Keputusan pilihan raya presiden Turkiye minggu lalu mengecewakan Barat.
Mereka mengharapkan Presiden Recep Tayyip Erdogan dapat dikalahkan pada pusingan pertama tetapi ternyata beliau masih mampu meraih undi terbanyak berbanding pencabarnya iaitu Kemal Kilicdaroglu.
Walaupun kedudukan Erdogan boleh terancam jika pencabarnya itu dapat meraih undi lebih banyak dalam pusingan kedua pilihan raya yang akan berlangsung dua minggu lagi, tetapi besar kemungkinan Erdogan akan dapat memenanginya.
Pilihan raya presiden pusingan kedua ini diadakan apabila tiada calon yang berjaya mendapat 50% dengan Erdogan meraih 49.40% dan lawannya 44.96%.
Erdogan mewakili Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang berorientasi Islam dengan sokongan sekutunya Parti Pergerakan Nasionalis.
Lawannya pula adalah dari Parti Rakyat Republikan (CHP) yang berorientasikan sekular.
Ia disertai oleh lima parti lain dalam Perikatan Negara atau Nation's Alliance serta tiga parti agama dalam Sidang Enam Perikatan atau Table of Six Alliance.
Calon-calon presiden lain adalah Sinan Organ dari kumpulan nasionalis sayap kanan yang hanya meraih 52% undi.
Untuk Parlimen, blok kiri yang terdiri daripada Parti Hijau Kiri dari kalangan etnik Kurdis yang memperolehi 65 kerusi.
Di situ, AKP dan sekutu-sekutunya memperoleh 322 kerusi dan CHP serta sekutunya meraih 213 kerusi.
Parlimen Turkiye mempunyai 600 kerusi.
Harapan Barat supaya kepimpinan Turkiye diganti adalah jelas dengan melihat nada laporan-laporan media dan analisis akademik mereka.
Cukup dengan melihat laporan dan analisis berita yang disiarkan oleh media-media rasmi Barat seperti BBC (British), ABC (Australia), DW (Jerman), France24 (Perancis), Euronews (EU), NHK (Jepun) dan CNA (Singapura) dapat difahami bahawa mereka tidak menyukai Erdogan dan mahukan beliau diganti.
Walaupun Jepun dan Singapura dari segi geografi dan etnik berada di Timur, tetapi dari segi politik, ia bersama dengan Barat
Untuk perbandingan, ia dapat dilihat dari liputan saluran televisyen bukan pro-Barat iaitu Al-Jazeera (Qatar), Wion (India) dan CGTN (China).
Barat sememangnya berpaksi pada Amerika Syarikat (AS) dengan negara-negara lain itu adalah sekutu mereka.
Dari segi politik, Turkiye adalah sebahagian daripada Barat kerana adalah jelas ia merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
Maknanya ia bertanggungjawab untuk memberi bantuan ketenteraan kepada mana-mana negara anggota jika mereka diserang.
Tetapi kedudukan Turkiye dalam Nato adalah suatu yang seperti duri dalam daging bagi Barat.
Dari segi etnik dan agama, ia bukanlah dari kalangan Eropah yang berasal Kristian seperti anggota-anggota Nato yang lain.
Tetapi itu bukannya isu.
Apa yang lebih penting ialah hubungannya dengan Greece, jirannya yang juga merupakan anggota Nato.
Turkiye bermusuh dengan Greece dan pernah berperang dengannya.
Ia menakluki Cyprus Utara yang diisytiharkan sebagai sebuah begara merdeka tetapi tidak diiktiraf oleh negara lain kecuali Turkiye sendiri.
Turkiye bersikap independen dalam Nato tetapi selama ini AS toleran terhadapnya ketana kedudukan strategik negara itu yang terletak di selatan Rusia.
Turkiye adalah begara barisan depan Barat ketika Perang Dingin dengan Soviet Union.
Apabila kuasa komunis itu tumbang, peranannya menjadi kecil.
Namun dengan kemunculan Presiden Vladimir Putin yang menakluk Crimea dari Ukraine, Turkiye kembali menjadi penting dan strategik bagi Barat.
Tumpuan Barat sekarang adalah perang Ukraine yang dianggap sebagai barisan depan dalam menghadapi Rusia.
Maka semua negara-negara Nato wajar bersatu untuk membantu Ukraine.
Walaupun Ukraine tidak sempat untuk menjadi anggota Nato, tetapi kedudukannya itu menuntut bantuan secara tidak langsung dari semua negara yang menyokongnya.
Ini termasuklah dalam usaha mengenakan sekatan terhadap Rusia.
Walaupun Turkiye menyokong dasar-dasar Barat, tetapi Erdogan mengambil sikap independen.
Maksudnya, ia meletakkan kepentingan nasional Turkiye lebih daripada kehendak Barat, Nato dan AS.
Apabila AS mahu negara-negara anggota Nato menerima Norway, Turkiye meletakkan syarat bahawa negara itu mestilah tidak melindungi anggota kumpulan pemisah Kurdis.
Walaupun akhirnya Turkiye akur terhadap permintaan AS itu tetapi ia melakukannya dengan memperolehi apa yang dikehendaknya.
Tetapi kes yang lebih berat bagi AS ialah perkara yang betkaitan Perang Ukraine.
Turkiye enggan memenuhi permintaan AS supaya membekalkan jet pejuang kepada Ukraine.
Permintaan AS itu adalah kerana Turkiye mempunyai jet pejuang buatan Rusia.
Sementara tentera Ukraine pula dilatih menggunakan jet pejuang Rusia.
Ini kerana pada zaman Soviet Union, Ukraine adalah sebahagian daripada negara itu, yang mana rakyat negaranya menggunakan teknologi serupa.
Selepas keruntuhan Soviet Union, Ukraine terus menggunakan peralatan teknologi buatan Rusia.
Bila berlaku Perang Ukraine, negara itu tidak memlunyai peralatan senjata mencukupi.
Untuk menggunakan peralatan senjata teknologi AS, Britain, Perancis atau Jerman, tentera mereka memerlukan latihan yang memakan masa lagi.
Maka cara terbaik ialah meminta Turkiye membekalkan jet pejuang buatan Rusia kepada Ukraine
Mengapa Turkiye nemiliki jet pejuang buatan Rusia adalah juga sesuatu yang aneh.
Ini kerana sebagai anggota Nato, ia sepatutnya sentiasa menggunakan peralatan buatan negara-negara kumpulan itu, selalunya dari AS dan ada ketikanya dari Perancis.
Tetapi ada sesuatu ketika apabila Turkiye mahu mempertingkatkan kemampuan tentera udaranya, ia pun memesan sebilangan jet pejuang AS. Tetapi Amerika melengah-lengahkannya.
Tidak diketahui apa sebabnya tetapi para penganalisis menyebut bahawa AS tidak senang peralatan itu digunakan untuk menyerang pemisah Kurdis.
Erdogan marah dengan sikap AS itu lalu membatalkan pesanan itu dan beralih kepada Rusia.
Tentulah perkara ini menimbulkan kemarahan AS.
Tetapi kini jet buatan Rusia itu ada gunanya untuk membantu Ukraine.
Tetapi Turkiye enggan membantu Ukraine kerane negara itu belum lagi menjadi anggota Nato.
Terdapat beberapa isu lain berhubung Rusia dan Ukraine di mana Turkiye mengambll sikap independen dan tidak terus akur kepada AS.
Sikap Turkiye itu adalah sebenarnya mencerminkan perwatakan Erdogan selaku presiden.
Kalau pemimpin lain yang mempunyai watak berbeza akan mengambll sikap yang mungkin lebih mesra dengan Barat.
Maka bagi Barat, setelah melalui banyak pengalaman pahit dengan Erdogan, mereka mengharapkan pemimpin baru yang lebih mesra.
Tidak kiralah siapa yang akan menjadi presiden baru tetapi asalkan bukan Erdogan.
Itulah yang menyebabkan mereka mengharapkan Erdogan kalah dalam pilihan raya ini.
Tetapi sikap Barat tidak menyukai Erdogan sudah lama ada sejak beliau mula menjadi perdana menteri pada tahun 2003 dan presiden pada tahun 2014.
Beliau dilihat sebagai Islamis dan usaha beliau untuk membawa Turkiye ke dalam Kesatuan Eropah ditentang.
Tetapi sentimen Barat terhadap Turkiye adalah lebih jauh daripada itu.
Penubuhan Republik Turkiye pada tahun 1922 adalah atas kejayaan Mustafa Kemal Ataturk mengalahkan usaha-usaha kuasa Barat untuk menakluk wilayah akhir Usmaniah.
Walaupun Ataturk memperkenalkan sekularisme dan tamadun Barat kepada Turkiye, tetapi Eropah tetap tidak dapat menerimanya untuk menjadi sebahagian daripada mereka
Bila meninjau kepada sentimen Barat itu secara mendalam, ia pergi ke zaman awal Usmaniah yang mana pernah pada suatu ketika, empayar itu bukan saja menakluk Constantinople, ibu kota Bizantium tetapi juga menguasai wilayah Eropah Timur hingga ke pintu kota Vienna di Austria.
Apabila Erdogan menang dalam pusingan kedua, Barat terpaksa menanti lima tahun lagi untuk menyaksikan perubahan pucuk kepimpinan Turkiye.
Tetapi dunia tidak semestinya akan sentiasa mengikut kehendak AS.
Semua negara mempunyai kepentingan masing-masing, yang banyak ketikanya bertentangan dengan kehendak Barat.