- Iklan -
Kolum

Ekonomi hijau dan mengapa hidrogen penting?

Selain itu, hidrogen adalah gas yang boleh digunakan untuk menyimpan tenaga.

Timmy Say
3 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Ekonomi hijau merupakan strategi ekonomi yang bertujuan meningkatkan kehidupan manusia dan masyarakat, sambil mengurangkan masalah alam sekitar dan ekologi.

Dalam ekonomi hijau, kita guna duit untuk membuat benda-benda yang boleh kurangkan pencemaran, menggunakan tenaga dan sumber yang ada dengan lebih baik dan efisyen, di samping mengelakkan kerosakan alam semula jadi dan hidupan liar yang pelbagai jenis.

Jadi, ideanya adalah, kita boleh buat duit dan jadi lebih kaya, tanpa perlu merosakkan alam sekitar atau melakukan perkara yang boleh menyebabkan bumi kita panas dan tak selesa untuk kehidupan manusia. 

Ekonomi hijau bermaksud kita boleh jana pendapatan dan pekerjaan baru, tapi dengan cara yang lebih baik untuk alam sekitar dan masa depan kita.

Terdapat satu komponen penting yang perlu diusahakan untuk menjayakan ekonomi hijau iaitu hidrogen.

Hidrogen adalah sejenis gas yang banyak terdapat di dalam alam semesta. Ia tidak mempunyai warna dan bau. 

Keistimewaan hidrogen adalah ia boleh menjadi sumber tenaga yang bersih. 

Ini bermaksud apabila kita menggunakan hidrogen sebagai tenaga, ia tidak akan merosakkan alam sekitar.

Hidrogen hijau pula adalah istilah yang digunakan apabila kita bercakap tentang hidrogen yang dihasilkan dengan cara yang sangat bersih dan alam sekitar. Bagaimana caranya?

Proses utama untuk menghasilkan hidrogen hijau adalah melalui elektrolisis, di mana air (H2O) dipisahkan menjadi hidrogen dan oksigen menggunakan tenaga elektrik yang berasal dari sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar atau angin. 

Ini adalah cara yang sangat mesra alam untuk menghasilkan hidrogen kerana tiada sisa gas rumah hijau yang dilepaskan ke alam sekitar di dalam proses ini.

Hidrogen adalah minyak masa depan dan kini menjadi tumpuan di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Ada beberapa sebab kenapa hidrogen penting. 

Pertama, apabila kita menggunakan hidrogen sebagai minyak, contohnya di dalam kenderaan, ia hanya mengeluarkan air sahaja sebagai sisa, tidak seperti minyak petrol dan diesel yang keluarkan gas karbon yang memanaskan bumi.

Kedua, industri hidrogen boleh mencipta peluang ekonomi dan pekerjaan baru. 

Dengan polisi yang betul dan berkesan, Malaysia boleh jadi perintis di dalam industri membekal dan menghantar hidrogen.

Selain itu, hidrogen adalah gas yang boleh digunakan untuk menyimpan tenaga. 

Ini sangat penting untuk negara yang menjana banyak tenaga dari sumber yang boleh diperbaharui seperti solar dan angin. 

Disebabkan pengeluaran sumber tenaga yang boleh diperbaharui tidak selalu sama dengan permintaan, maka ketika tenaga pengeluaran melebihi permintaan, tenaga tersebut boleh disimpan di dalam bentuk hidrogen sebelum ditukar kepada tenaga semula ketika permintaan menjadi tinggi.

Malaysia perlu bekerjasama dengan negara lain dalam pengembangan teknologi hidrogen. 

Kerjasama ni boleh mempercepatkan penggunaan teknologi ini dan buka peluang baru untuk eksport.

Kerajaan Malaysia perlu proaktif dan mewujudkan polisi yang menggalakan penggunaan tenaga hidrogen. 

Antara polisi yang perlu dibuat ialah memberikan insentif untuk syarikat yang menggunakan teknologi ini dan memperkenalkan peraturan bagi mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil.

Kerajaan Malaysia juga perlu bersedia untuk membuat pelaburan untuk membina dan mempertingkatkan infrastruktur untuk menjana, menyimpan, dan menghantar hidrogen seperti membina stesen mengisi hidrogen dan tingkatkan kapasiti penyimpanan gas hidrogen.

Dengan fokus kepada perkara-perkara ini, Malaysia boleh manfaatkan sepenuhnya ekonomi hijau dan hidrogen, membantu mengurangkan kesan perubahan iklim serta mencipta peluang ekonomi baru untuk rakyat kita.

Untuk 20 tahun akan datang, Malaysia perlu memberikan fokus pada ekonomi hijau dengan tumpuan khusus kepada sektor hidrogen. 

Tahniah kepada negeri Sarawak yang sudah berada di dalam landasan yang betul dengan memberikan tumpuan kepada bidang hidrogen.