menguntungkan pemegang saham syarikat yang sedia kaya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.