- Iklan -
Kolum

Mampukah Pesta Buku membawa keuntungan?

Sememangnya, penulis perlu suatu badan yang dapat membela mereka apabila berdepan dengan penerbit.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-40 sudah pun bermula dan akan berlangsung sehingga 4 Jun ini. 

Seperti kebanyakan tahun, ia diadakan di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL).

Setelah meraih keuntungan di luar jangkaan bagi ramai penerbit yang menyertai PBAKL 2022, maka pemain-pemain industri buku mengharapkan kejayaan itu dapat diulangi pada tahun ini. 

Malah ada yang mengharapkan bahawa PBAKL tahun ini menunjukkan kebangkitan industri itu di Malaysia.

Tetapi ada pemerhati yang skeptik terhadap harapan ini. Sebabnya ialah tahun ini berbeza daripada 2022. 

Tahun ini keadaan ekonomi lebih tidak meyakinkan dan ia membawa kepada para pengguna berhati-hati dalam perbelanjaannya. 

Sambutan luar biasa orang ramai terhadap PBAKL tahun lalu adalah disebabkan masyarakat baru bebas daripada kongkongan sekatan pergerakan Covid-19 selama dua tahun. 

Sememangnya penerbit buku tidak boleh bertumpu kepada PBAKL yang hanya diadakan setahun sekali. 

Jualan perlu dilakukan sepanjang tahun melalui pelbagai saluran, daripada kedai-kedai buku, pameran hinggalah kepada kemudahan dalam talian. 

Ternyata semasa wabak Covid-19 dahulu, jualan dalam talian yang membolehkan penerbit terus hidup.

Namun hakikatnya perniagaan buku di negara ini bukanlah suatu yang boleh mendatangkan keuntungan besar bagi semua kategori. 

Hanya kategori agama, fiksyen dan pendidikan boleh meraih keuntungan besar. Itupun hanya sebilangan kecil. 

Bagaimana seseorang penerbit mengambil kira pelbagai faktor barulah perniagaannya dapat berjaya. Model perniagaan penerbitan buku yang ada tidak menarik bagi para pelabur.

Tetapi mengapa  masih ramai usahawan yang terus menceburkan diri dalam bidang penerbitan buku sedangkan mereka dapat melihat betapa banyak syarikat-syarikat yang dahulunya besar sudah gulung tikar?

Saya turut terlibat dengan perniagaan penerbitan buku pada tahun 1990-an, iaitu pada zaman bahan bercetak masih menguasai ruang maklumat, ilmu pengetahuan dan hiburan. 

Ketika itu internet belum meluas, tidak ada sesiapa yang terfikir mengenai media sosial.

Pada masa itupun, bidang perniagaan buku di negara ini sukar untuk meraih keuntungan besar. 

Orang mengeluh tentang hakikat bahawa rakyat Malaysia tidak minat membaca, tidak seperti di negara-negara Barat. 

Tambahan lagi bilangan penduduk negara yang kecil-kecil dan berpecah-pecah menurut bahasa.

Mereka yang berkecimpung dalam penerbitan adalah sama ada seseorang yang amat meminati dunia buku atau kebetulan mereka mendapati dirinya berada dalam perniagaan ini, serta tidak ada peluang kerjaya lain.

Bukanlah tidak ada sesiapa yang dapat meraih keuntungan besar dari industri buku. 

Mereka yang memperoleh tender dan kontrak menetbitkan dan membekalkan buku teks tentulah merasa senang. 

Begitu juga mereka yang menerbitkan buku agama popular boleh mendapatkan keuntungan. 

Novel-novel popular untuk dewasa muda juga boleh laris. 

Tetapi jika perniagaan tidak diurus dengan disiplin yang baik, syarikat berkenaan pasti akhirnya gulung tikar. 

Dalam hal inu, cabaran penerbit adalah juga datangnya dari amalan dunia perniagaan di negara ini yang tidak cekap dan bersih seperti yang diharapkan. 

Penerbit tidak boleh bergerak sendiri. Ia memerlukan penulis, pengarang, pencetak, pemasar buku, penjual buku dan kedai buku. 

Di sinilah wujud kelemahan sistem di negara ini. 

Ketika mana penerbit sanggup membayar upah cetak secara penuh, seringkali hak royalti penulis tidak dilunas dengan jujur. 

Perjanjian tidak dipatuhi. Apabila penulis tidak memperoleh bayaran, mereka menjadi serik untuk menulis.

Sememangnya, penulis perlu suatu badan yang dapat membela mereka apabila berdepan dengan penerbit. 

Persatuan penulis wajar aktif membela anggotanya dan bukan pula hanya dengan mengadakan acara seperti membaca puisi atau turut juga menjadi penerbit. 

Hubungan antara penjual buku, termasuk kedai-kedai buku juga kurang beres di negara ini. 

Sudahlah negara ini tidak mempunyai banyak kedai buku yang boleh memudahkan para pembaca memperoleh buku baru, para penerbit pula tidak boleh mengharapkan mereka. 

Saya menyaksikan bagaimana sukarnya untuk mendapatkan bayaran daripada penjual dan kedai bagi buku yang terjual. 

Dengan bayaran yang tertangguh dan tidak diperoleh ini menyukarkan para penerbit untuk memelihara pusingan modal.

Antara sebab mengapa kedai buku tidak dapat diwujudkan di negara ini ialah kadar sewa ruang kedai yang tinggi dan tidak mampu dijangkau oleh pekedai-pekedai buku kecil. 

Ada satu masa dahulu, umpamanya di Pulau Pinang, kawalan sewa bangunan lama membolehkan pengusaha kedai-kedai kecil dapat menjual barang-barang termasuk buku. 

Tetapi kini pengguna dirasakan lebih suka pergi ke kedai buku mega yang terdapat di kompleks membeli belah besar seperti di Kuala Lumpur. 

Tarikan kedai buku mega ini adalah ia bukan saja menjual buku tetapi menyediakan kafe dan tempat para pembaca beristirehat. 

Ia menawarkan suatu gaya hidup menarik. Tentunya mereka lebih banyak menjual buku import yang berharga mahal dan berasa di luar jangkauan kebanyakan pengguna negara ini.

Bagi industri buku, mereka kemudian mengemukakan cara baru supaya penerbit tidak bergantung pada jualan buku semata-nata. 

Mereka mencadangkan supaya penerbit menjual hak cipta kepada penerbit antarabangsa. 

Maka dengan bantuan kerajaan, penerbit-penerbit ini pergilah ke Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt di Jerman, pusat jual beli hak cipta dunia. 

Oleh kerana buku-buku negara ini bukanlah begitu bermutu tinggi, maka hasilnya sudah dapat dijangka.

Apabila datangnya internet dan teknologi maklumat pada tahun 2000-an dan 2010-an, peserta industri buku melihatnya sebagai peluang bagi penetbit buku untuk memasarkan bukunya secara dalam talian, iaitu tidak nemerlukan penjual buku dan kedai buku. 

Tetapi ia kurang sambutan kerana sememangnta pembaca dan pembeli buku di negara ini tidak ramai.

Ketika mula buku elektronik atau e-book mula diperkenalkan, ada penerbit yang melihatnya sebagai cara untuk menjimatkan kos dengan tidak perlu mencetak buku di atas kertas. 

Dengan hanya menjual e-book, mereka dapat meraih keuntungan.

Walaupun generasi sekarang lebih selesa dengan gajet tetapi dalam internet terdapat beribu-ribu e-book yang boleh dimuat turun secara percuma hinggakan ia menjadi ia kurang bernilai.

Akhirnya para penerbit menjual buku fizikal yang dikepilkan (bundle) dengan e-book. 

Bagi peminat buku, e-book bukan buku sebenar. 

Maka kini buku fizikal dan e-book nempunyai peranan masing-masing dalam masyarakat. 

Akhirnya buku fizikal tetap mampu mendatangkan keuntungan kepada penerbit dan memuaskan hati pembaca.

Dalam PBAKL kali ini, pemain-pemain industri membincangkan tentang konsep "content" atau kandungan. 

Maknanya apa yang wajar dijual bukanlah buku fizikal, e-book atau hakciptanya tetapi isinya. 

Ia dikerat-kerat dan  boleh dijual dalam pelbagai platform media sosial untuk ditularkan. 

Dari situ diharapkan penerbit dapat meraih keuntungan. Sememangnya generasi sekarang tidak seperti dahulu. 

Mereka banyak menghabiskan masa dengan "content" gajet mereka, lebih daripada untuk membaca buku. 

Tetapi ada sebilangan generasi baru yang tetap meminati dan membeli buku. 

Buku fizikal masih menjadi tarikan dan penerbit pula mampu meraih keuntungan daripadanya.

Pembeli-pembeli buku inilah yang tetap berbondong-bondong datang ke PBAKL. 

Bagi mereka; buku tetap sesuatu yang mendatangkan keseronokan dalam hidup. 

Ia merupakan wadah yang mesra pengguna bagi menyampaikan ilmu pengetahuan, memberikan inspirasi dan menghiburkan pembaca. 

Ia juga adalah khazanah rakyat dan negara. Di samping itu, ia dapat menyara hidup penulis, pengarang, penerbit, pencetak dan penjual buku.