Tarikh 29 Mei lalu adalah Hari Wartawan Nasional. Ia merupakan hari yang diisytihar oleh kerajaan bagi menghargai kerja, sumbangan dan pengorbanan wartawan kepada negara.
Acara tahun ini dianjurkan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan tema "Media Bebas, Tunjang Demokrasi".
Sebagai wartawan veteran sebenarnya saya berasa malu dengan sambutan hari tersebut, lebih-lebih lagi dengan tema "media bebas" dan "demokrasi" yang dianjurkan oleh sebuah agensi berita kerajaan yang tanggungjawabnya antara lain adalah untuk menyampaikan laporan mengenai kegiatan dan polisi kerajaan.
Tentulah sebuah agensi media rasmi perlu mempertahankan aktiviti dan polisi kerajaan.
Namun begitu, saya sedar bahawa zaman saya sudah berlalu dan bukan hasrat saya untuk masuk campur ke dalam lanskap media tahun 2023 yang jauh bezanya dengan 2010-an.
Jauh sekali untuk memperkecilkan peranan, kerja, sumbangan dan pengorbanan wartawan masa kini yang turut berdepan dengan cabaran serba baru.
Namun sebagai warganegara yang pernah menghabiskan sebahagian besar hidup dalam akhbar arus perdana, ada perkara-perkara yang boleh wartawan masa kini ambil iktibar.
Pandangan saya mengenai kewartawanan, akhbar dan media adalah bersifat perseorangan dan tidak mewakili mana-mana kumpulan wartawan lain di negara ini.
Tentunya setiap wartawan mempunyai pandangan masing-masing terhadap perkara ini.
Saya percaya kebanyakan wartawan hanya mahu bekerja dengan aman tanpa sebarang masalah dengan mana-mana pihak terutamanya dari majikan mereka serta pihak berkuasa, iaitu kerajaan.
Namun ada juga wartawan yang bekerja dengan memiliki fahaman perjuangan politik masing-masing.
Selain itu ada juga segelintir wartawan yang merupakan pendukung idealisme kewartawanan dalam sistem demokrasi.
Mereka inilah yang sering bercakap mengenai kebebasan media dan media sebagai "estet keempat" dalam amalan demokrasi berparlimen.
Apa yang mereka katakan itu menepati tema "Media Bebas, Tunjang Demokrasi”.
Demokrasi sebenar hanya berfungsi bila media bersikap bebas.
Namun secara praktikalnya, wartawan di lapangan hanya membuat liputan dan menulis mengikut arahan pengarang.
Apa juga yang dikatakan sebagai sumbangan dan pengorbanan adalah merupakan sebahagian daripada kerja seharian mereka, seperti mana bidang lain juga.
Realitinya ialah kebanyakan kerajaan termasuk kerajaan Malaysia, dahulu dan sekarang mahukan media yang "jinak" yang mendokong dasar-dasar kerajaan, dalam erti kata lain menyenangkan kerja kerajaan dan tidak menyusahkan pihak berkuasa.
Kerajaan adalah pemegang kuasa sementara media mempunyai kedudukan yang memiliki kuasa.
Maknanya media ada potensi bertembung dengan pihak berkuasa.
Perspektif daripada ahli politik ialah mereka dipilih untuk mewakili rakyat sedangkan tidak ada sesiapa yang memilih wartawan untuk melakukan kerjanya.
Tetapi daripada segi perspektif idealisme kewartawanan, media melalui kuasanya mempunyai tanggungjawab membela rakyat dan mempertahankan negaranya seperti apa yang disebut dalam ungkapan oleh Arthur Miller "a good newspaper is a nation talking to itself" (akhbar yang baik adalah negara/bangsa yang bercakap pada dirinya).
Semasa saya menjadi wartawan, saya tergolong kepada seorang yang mendukung konsep kebebasan media dengan peranan wartawan adalah membela kepentingan rakyat serta negara dengan kedudukan bebas daripada pihak berkuasa.
Sebab itu saya percaya bahawa media wajar perlu menjarakkan diri daripada pihak pemerintah.
Justeru, sebarang acara atau badan yang melibatkan wartawan seharusnya bersifat independen daripada pihak berkuasa supaya tidak berlaku "termakan budi" dan "malu alah".
Namun idealisme itu tentulah tidak tercapai sepanjang saya menjadi wartawan dari tahun 1982 hingga 2013.
Pada masa itu media arus perdana negara dikuasai oleh kerajaan atau parti pemerintah.
Sebahagian besar kerjaya saya adalah berkhidmat untuk akhbar yang syarikatnya dimiliki oleh parti pemerintah.
Maka ketika itu tidak dilaungkan soal kebebasan media. Pada tahun-tahun 1980-an, apa yang dihebahkan ialah konsep kewartawanan pembangunan.
Gagasan kewartawanan pembangunan ini dipopularkan di banyak negara-negara membangun.
Negara-negara Barat yang sedang bersaing dengan blok Soviet dalam Perang Dingin menggalakkan konsep kewartawanan pembangunan ini, untuk melawan sebarang pengaruh fahaman kiri.
Ketika itu mereka tidak menonjolkan soal demokrasi dan kebebasan media kerana apa yang penting ialah negara bebas daripada pengaruh komunisme walaupun diperintah secara autokrasi.
Tumpuan pada pembangunan adalah untuk mengelak pemberontakan dan pengaruh fahaman kiri.
Untuk itu, kuasa Barat memberi dana bagi melatih wartawan negara membangun supaya mengamalkan kewartawanan pembangunan.
Saya turut diminta menghadiri kursus ini, yang diadakan di bangunan Bernama. Jurulatihnya datang dari Filipina.
Dalam konsep ini, tidak timbul amalan kewartawanan siasatan untuk membongkar sebarang salah laku pihak yang ada kuasa.
Sebaliknya tumpuan laporan adalah untuk membantu usaha-usaha kerajaan melaksanakan projek pembangunan.
Sebenarnya ia merupakan kewartawanan positif dan baik untuk rakyat. Namun tanpa sebarang laporan negatif, peranan kewartawanan adalah pincang.
Hanya selepas blok Soviet tumbang dan Perang Dingin berakhir, kuasa Barat beralih tumpuan kepada soal demokrasi dan kebebasan media di negara-negara membangun.
Malah konsep pembangunan itu sendiri sudah kurang kedengaran. Bagi mereka hanya apabila media bebas, demokrasi dapat dilaksanakan. Dengan adanya demokrasi, barulah pembangunan membawa makna kepada rakyat.
Pada tahun-tahun 2010, apabila muncul isu-isu korupsi, penyelewengan serta pelbagai kelemahan negara yang berpunca daripada pihak berkuasa, maka bagi saya, ia juga menandakan kegagalan media arus perdana.
Mereka tidak berperanan sewajarnya dalam sistem demokrasi.
Media wajar memihak kepada rakyat untuk membongkar sebarang salah laku, penyelewengan dan kelemahan untuk menghalang keadaan menjadi lebih buruk lagi.
Tetapi tentulah perkara ini tidak dapat dilakukan apabila media arus perdana mempunyai hubungan amat rapat dengan pemerintah, sama ada kerajaan mahupun parti yang berkuasa.
Antara sebab mengapa media bebas tidak boleh berperanan sewajarnya pada masa itu ialah kerajaan sendiri tidak mendukung konsep kebebasan media.
Ada semacam anggapan bahawa secara semula jadinya, media dan wartawan cenderung untuk mencari kesalahan pihak berkuasa dan ini mengganggu urusan pemerintahan.
Anggapan ini bukan hanya ada pada pemimpin-pemimpin parti politik tetapi juga masyarakat sendiri.
Apabila rakyat sendiri tidak menyokong media sebegini, maka sudah tentu wartawan juga sukar untuk berperanan sebagai "estet keempat" dalam sistem demokrasi.
Sepanjang sejarah politik negara, iaitu sebelum tahun 2018, parti-parti pembangkang adalah pihak yang menuntut kebebasan media dengan kerajaan tidak mempedulikannya.
Pada tahun 1998, apabila muncul konsep reformasi, maka andaiannya ialah antara perkara penting untuk dilakukan perubahan dan pembaharuan ialah media.
Namun apabila parti pemerintah berubah pada tahun 2018, kedudukan dan peranan media tetap tidak berubah.
Apa yang berlaku ialah perubahan lanskap teknologi maklumat yang mengubah kedudukan media arus perdana hinggakan ia tidak berpengaruh seperti dulu.
Namun begitu, wartawan pada peringkat individu hanya akan mendapati kerjayanya bermakna jika ia dikaitkan dengan berbakti kepada rakyat dan negara.
Apabila sumbangan dan pengorbanannya diiktiraf oleh rakyat dan masyarakat, maka itu adalah lebih bermakna walaupun ia tidak disukai oleh pihak yang memiliki kuasa, sama ada pada peringkat politik mahupun birokrasi.