- Iklan -
Kolum

Bangsar South?

Ada niat dan ada agenda di belakang pertukaran nama ini.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Minggu lalu saya menulis tentang perubahan nama Tanah Melayu menjadi Malaya kemudian menjadi Malaysia. Semua ini berlaku ketika saya sudah masuk sekolah pada tahun 1957.  

Ini bermakna ketika dalam sekolah rendah, saya berupaya melihat apa yang sedang berlaku. 

Hingga ke sekolah menengah saya hanya melihat dan mendengar tapi tidak memahami tanda dan makna dari apa yang sedang saya lihat.

Kesedaran tentang ada apa pada nama ini muncul dalam fikrah saya lambat. 

Analisis tanda dan makna dari kesedaran ini juga datang melalui pembacaan dan pengalaman.

Saya melihat bagaimana negara-negara di Afrika mengubah nama negara mereka dari menggunakan nama kolonial kepada nama asal tanah air mereka. 

Penukaran nama-nama ini dibakar oleh semangat nasionalisme menentang penjajah. 

Tetapi apa yang berlaku di Tanah Melayu semuanya songsang. 

Tanpa rujukan, tanpa pungutan suara, tanpa mengambil pandangan orang ramai, tiba-tiba nama Tanah Melayu, nama asal bumi ini diubah menjadi Malaya dan kemudiannya Malaysia.

Dalam bahasa Inggeris Malayland diubah jadi Malaysia. Mengapa ini berlaku?

Perkataan “Tanah” yang wujud sebelum perkataan Melayu ini hilang begitu saja. 

Perkataan Melayu pada “Tanah” dilupuskan.

Untuk saya melupuskan nama Tanah Melayu dari nama negara ini adalah satu jenayah.  

Pada hemat saya ini adalah salah satu jenayah besar yang dilakukan oleh parti United Malays National Organisation (Umno) terhadap Bani Melayu.

Saya masih ingat lagi pada tahun 1987, Intifada Pertama meledak di Palestin. 

Ketika ini saya  bekerja sebagai pembaca warta berita Bahagian Melayu untuk stesen radio BBC di London.

Pada ketika itu saya amati dengan halus lagi licik BBC memunculkan nama Judea dan Samaria dalam laporan berita mengenai Palestin.

Nama Judea dan Samaria ini dimunculkan untuk menggantikan nama Tebing Barat.  

Wilayah Tebing Barat Palestin ini ditakluk oleh Israel dalam peperangan tahun 1967. 

Wilayah Tebing Barat merujuk kepada wilayah tebing Sungai Jordan. BBC sengaja mempopularkan nama Judea dan Samaria ini kepada seluruh dunia.  

Ini bukan sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya.  Dasar perubahan nama ini sudah terang lagi bersuluh. Amat jelas adanya niat jahat. 

BBC bersekongkol dengan Zionis untuk memadamkan sejarah Tebing Barat Palestin. Justeru ada apa pada nama bukan satu perkara yang kecik anak.  

Ada niat dan ada agenda di belakang pertukaran nama ini. 

Ketika nama Tanah Melayu diubah menjadi Malaya kemudian Malaysia para pemikir dan intelektual Melayu tidak wujud.  

Melayu yang bersekolah dan berpelajaran hanya berupaya untuk menjadi pegawai kerajaan, Malayan Civil Service (MCS). 

Pegawai MCS adalah sosok-sosok yang dididik dan ditaja oleh kolonial Inggeris. Mereka menjadi budak suruhan Inggeris yang setia. Jika tidak setia mereka akan dibuang kerja.

Jika mereka memiliki kesedaran semangat kebangsaan mereka akan diburu, ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara.

Malah parti politik yang ditaja dan dipercayai oleh kuasa kolonial Inggeris ialah United Malays National Organisation (Umno).  

Saya ulangi sekali lagi nama parti itu ialah United Malays National Organisation (Umno).

Nama Inggeris parti ini yang dipakai hingga ke hari ini adalah bukti sahih tentang ke mana arah kiblat parti ini. 

Parti ini penyebab utama dan bertanggungjawab memandulkan jati diri Bani Melayu.

Parti yang “claim” berjuang untuk Melayu dan mengajukan dasar Ketuanan Melayu ini masih menggunakan nama Inggeris. 

Ini bukan lawak. Ini bahan bukti satu jenayah.

Justeru ada apa pada nama bukan perkara yang kecik anak. Bukan perkara enteng. 

Mari kita lihat satu babak sejarah penukaran nama. 

Dari nama asli ke nama baru. Untuk ini mari kita buka sejarah apa yang hari ini kita kenali sebagai Taiping.

Ramai tidak sedar bahawa nama asal Taiping ialah Klian Pauh. Klian bermaksud lombong. 

Manakala pauh ialah buah dari keluarga mangga. Lombong bijih timah banyak di Klian Pauh. 

Ini menjemput ramai buruh dari China datang mencari bijih. 

Bani China ini datang untuk menjadi buruh lombong dibawa oleh Inggeris. 

Bani China ini membawa kumpulan samseng bawah tanah, Ghee Hin dan Hai San ke Tanah Melayu.

Dua kumpulan samseng ini bergaduh. Perang Larut pecah pada tahun 1861. 

Dua kumpulan ini terlibat. Ini mengganggu pengeluaran bijih. 

Bijih ini adalah bahan yang diperlukan oleh penjajah Inggeris.

Penjajah Inggeris membuat Perjanjian Pangkor 1874 dan membawa ke penamatan Perang Larut. 

Ketika ini Klian Pauh berubah nama menjadi Taiping. Perkataan Taiping bermakna aman. 

Nama Klian Pauh menjadi Taiping untuk mengingati perjanjian damai Ghee Hin dan Hai San.
 
Perjanjian dan pertukaran nama Klian Pauh ke Taiping ini di depan mata Ngah Ibrahim anak Long Jaafar dan Kapten Speedy, penolong Residen J W W Birch.

Lihat bagaimana nama Klian Pauh bertukar menjadi Taiping.  Ada persetujuan Ngah Ibrahim, wakil anak jati setempat. 

Manakala ada Kapten Speedy menjadi wakil residen Inggeris. Ada Chung Keng Quee diangkat menjadi kapitan Cina.  

Kampung Abdullah Hukum

Tidak ada istiadat atau persetujuan Bani Melayu, warga asal ketika Kampung Haji Abdullah Hukum dirembat untuk dijadikan Mid Valley.

Babak yang sama juga berlaku kepada Kampung Pantai Dalam. 

Bila wilayah kampung ini dirembat oleh pemaju. Nama Pantai Dalam beralih menjadi Bangsar South.

Batu nisan Kampung Pantai Dalam dipasang dengan lucah di tepi Lebuhraya Persekutuan.  

Tembok batu Bangsar South adalah tanda terkuburnya Pantai Dalam.

Besar kemungkinan pemaju ini dari syarikat Bani Cina yang bebal sejarah tempatan. Tidak tahu siapa asal usul peneroka tanah itu. 

Tidak kenal siapa Abdullah Hukum dan tidak tahu mengapa namanya Pantai Dalam dan di mana Pantai Luar.

Saya terfikir, sebebal mana pun pemaju Cina ini pasti mereka tahu ini adalah wilayah Bani Melayu. 

Mustahil mereka tidak pernah mendengar nama Kampung Pantai Dalam.

Pada hemat saya pasti ada Bani Melayu yang membelot dan menjual jati diri bani mereka kepada pemaju.

Anggapan saya tidak jauh dari kebenaran jika saya katakan pembelotan ini dilakukan oleh Umno yang bersekongkol dengan pemaju Cina untuk memadamkan sejarah Pantai Dalam.

Hakikatnya menukar nama mukim, daerah atau kariah seperti ini perbuatan jenayah. 

Ini tidak ada bezanya dari apa yang dilakukan oleh Zionis Israel bila menukar nama Tebing Barat menjadi Judea dan Samaria.

Ada niat jahat untuk menghilangkan pertalian bumi itu dengan penduduk asal bumi itu.

Saya mempertikaikan nama Bangsar South bukan kerana saya Melayu. 

Saya bersuara lantang bukan kerana semangat kemelayuan saya yang tebal. Tidak. Ini tidak betul.

Saya menentang pelupusan nama Pantai Dalam dan Abdullah Hukum.

Saya tidak mempertikaikan nama Bangsar.  Saya anggap ini nama yang tepat. 

Saya tahu sejarah dan asal usul nama ini. Ini singkatan dari nama ladang getah Bunge-Grisar. 

Nama warga dari Belgium yang meneroka hutan untuk dijadikan ladang getah pada tahun 1906.

Malah saya sendiri sempat melihat rumah tinggal tuan manager ladang getah Bunge-Grisar ini pada tahu 1972. 

Ini ketika saya menjadi warga Kolej Kelima Universiti Malaya (UM). 

Kolej ini terletak di bawah bukit ladang getah ini.

Percubaan mengubah sejarah?

Jelas untuk saya menamakan Bangsar South atau Mid Valley adalah satu percubaan secara sedar untuk mengubah sejarah wilayah ini yang asalnya milik Bani Melayu.

Ini untuk saya satu jenayah. 

Sama seperti yang sedang dilakukan oleh Zionis Israel kepada bumi Arab Palestin. 

Melupuskan persejarahan anak watan. Malah saya bertanya dari mana datangnya South?  

Mengapa Bangsar menjadi South? 

Apa rujukan untuk menjadi South tidak disebut Selatan dalam bahasa Melayu. 

Mungkin ini tabiat “monkey see, monkey do” atau “beruk melihat, beruk membuat”.

Di London ada South Bank. Ini wilayah penempatan seni, teater, dewan pameran dan panggung wayang. 

Di Paris ada Left Bank. Ini wilayah seniman, intelektual dan para aktivis berkampung.

Nama dua-dua wilayah di London dan Paris ini menggunakan rujukan Sungai Thames untuk London dan Sungai Seine untuk Paris. 

Bangsar South rujukan dari mana?

Tup tup tup, tiba-tiba muncul pula Gombak East. Apa benda pulak ini? 

Justeru hal nama ini bukan satu perkara yang kecik anak. 

Di belakang satu-satu nama itu ada sejarah. Sejarah ini membawa makna jati diri.

Saya tidak menimbulkan syak wasangka kepada Jalan Yap Kwan Seng, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Tun Tan Cheng Lock atau Jalan Thambipillay.

Untuk saya ini bukan hal nama Melayu, nama India atau nama Cina yang saya timbulkan.  

Cheng Lock atau Sambanthan ini adalah nama-nama sosok yang berperanan dalam pensejarahan negara bangsa. 

Mereka ada sejarah.

Yang saya pertikaian ialah pengubahan nama yang akan melupuskan sejarah dan jati diri anak watan.

Untuk saya semua ini adalah salah satu jenayah besar Umno. 

Parti yang claim menjadi parti Ketuanan Melayu ini terlibat sama dalam pemadaman sejarah ini.

Pada masa yang sama saya tidak seharusnya hanya menuding telunjuk pada si penjenayah.

Saya juga wajib bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian. 

Ini dalam usaha untuk mendirikan negara bangsa yang tahu sejarah dan sedar di mana bumi di pijak di situ langit di junjung.

Apa agaknya yang perlu dilakukan? 

Tunggu minggu hadapan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.