- Iklan -
Rencana

Centhra komited teruskan usaha lindungi hak pelarian

Pertubuhan bukan kerajaan itu menyatakan komitmen untuk terus bekerja secara bersepadu di mana hak pelarian dihormati, dilindungi dan dipenuhi.

Centhra
2 minit bacaan
Kongsi
Pelarian Rohingya beratur untuk mendapatkan bantuan makanan di Program Makanan Sedunia di kem Cox Bazar di Bangladesh.
Pelarian Rohingya beratur untuk mendapatkan bantuan makanan di Program Makanan Sedunia di kem Cox Bazar di Bangladesh.

Sempena sambutan Hari Pelarian Sedunia hari ini, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) menegaskan komitmennya untuk berdiri teguh dalam solidariti bersama pelarian di seluruh dunia dalam mengiktiraf keberanian, ketabahan dan cabaran yang dihadapi dalam perjuangan mereka untuk keselamatan dan kehidupan yang bermaruah. 

Tema sambutan tahun ini, "Hope Away from Home" mengingatkan kita tentang tanggungjawab kolektif yang perlu dipegang oleh komuniti global, untuk menyokong dan memperkasa pelarian dalam perjuangan mereka membina semula kehidupan. 

Dengan berjuta-juta individu yang terpaksa dipindahkan dari kediaman susulan konflik, penganiayaan, dan pencabulan hak asasi manusia – adalah penting untuk kita terus bekerjasama bagi menangani punca sebenar berlakunya perpindahan ini dan mencipta penyelesaian yang mampan untuk semua pelarian yang terkesan. 

Centhra mengiktiraf usaha murni kerajaan, organisasi masyarakat sivil dan individu yang memberikan bantuan, perlindungan dan advokasi berterusan kepada pelarian selama ini. 

Kami juga mengiktiraf sumbangan penting kumpulan pelarian kepada komuniti setempat, seterusnya memperkayakan masyarakat setempat dengan bakat, kemahiran dan perspektif yang pelbagai. 

Kita perlu terus mengutamakan hak dan kesejahteraan pelarian, meskipun pelbagai kemajuan telah dicapai untuk melindungi dan menyokong mereka. 

Mengambil kira cabaran baru, antaranya pandemik Covid-19, perubahan iklim dan peningkatan xenofobia – adalah penting untuk kita mengukuhkan komitmen terhadap perlindungan dan integrasi pelarian. 

Justeru, Centhra menyeru kerajaan-kerajaan seantero dunia untuk terus: 

• Menegakkan hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang pelarian dalam memastikan setiap pelarian mempunyai akses kepada perlindungan, termasuk hak untuk mendapatkan suaka, tanpa mengira kewarganegaraan, agama atau etnik mereka. 

• Memupuk persekitaran inklusif dan mesra yang menggalakkan integrasi antara pelarian ke dalam komuniti setempat dan mengiktiraf hak ekonomi, budaya dan sosial impak daripada kepelbagaian ini.

• Memperuntukkan sumber yang mencukupi untuk menyokong program kemanusiaan, termasuk peluang pendidikan, penjagaan kesihatan dan mata pencarian bagi memperkasa pelarian membina semula kehidupan mereka dan menyumbang kepada komuniti mereka. 

• Menangani punca perpindahan, termasuk konflik, kemiskinan dan ketidaksamaan melalui usaha diplomatik dan kemanusiaan, dengan tumpuan kepada pencegahan, pengukuhan keamanan dan pembangunan mampan. 

• Memerangi xenofobia, diskriminasi dan stereotaip melalui pendidikan, kempen kesedaran dan penglibatan masyarakat, serta menggalakkan sifat empati, kefahaman dan rasa hormat terhadap hak dan maruah pelarian. 

Pada Hari Pelarian Sedunia ini, Centhra, sekali lagi ingin menyatakan komitmen untuk terus bekerja secara bersepadu di mana hak pelarian dihormati, dilindungi dan dipenuhi. 

Kami berdiri teguh dan bersatu dalam usaha kami untuk keadilan, kesaksamaan dan mempromosi hak asasi manusia untuk semua.

Centhra adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.