- Iklan -
Rencana

Di mana suara kerajaan susulan pencerobohan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia?

Pencerobohan ini pastinya bukan kesilapan yang tidak disengajakan tetapi mungkin perancangan tersusun kerana ia berlaku terlalu kerap.

Mohd Noor Yazid
4 minit bacaan
Kongsi

Pencerobohan sempadan perairan di Laut China Selatan telah menjadi satu isu hangat yang berlarutan sejak sekian lama tetapi terus berlaku hingga sekarang. 

Pencerobohan ini pastinya bukan kesilapan yang tidak disengajakan tetapi mungkin perancangan tersusun kerana ia berlaku terlalu kerap. 

Sebagai contoh, mengikut Laporan Ketua Audit Negara insiden pencerobohan China ke atas  sempadan perairan di Laut China Selatan telah berlaku sebanyak 89 kali dari 2016 sehingga 2019 manakala mengikut laporan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) lebih kurang 23 kali pencerobohan sama berlaku sepanjang tahun 2021.

Beberapa pemimpin politik dari Sabah khasnya sentiasa bersuara lantang memperkatakannya. 

Sepanjang 2022 sahaja, yang berbuat demikian ialah Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan, Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serembu, Miro Simuh, dan Adun Bongawan, Daud Yusuf.

Lebih awal dari itu, pada 3 Oktober 2021, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, menegaskan Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana negara dari segi kedaulatan kita sekiranya terdapat ancaman di Laut China Selatan dan perkara itu pernah dibangkitkannya dalam perjumpaan bersama wakil-wakil negara dan forum antarabangsa.

Pada 4 Oktober 2021, Kementerian Luar Negeri di bawah Saifuddin Abdullah mengeluarkan kenyataan bahawa ia telah memanggil Duta Besar China untuk menyatakan pendirian dan bantahan terhadap keberadaan dan aktiviti kapal-kapal China, termasuk kapal penyelidikan, di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di luar pesisir Sabah dan Sarawak.

Kenyataan itu menyebut Malaysia konsisten dengan pendirian mempertahankan hak kedaulatan di dalam perairan negara dan membantah pencerobohan kapal-kapal asing ke perairan negara kerana keberadaan dan aktiviti kapal-kapal tersebut adalah bertentangan dengan Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (United Nations Convention on the Law of the Sea, Unclos) 1982.

Apa lagi bila sempadan maritim China yang dikatakan berada dalam kawasan 'nine-dashed-lines' merentang ke bahagian utara wilayah Kepulauan Natuna seperti digarap oleh China berasaskan dakwaan "historic rights" sebenarnya adalah tidak sah dan bertentangan dengan Unclos 1982.

Sejak kerajaan campuran terbentuk pada akhir 2022, isu ini tidak begitu mendapat perhatian.

Sebaliknya Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dikecam sesetengah pihak kerana didakwa tidak menunjukkan ketegasan ke atas hak kedaulatan di dalam perairan negara dengan menyatakan kesediaan untuk berunding dengan China sehubungan tuntutannya di Laut China Selatan.

Pada 23 Februari lalu, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) menyarankan di Dewan Rakyat supaya kerajaan mempertingkat aspek keselamatan di Laut China Selatan bagi mengelakkan pencerobohan pihak luar, termasuk China di perairan negara.

Saranan ini dijawab oleh Timbalan Menteri Luar, Mohamad Alamin, yang berkata walaupun terdapat laporan mengenai pencerobohan tentera China di perairan Malaysia di Laut China Selatan, semua pihak perlu mengambil pendekatan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang tindakan yang menyebabkan insiden tidak diingini di Laut China Selatan.

Lebih mutakhir, perkara sama ditimbulkan oleh Ahmad Azam Hamzah di Dewan Negara pada 21 Jun. 

Ia dijawab oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, yang berkata Malaysia tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan sempadan negara dan akan menggunakan kerjasama pelbagai hala melalui Asean, kerjasama subrantau dan kerjasama dua hala untuk menanganinya.

Begitupun, di saat Adly memberi jaminan ini, media sosial Twitter sebenarnya dipenuhi pendedahan pencerobohan kapal China bernama Haiyang Dizhi 8 yang diiringi oleh tiga kapal tentera China dan China Coast Guard 5202 di ZEE Malaysia awal pagi itu. Kapal-kapal ini dikatakan dilengkapi dengan alatan penyelidikan dan pemancar AIS (Automatic Identification System).

Maklum balas TLDM adalah dengan menghantar Kapal Auksiliari Bunga Mas 5 yang berpengkalan di luar Kota Kinabalu tetapi ini tidak menghalang kapal China dari membuat operasi penyelidikannya. Ada catatan yang menyebut bentuk gerakan kapal itu sebelum memasuki EEZ Malaysia menunjukkan seolah-olah ia menggunakan atau menjatuhkan sesuatu untuk melakukan penyelidikan laut dalam.

Sesungguhnya, Kerajaan China perlu menoktahkan serta-merta pencerobohan sempadan perairan Malaysia di Laut China Selatan kerana ia merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab yang menjejaskan hak kedaulatan Malaysia. Kerajaan China tidak boleh menyalahgunakan kekuatan ketenteraannya dan hubungan baiknya dengan Malaysia untuk menceroboh sesuka hati.

Di pihak Malaysia pula, perdana menteri, menteri luar negeri dan menteri pertahanan sepatutnya bersikap lebih tegas dengan insiden pencerobohan sebegini. Jawapan ke atas soalan-soalan membabitkan isu hak kedaulatan Malaysia di Parlimen sepatutnya dijawab oleh menteri luar negeri dan menteri pertahanan sendiri bukan oleh timbalan mereka bagi menunjukkan keseriusan kerajaan.

Kita boleh menerima penjelasan perdana menteri di Parlimen pada 4 April lalu bahawa rujukan kepada 'rundingan' bermaksud sebarang isu berkaitan Laut China Selatan perlu dibincangkan atau diselesaikan secara aman. 

Pada masa yang sama, sementara perbincangan atau penyelesaian ini tercapai penegasan perlu dibuat bagi memastikan tiada pencerobohan berlaku.

Perkara paling minimum yang perlu dilakukan oleh kerajaan campuran ialah dengan membuat kenyataan terbuka membantah pencerobohan tersebut, membuat nota bantahan kepada kerajaan China melalui kedutaannya di Malaysia atau memanggil Duta Besar China untuk menyatakan pendirian dan bantahan Malaysia ke atasnya serta meminta jaminan perkara ini tidak akan berulang.

Pada masa yang sama, kerajaan campuran perlu segera mempertingkatkan aset dan personel agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara, khususnya TLDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), bagi mendatangkan lebih hormat dan kegerunan pihak luar untuk menceroboh.

Hanya dengan menunjukkan kesungguhan begini barulah komitmen kerajaan campuran dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Mohd Noor Yazid ialah profesor madya di Kluster Pembangunan & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.