- Iklan -
Kolum

Hormat sensitiviti bagi memelihara hubungan Malaysia-Singapura

Berhubung hubungan Malaysia dan Singapura, terdapat dimensi kaum.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Kerajaan Singapura dengan segera meminta maaf daripada rakyat Malaysia terhadap kata-kata pelawak berdiri atau stand up comedian, Jocelyn Chia. 

Pernyataan maaf itu disampaikan melalui Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon.

Lawak Chia yang bukan saja mengandungi kata-kata merendah-rendahkan Malaysia tetapi juga tidak menghormati sensitiviti keluarga mangsa pesawat terbang MH370 mengundang bantahan ramai rakyat negara ini melalui media sosial.

Chia yang berasal dari Singapura bagaimanapun bukan lagi seorang warganegara republik itu. 

Dia diandaikan warga negara Amerika Syarikat (AS). 

Persembahan itu diadakan di New York di depan penonton yang menyambut kata-kata Chia dengan gelak tawa, pastinya menyakitkan telinga dan hati rakyat Malaysia yang mendengarnya. 

Bagi kebanyakan orang AS yang hadir, mereka mungkin tidak mengetahui mengenai Malaysia walaupun pernah dengar mengenai kehilangan MH370.

Dari Chia, gambaran mereka ialah Malaysia merupakan negara membangun yang ketinggalan berbanding Singapura yang maju.

Dalam hal ini, tentulah menjadi tanda tanya kalau Singapura itu maju dan bagus, mengapakah Chia berhijrah ke AS dan menukar kewarganegaraan? 

Namun di sana pula dia masih hendak bercakap mengenai Singapura dan Malaysia. 

Patutnya tiada hal baginya untuk mentertawakan Malaysia.

Netizen-netizen Malaysia meluahkan perasaan mereka bukan saja kepada Chia tetapi juga Singapura dan rakyatnya. 

Habis perkara-perkara dahulu dalam sejarah diungkit-ungkit. 

Berhubung hubungan Malaysia dan Singapura, terdapat dimensi kaum. 

Ini kerana penduduk majoriti Malaysia adalah Melayu sementara Singapura didominasi kaum Cina. 

Pun begitu, apabila berlaku kes-kes yang melibatkan soal nasional dan patriotisme, setiap warga negara tanpa mengira kaum akan memihak pada negara masing-masing. 

Dalam hal Chia, yang marah adalah rakyat Malaysia dari berbilang kaum.

Sememangnya sejak penubuhan Malaysia lagi iaitu pada tahun 1963, ada semacam rasa tidak senang hati antara penduduk Singapura dengan penduduk Semenanjung Malaysia. 

Ia juga membabitkan parti-parti politik dan kerajaan kedua belah pihak, dengan hubungan antara perdana menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew dan Tunku Abdul Rahman. 

Parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP) pula bertanding dalam pilihan raya umum Malaysia pada tahun 1964 yang menimbulkan kemarahan Perikatan. 

Walaupun Tunku mengeluarkan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965, rasa tidak senang hati antara kedua pihak tetap ada.

Dengan pergantian generasi pun, suasana rasa tidak senang itu berterusan lebih-lebih lagi apabila Singapura kelihatannya menjadi lebih maju daripada Malaysia terutamanya dari segi ekonomi dan pentadbiran. 

Maka seringkali rakyat Singapura mentertawakan Malaysia, sementara rakyat Malaysia turut memburuk-burukkan Singapura. 

Tetapi selagi ia bersifat tertutup, perkara itu dianggap sebagai sesuatu suasana biasa antara dua negara jiran yang berkongsi sejarah, budaya dan ekonomi. 

Tetapi apa yang dilakukan oleh Chia dianggap melampau kerana ia bersifat terbuka, dengan menyentuh sensitiviti keluarga mangsa kehilangan kapal terbang. 

Kelihatannya, ramai orang Singapura pun marah pada lawak Chia itu.

Walaupun terdapat suasana tidak senang hati antara Singapura dan Malaysia tetapi kedua negara mempunyai hubungan amat rapat dan berkait bukan saja dari segi ekonomi tetapi juga kekeluargaan. 

Pada awal kemerdekaannya, ramai penduduk Singapura yang berhijrah ke Malaysia dan menjadi rakyat negara ini. 

Begitu juga sebaliknya, ramai penduduk Singapura yang asal Malaysia menjadi warga negara republik itu.

Kini terdapat ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, antaranya adalah penduduk tetap yang akhirnya menjadi warga negara. 

Ada pula yang berulang alik dari Johor Bahru ke sana menjadikan semua laluan antara kedua negara akat sesak. 

Sementara itu pula ramai warga Singapura sering datang ke Malaysia, bukan saja ke Johor Bahru tetapi juga ke Kuala Lumpur, Cameron Highlands, Ipoh, Taiping, Pulau Pinang dan Langkawi. 

Bukan itu sahaja, ramai daripada mereka yang turut membeli hartanah di Johor.

Apa yang nyata bagi orang Malaysia yang bekerja di Singapura ialah gaji di sana adalah jauh lebih tinggi, dan tukaran mata wang yang juga begitu tinggi. 

Namun ada orang Malaysia menganggap Singapura adalah negara amat kecil tetapi berlagak besar kerana kekuatan ekonomi dan pentadbirannya. 

Bagi orang Singapura pula, mereka tidak senang pada mana-mana negara yang kelihatan mahu bersikap membuli mereka, sama ada Malaysia atau Indonesia.

Walaupun prosedurnya ketat, Singapura mengamalkan sikap terbuka bagi pengambilan warganegara baru. 

Mereka menerima permohonan orang Malaysia untuk menjadi warganegara. 

Tetapi tentunya bilangannya dikawal. Mereka juga menerima orang dari China, India dan negara-negara Barat untuk menjadi warga negara. 

Dalam kalangan rakyat Singapura, terdapat juga mereka yang berhijrah ke negara-negara lain khususnya negara Barat seperti AS, United Kingdom dan Australia.

Adalah suatu kepentingan strategik dari segi keselamatan dan ekonomi bahawa hubungan antara Singapura dan Malaysia dalam keadaan baik. 

Bukan sahaja di peringkat kerajaan tetapi juga rakyat, sejak dahulu hinggalah sekarang. 

Hubungan Singapura-Malaysia adalah sensitif. 

Sebab itu Singapura dengan segera memohon maaf kepada rakyat Malaysia dalam kes Chia walaupun bukannya kesalahan mereka. 

Tujuan permohonan maaf itu dirasakan adalah untuk meredakan kemarahan netizen-netizen Malaysia. 

Kes seumpama perlakuan Chia ini tidak akan berlaku pada zaman sebelum adanya internet dan media sosial yang digunakan secara meluas, iaitu sebelum tahun 2010-an.

Kalau pada zaman itu, apa jua persembahan pelawak di New York tidak akan diketahui oleh rakyat Malaysia dan Singapura. 

Pada masa itu hanya ada media akhbar dan televisyen yang dikawal kerajaan kedua-dua negara, dan mereka tidak akan menyiarkan perkara-perkara yang boleh menjejaskan hubungan kedua negara.

Pada tahun-tahun sebelum adanya internet, tentulah tidak wujud netizen. 

Ini bermakna tidak ada rakyat Malaysia yang boleh meluahkan perasaan untuk membantah atau mengkritik sesuatu perkara. 

Katakan kalau mereka mahu memburukkan Singapura dan menghantar tulisannya ke akhbar-akhbar, ia tidaklah disiarkan demi meredakan suasana supaya hubungan kedua negara tidak terjejas.

Sementara persembahan pelawak berdiri yang kini begitu berleluasa disiarkan dalam media sosial adalah suatu fenomena baru. 

Sememangnya di negara-negara Barat persembahan pelawak berdiri sudah ada sejak tahun 1960-an dan antaranya disiar melalui televisyen seperti dalam saluran BBC.

Tetapi hanya baru-baru ini muncul banyak pelawak berdiri dari kalangan orang bukan Barat yang tinggal di AS membuat persembahan. 

Antaranya adalah keturunan China, Afrika, Arab, Korea dan lain-lain. 

Mereka seringkali menjadikan kaum, keturunan atau negara asal mereka sebagai bahan lawak. 

Chia adalah antara pelawak dalam golongan ini. 

Cumanya dalam kes inu, Chia tidak menjadikan Singapura sebagai bahan lawak ini. Dia menjadikan Malaysia sebagai bahan untuk ditertawakan.

Atas nama kebebasan bersuara dan ekspresi, mereka bebas buat apa saja untuk melawak. 

Sebagai pelawak yang melakukan suatu kegiatan seni pula, mereka dibenarkan untuk bercakap apa-apa yang boleh menyinggung perasaan sesiapapun, sesuatu yang orang biasa tidak boleh lakukan. 

Lantaran itu juga, banyaklah kata-kata buruk seperti mencarut dilemparkan, sesuatu yang tidak akan diterima oleh banyak masyarakat Timur seperti di Malaysia.

Dalam zaman media sosial, persembahan ini tersebat luas melalui platform YouTube, TikTok, Reels dan ditular berganda-ganda banyaknya. 

Maka akhirnya kebebasan bersuara dan ekspresi mempunyai batas-batasnya yang ditentukan oleh masyarakat negara terbabit demi memelihara keselamatan dan keharmonisan hubungan antara dua negara.

Bagi Chia, kesan daripada lawak ini tidak menjejaskan dirinya ataupun para penonton persembahan. 

Tetapi apa yang diucapkannya itu menimbulkan kemarahan sebahagian rakyat Malaysia dan menyemai rasa tidak suka terhadap Singapura, sesuatu yang tidak positif dari segi hubungan kedua begara.