- Iklan -
Kolum

Kemalangan Titan serlahkan realiti sosial dunia

Dua darjat itu adalah suatu realiti. Maka jurang sosial adalah juga fakta.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Sepanjang minggu lalu, laporan mengenai tenggelamnya kapal selam Titan menarik minat orang ramai di seluruh dunia. 

Ia menjadi tajuk utama saluran-saluran berita dunia dengan berjuta-juta komen dari pembaca dan penonton pelbagai bangsa bahasa.

Ia merupakan suatu kemalangan dalam laut yang luar biasa dan serentak itu mencerminkan realiti sosial dunia hari ini. 

Apa yang dimaksudkan dengan realiti sosial dunia adalah keadaan hidup manusia yang secara global berpunca daripada ekonomi dan bagaimana seseorang serta keluarganya dapat berkembang. 

Isu yang selalu dikaitkan dengan keadaan sosial dunia ialah jurang sosial dan keadilan sosial di peringkat dunia 

Titan disebut sebagai kapal selam tetapi ia bukan seperti kapal selam biasa. 

Walaupun dalam bahasa Inggeris sering juga disebut sebagai submarine tetapi banyak kali juga ia dipanggil sebagai submersible, istilah yang lebih tepat dan spesifik kerana ia bergerak tenggelam ke lautan amat dalam.

Dari segi sains dan teknologi, alat ini mencerminkan keupayaan manusia mengetahui tentang lautan dalam dan kejayaan mereka bentuk serta membina kapal yang mampu pergi jauh ke dalam lautan. 

Sementara dari segi sikap manusia pula, ia menunjukkan kesungguhan dan kemampuan manusia untuk melakukan perkara-perkara luar biasa yang boleh menambahkan pengetahuan bersama.

Penerokaan ke lautan dalam juga menunjukkan bahawa amat banyak perkara yang tidak diketahui manusia tentang bumi, terutamanya bahagian lautan. 

Ia menuntut lebih banyak penerokaan, cerapan dan kajian. 

Alam di lautan dalam adalah penuh misteri seperti mana angkasa lepas yang menarik minat manusia untuk mengkajinya dari generasi ke generasi.   

Dalam sejarah penerokaan oleh manusia, sudah berlaku pelbagai kemalangan dan insiden yang mengorbankan para peneroka, penyelidik dan saintis. 

Tetapi dalam peristiwa yang melibatkan Titan ini, yang terkorban ialah pelancong bilionair.

Kalau dahulu-dahulu, kapal selam berbentuk submersible ini digunakan oleh penyelidik dan saintis untuk meneroka laut dan dasarnya dengan ekspedisi dibiayai oleh kerajaan, universiti, institut atau badan sains tetapi Titan ini merupakan usaha komersial yang menawarkan suatu pengalaman kepada pelancong. 

Oleh kerana belanjanya amat tinggi serta pengusahanya mahu meraih keuntungan lebih besar, maka harga mahal ini hanya mampu dibayar oleh bilionair dan bukan semata-mata jutawan. 

Pelancong-pelancong bilionair ini menyertai ekspedisi ini bukan kerana atas dorongan perasaan ingin meneroka atau menyelidik tetapi mereka mahu melalui pengalaman luar biasa yang mana orang tidak kaya tidak akan dapat menikmatinya. 

Hanya kekayaan membolehkan mereka mengalami pengalaman unik, istimewa dan eksklusif ini. 

Pelancongan bilionair ini bukan sahaja merupakan simbol status tetapi ia merupakan puncak kepada status itu sendiri. 

Dengan kekayaan mereka itu, dengan senang mereka boleh menambah pengetahuan saintifik manusia. 

Atau melakukan aktiviti-aktiviti lain seperti kebajikan bagi meringankan penderitaan manusia. 

Atau menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar dan melewatkan perubahan iklim.

Namun, mereka memilih pelancongan mewah bagi memuaskan kehendak peribadi mereka.  

Idea pelancongan mewah ini bukan perkara baru. 

Selama ini sudah berdekad-dekad lama, syarikat pelancongan perkapalan mewah ada menganjurkan pelayaran berbentuk saintifik dan berpendidikan. 

Dalam pakej ini, para pelancong bukan dibawa ke tempat-tempat menarik atau mercu tanda yang biasa dikunjung. 

Sebaliknya mereka dibawa berkunjung ke tempat-tempat ilmu atau saintifik. 

Umpamanya seperti lawatan ke Pulau Galapagos di luar pantai Ecuador di mana pemuka Teori Evolusi, Charles Darwin mendapat idea untuk penemuannya. 

Ia merupakan pelancongan tetapi berisi ilmu pengetahuan, lengkap dengan kuliah dalam kapal. 

Begitu juga dengan pelancongan ke Artik atau Antartika. Ada pakej bagi pencerapan alam semesta. 

Ia merupakan pelancongan mewah kerana membabitkan belanja mahal dan hanya mampu disertai oleh para hartawan.

Namun idea pelancongan paling mewah bermula dengan adanya pakej perjalanan ke angkasa.

Maknanya sesiapa saja yang mempunyai wang belanja cukup boleh pergi ke angkasa. 

Selama ini hanya calon yang dipilih oleh agensi angkasa lepas kerajaan dapat pergi ke angkasa. 

Perjalanan pula menggunakan wang peruntukan yang diberikan oleh kerajaan. 

Pelancong-pelancong mewah ke angkasa pula tidaklah melakukan sebarang penyelidikan atau uji kaji. 

Ia adalah semata-mata pengalaman mengagumkan seperti mana pelancong yang menikmati keindahan ikan-ikan tropika di kawasan terumbu karang.

Tetapi bagi penerbangan ke angkasa yang menggunakan wang sendiri ini pula dapat bekembang apabila kerajaan Amerika Syarikat (AS) membenarkan syarikat komersial melancarkan roket sendiri. 

Tentunya ia memerlukan sokongan besar para pelabur dan usahawan yang berani serta berpengaruh untuk menjayakannya. 

Bilionair selebriti Elon Musk adalah pelopor kepada pembinaan roket komersial. 

Beliau bukan sahaja membangun suatu industri angkasa tetapi cita-citanya adalah untuk mendaratkan manusia di Marikh. 

Roketnya, SpaceX ini bukan sahaja boleh meraih keuntungan tetapi juga membawa angkasawan pelancong. 

Tentunya para pelancong ini terdiri daripada bilionair ke atas. 

Orang bukan billionair hanya boleh memerhatikan perjalanan projek ini melalui media massa dan media sosial.

Idea penyertaan bilionair dalam perjalanan-perjalanan ekstrem ini sudah dikembangkan ke dasar laut. 

Pengalaman memasuki dasar laut menjadi lebih menarik dengan adanya bangkai kapal Titanic untuk dilihatnya.

Titanic terkenal di seluruh dunia. Maka nama Titan untuk kapal selam itu adalah sesuai. 

Tambahan pula kapal Titanic yang tenggelam pada tahun 1912 itu juga mempunyai unsur-unsur mengenai gelagat para hartawan dan usahawan yang mempunyai wawasan, kesungguhan dan keberanian dalam usaha mencapai impian mereka 

Tragedi Titanic sudah menjadi sebahagian daripada memori kolektif global dengan pembikinan filem-filem hebat mengenainya. 

Filem-filem itu memaparkan bagaimana dalam kapal itu terdapat dua darjat. 

Para hartawan tentunya berada di bahagian atas kapal dengan memperoleh segala kesenangan dan kemewahan, sementara di kelas bawah, penumpang-penumpang berasak dengan segala kesempitan dan kesusahan. 

Itulah realiti kehidupan manusia dalam kapal itu, tetapi juga di dunia. 

Dua darjat itu adalah suatu realiti. Maka jurang sosial adalah juga fakta. 

Ia merupakan hasil daripada sistem ekonomi dan politik yang diamalkan oleh semua negara. 

Tentulah Elon Musk, para jutawan dan bilionair mempertahankan sistem ini. 

Sebabnya mereka memperoleh manfaat dari sistem ini. 

Tetapi dari segi etika dan kemanusiaan, segala penderitaan yang datangnya dari sistem ini tidak dapat diterima. 

Apa yang dikehendaki oleh manusia adalah keadilan sosial, antaranya memperoleh peluang yang sama untuk menikmati dunia ini.  Maknanya tiada darjat. 

Tentulah siapa yang berusaha lebih dapatkah ganjaran setimpal.

Maka reaksi ramai netizen terhadap kemalangan Titan ini menunjukkan realiti dua darjat. 

Tragedi Titan yang mengorbankan bilionair dibandingkan pula dengan ratusan pelarian yang mati lemas di Laut Mediterranean dalam usaha ribuan pelarian berhijrah dari Afrika ke Eropah. 

Itulah realiti dua darjat global yang diserlahkan melalui insiden sedih Titan ini.

Bagi jutaan pengguna media sosial yang mengikuti perkembangan Titan ini sedikit sebanyak menyedari mengenai realiti ini. 

Dari kalangan generasi akan datang, mungkin muncul kumpulan-kumpulan politik yang membetulkan keadaan ini. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.